mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: “Martabat Guru Dan Cabarannya”

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 13 Mei 2016: JAIS

“Martabat Guru Dan Cabarannya”

Tanggal 16 Mei setiap tahun telah ditetapkan sebagai sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan. Ini bagi mengingati jasa dan pengorbanan oleh insan bergelar guru. Ingatlah, walau apapun kedudukan kita sekarang, begitu juga kejayaan sesuatu bangsa dan negara, pastinya bermula daripada didikan insan bergelar guru.
Guru merupakan murabbi, pendakwah yang diiktiraf sangat mulia di sisi agama dan masyarakat, kerana mereka mewarisi tugas-tugas para rasul dalam membimbing manusia ke jalan kebenaran dan membentuk tamadun manusia melalui pendidikan dan penyebaran ilmu. Betapa besarnya peranan guru ini kerana mereka sebagai ahli ilmu yang beriman dan bertaqwa, mereka diibarat seperti bintang di langit yang menjadi petunjuk jalan menerangi laluan sama ada di desa atau di bandar, di darat atau di lautan.

Hadis daripada Anas B. Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda; “Sesungguhnya perumpamaan orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi dalam kegelapan sama ada di daratan mahupun di lautan, apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri akan hilang arah tujuan” (Riwayat Imam Ahmad).

Bidang perguruan merupakan suatu pekerjaan yang murni dan baik. Seorang guru perlu menggalas suatu tugas dan cabaran yang hebat untuk mendidik, membimbing dan menunjuk ajar dalam proses membentuk seorang manusia agar menjadi modal insan yang berguna untuk agama, bangsa dan negara.

Guru sering menghadapi pelbagai cabaran dalam melaksanakan tugasannya. Antara cabaran yang sering dihadapi oleh guru ialah berhadapan dengan pelbagai latar belakang masyarakat dan salah faham mereka terhadap peranan guru. Sehinggakan ada sebahagian guru berhadapan dengan penghinaan. Peranan mereka diperlekehkan, malah ada yang sanggup menyakiti dan mencederakan guru.

Firman Allah SWT dalam surah Al Maidah ayat 2;  “...dan hendaklah kamu bantu-membantu untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, janganlah pula kamu bantu-membantu pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan (melampaui batas-batas ajaran Allah); dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya amat berat azab Allah SWT itu”.

Pada zaman yang serba mencabar ini, anak-anak lebih terdedah dengan pelbagai anasir negatif yang boleh menyebabkan mereka lalai dan leka, sebagai contoh leka dengan telefon pintar, leka dengan internet dan leka dengan pelbagai jenis bentuk hiburan. Mereka lebih percaya kepada maklumat yang diambil daripada internet, yang belum pasti kesahihannya.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin mengajak sidang jumaat sekelian untuk menghayati intipati khutbah yang disampaikan, sebagai pedoman dalam kehidupan kita seharian, antaranya:

1. Umat Islam hendaklah menghormati dan menghargai guru, bukan memperlekeh apatah lagi menghina mereka.

2. Ibu bapa dan juga masyakarat hendaklah berperanan sebagai guru di luar sekolah.

3. Pengurusan masa yang berkualiti amat penting bagi melahirkan pelajar yang cemerlang akademik dan akhlaknya.

4. Negara amat memerlukan modal insan yang berkelakuan baik dan mempunyai kemahiran yang tinggi.

5. Pihak guru juga hendaklah mempersiapkan diri dengan ilmu yang mantap, keperibadian yang mulia dan akhlak yang terpuji agar menjadi contoh dan ikutan yang baik.

6. Semua pihak perlu berganding bahu dalam memartabat pendidikan demi mencapai kebahagian di dunia dan di akhirat.

Ingatlah muslimin yang dirahmati Allah sekalian, sesungguhnya negara cemerlang terhasil daripada umat yang cemerlang, bangsa cemerlang terhasil daripada keluarga yang cemerlang, keluarga cemerlang terhasil dari individu cemerlang, manakala individu cemerlang terhasil daripada didikan insan bergelar guru.

“Dialah yang telah mengutus di kalangan orang (Arab) yang Ummiy (yang tidak tahu membaca dan menulis), seorang rasul (Nabi Muhammad SAW) daripada kalangan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya), dan membersihkan mereka (daripada iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan hikmah (hukum-hakam yang terkandung di dalam al-Quran atau hadis). Sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata”.(Surah al-Jumuah : 2).

Tags: cikgu, guru, khutbah, teachers
Subscribe

Posts from This Journal “guru” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments