mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Amalan malam nisfu Syaaban

KITA sedang berada dalam bulan Syaaban dan hampir menemui satu malam yang dinamakan malam nisfu Syaaban. Sudah tentu pada malam tersebut mempunyai keistimewaan tertentu kerana bulan Syaaban sendiri sudah mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

Rasulullah SAW sendiri menyatakan bahawa catatan amalan kita akan dipersembahkan kepada ALLAH dalam bulan Syaaban seperti yang terkandung di dalam hadith baginda SAW yang diceritakan oleh Usamah bin Zaid r.a dan diriwayatkan oleh al Nasa’i: Wahai Pesuruh ALLAH, saya tidak pernah melihat tuan berpuasa lebih banyak daripada tuan berpuasa di dalam bulan Syaaban.

Baginda SAW menjelaskan: Itulah bulan yang sering diabaikan kebanyakan orang. Ia datang antara Rejab dan Ramadan. Bulan yang diangkat di dalamnya segala amalan kepada Tuhan sekalian alam. Dan aku cukup suka jika amalanku diangkat sedangkan aku sedang berpuasa.

Sebagai bukti betapa baginda SAW sangat mengharapkan rekod dokumentasi catatan amalan baginda dipersembahkan kepada ALLAH dalam keadaan baik walaupun baginda SAW terpelihara daripada dosa dengan memperbanyakkan berpuasa di dalam bulan Syaaban sebagaimana Baginda SAW berpuasa pada hari Isnin dan Khamis. Ini disebabkan laporan  amalan dipersembahkan kepada ALLAH pada detik-detik itu.

Itulah kelebihan bulan Syaaban secara umum. Namun pada malam menjelang 15 Syaaban, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa pada malam itu ada keistimewaannya tersendiri.

Maka masyarakat Melayu sangat menghargai dan tidak melepaskan peluang merebut peluang besarnya kelebihan pada malam itu dengan mengadakan beberapa ibadat seperti  membaca Yasin di surau dan masjid.

Ada yang membacanya sebanyak tiga kali dan diakhiri bacaan doa tertentu. Ada yang menyarankan solat tertentu dan ada yang berpuasa keesokan harinya.

Sebenarnya tiada amalan khusus yang diwajibkan pada malam nisfu Syaaban. Adalah menjadi bid’ah jika kita mewajibkan ibadat tertentu pada malam itu, namun melakukan sebarang ketaatan pada malam itu sebagai memenuhi malam yang sangat istimewa itu adalah tidak dilarang.

Membaca al-Quran dari mana-mana surah termasuk surah Yasin juga dikira sebagai satu ketaatan. Hendak membaca banyak kali pun tiada halangan tetapi bukan bilangan yang dikejar, tetapi bacalah dengan memenuhi hak-hak bacaan yang sebenar dan lakukanlah dengan tertib, tadabbur dan ta’aqqul.

Baca sekali dengan tartil dan penuh penghayatan jauh lebih baik dari membacanya secara tergesa-gesa untuk mengejar bilangan. Selepas itu bacalah apa-apa doa yang kita hajati kepada ALLAH. Tidak terikat dengan doa yang biasa dibaca sebelum-sebelum ini.

Namun kalau kita berhasrat membaca doa sedia ada pun tiada halangannya selama mana kita tidak menganggap ibadat tadi adalah agenda wajib pada malam itu. Lakukanlah solat sunat mutlak ataupun solat sunat yang disunnahkan Nabi SAW pada bila-bila masa seperti solat sunat tasbih dan sebagainya pada malam itu. Pada keesokan harinya, jika ada yang sudah melazimi dan memperbanyakkan berpuasa dari awal bulan Syaaban bolehlah meneruskan puasa sunatnya.

Namun ada satu tawaran hebat daripada ALLAH SWT pada malam itu. Iaitu tawaran pengampunanNya pada malam itu sangat lumayan, namun terdapat dua golongan yang terkeluar dari tawaran berkenaan.

Rasulullah SAW bersabda dalam satu hadith yang diperakui oleh ulama sebagai hadith yang paling sahih berkaitan dengan kelebihan malam nisfu Syaaban: ALLAH akan muncul (rahmat dan pengampunannya) kepada seluruh makhlukNya pada malam nisfu Syaaban dan mengampunkan seluruh makhlukNya kecuali orang yang mensyirikkan ALLAH dan orang yang saling bermusuhan (Hadith Riwayat al Tobroni).

Kelebihan pada malam itu ialah tawaran pengampunan terbuka luas. Ibadat paling utama pada malam itu ialah membersihkan diri, keluarga dan masyarakat dari gejala syirik dan semua perkara yang mengarah kepada kesyirikan.

Alangkah baiknya pada malam itu masyarakat diingatkan bentuk fahaman yang membawa kepada pegangan menidakkan kuasa mutlak ALLAH SWT seperti fahaman yang memfokuskan manusia dan kehendaknya agar dipenuhi, melihat hukum-hakam agama sebagai penghalang kepada kebebasan mutlak individu, fahaman meletakkan aqal melepasi nas-nas syarak, menghalalkan dan mengiktiraf hubungan terlarang dan sebagainya.

Ini adalah contoh menidakkan kuasa mutlak ALLAH dan mengecilkan had kuasa agama pada ruang lingkup terhad dan selebihnya diserahkan hak kuasanya ditentukan oleh makhlukNya.

Ibadat yang paling utama pada malam itu ialah menamatkan permusuhan sesama saudara Islamnya. Jangan kita tersilap, hadir ke masjid beramai-ramai, membaca Yasin sampai tiga kali, berdoa selepas itu memohon keampunan, namun masih menyimpan permusuhan sesama sendiri yang akan menghalang pengampunan ALLAH SWT.

Dalam isu kelebihan malam itu, ALLAH meletakkan sebaris orang musyrik dan orang bermusuhan sebagai golongan yang terkeluar dari tawaran pengampunan ALLAH SWT.

Tags: syaaban
Subscribe

Posts from This Journal “syaaban” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments