mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Atasi panas El-Nino dengan wuduk

MALAYSIA mengalami cuaca panas yang melampau. Sesetengah tempat mencatatkan suhu mencecah 37 hingga 40 darjah Celsius. Hujan tidak turun di kebanyakan kawasan dan ia berpunca daripada fenomena El-Nino yang melanda negara sejak Ogos 2015.

El-Nino memberi kesan cuaca panas dan kering, jerebu akibat pembakaran terbuka, krisis bekalan air dan penularan penyakit bawaan vektor, air dan makanan. Pendedahan kepada cuaca panas memberi kesan kepada kesihatan manusia seperti strok haba yang membawa kematian. Masyarakat perlu bersiap sedia dan mengambil tindakan sewajarnya menghadapi fenomena ini.

Maklumat bagi krisis ini boleh dilayari melalui laman web Kementerian Kesihatan (KKM), di samping membuat pemantauan suhu di kawasan persekitaran melalui laman web Jabatan Meteorologi Malaysia.

Dalam situasi inilah, Islam mensyariatkan berwuduk sebagai amalan harian, bahkan wajib mendirikan solat lima waktu. Tiada solat tanpa berwuduk terlebih dahulu. Perihal wuduk dinyatakan ALLAH SWT dalam Surah Al-Maidah ayat 6 yang menjelaskan anggota wuduk yang wajib, cara mengerjakannya dan Surah Al-Nisa' ayat 43 juga menyatakan air sebagai agen penyucian wuduk serta perkara membatalkannya.



Wuduk mendidik umat Islam bertanggungjawab dalam memelihara kebersihan diri. Setiap hari anggota tubuh manusia pasti melakukan banyak pekerjaan yang menjadi punca kekotoran dan jangkitan penyakit. Anggota yang paling banyak melakukan pekerjaan ialah tangan, kaki, mulut dan hidung. Anggota lain yang biasanya terdedah kepada debu dan kuman ialah muka, telinga dan kepala.

Berwuduk adalah menyapukan air ke bahagian ini agar kuman dan kotoran punca pelbagai penyakit tidak bertapak lama pada tubuh manusia. Wuduk bertindak sebagai satu agen penyucian fizikal manusia. Bahagian tubuh yang dibersihkan ketika berwuduk adalah bahagian terdedah yang sentiasa menjadi tumpuan mikro organisma pembawa penyakit. Apabila berwuduk, bahagian kulit tersebut dibersihkan sekali gus berupaya menghindari jangkitan penyakit.

Secara khusus, wuduk adalah salah satu daripada aktiviti yang dapat memelihara kesihatan diri. Setiap anggota wuduk yang dibersihkan, sangat berkait-rapat dengan pemeliharaan kesihatan tertentu bagi anggota tersebut iaitu :

Berkumur - Membersihkan dan memelihara mulut dan tekak, melindungi gigi dan membersihkannya daripada sisa makanan yang melekat di celah gigi di samping menghilangkan nafas berbau.

Membersihkan hidung ketika berwuduk dapat menjauhkan bakteria yang masuk melalui hidung daripada dipindahkan ke bahagian organ tubuh lain badan manusia yang menjadi punca pelbagai penyakit.

Basuh muka boleh membersihkan permukaan kulit yang berminyak.

Basuh kepala, tangan dan kedua kaki akan membersihkan organ fizikal manusia yang sangat terdedah kepada bakteria.

Basuh telinga, membersihkan debu dan kotoran yang ada pada telinga yang boleh menyihatkan pendengaran.

Penyucian fizikal yang dilakukan pada bahagian anggota wuduk, tidak dapat dipisahkan dengan penyucian rohani terhadap anggota tersebut. Umat Islam seharusnya sentiasa berusaha untuk berwuduk sekali gus menunaikan ibadah solat lima waktu sepertimana yang disyariatkan.  Anggota-anggota yang sering berdosa disucikan dengan wuduk.

Wuduk mampu memberi kesan yang positif terhadap tubuh manusia sama ada secara jasmani mahupun rohani. Wuduk yang dilaksanakan mengikut tertib berupaya menghindarkan umat Islam daripada pelbagai penyakit yang berkaitan dengan fizikal manusia. Wuduk boleh menjadi terapi yang baik untuk kesihatan diri.

Secara fizikal, wuduk memberi kesan positif kepada jasmani manusia khususnya dari sudut kebersihan tubuh badan seseorang. Mengambil wuduk atau membasahkan diri dapat mengimbangi haba dan suhu badan. Penggunaan air untuk berwuduk menunjukkan ibadah ini berkait rapat dengan kebersihan dan kesihatan diri secara langsung kerana air mutlak yang digunakan adalah air suci lagi menyucikan. Ia boleh disifatkan sebagai agen yang boleh menyejukkan kembali tubuh badan. Penyejukan ini diperlukan bagi mengelak daripada berlakunya kepanasan badan yang melampau.

Oleh itu, umat Islam seharusnya sentiasa berusaha untuk berwuduk dan mengekalkannya selagi tidak ada keuzuran yang menghalang, malahan digalakkan memperbaharui wuduk.

Inilah wasatiyyah seorang Muslim, yang sentiasa beristiqamah melaksanakan perintah-Nya, di samping menangani situasi bahang panas El-Nino yang dihadapi.

Sama-sama kita berdoa kepada-Nya supaya menurunkan hujan bagi mengatasi kemarau dan terhindar daripada kesan kepanasan melampau, semoga cuaca negara kita kembali pulih seperti sediakala.

Diriwayatkan Rasulullah SAW mengangkat kedua belah tangan dan berdoa: Ya ALLAH! Turunkanlah hujan kepada kami, Ya ALLAH! Turunkanlah hujan kepada kami, Ya ALLAH! Turunkanlah hujan kepada kami!." (Riwayat Muslim)

Tags: wuduk
Subscribe

Posts from This Journal “wuduk” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments