mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Mufti tak bersendirian keluar fatwa

Setiap fatwa yang dikeluarkan mufti bukan dilakukan secara bersendirian. Mufti terlebih dulu akan memanggil Jawatan Kuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri (Jawatan Kuasa Fatwa) untuk berunding dan banyak proses perlu dipatuhi termasuk melaksanakan perbincangan dan pandangan pada peringkat negeri dan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa peringkat Kebangsaan sehingga semua pihak berpuas hati sebelum ia diputuskan.

Jika sesuatu perkara itu membabitkan hal bersifat kebangsaan, selepas itu akan dibincang semula ke peringkat negeri dan kebiasaannya jarang sekali timbul percanggahan mengenainya.

Jawatankuasa Fatwa peringkat negeri terdiri daripada tenaga pakar dari kalangan ulama dan cendikiawan yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri masing masing yang diperkenankan pelantikannya oleh Tuanku Sultan sendiri, selepas itu perbincangan mendalam mengenai sesuatu perkara dilakukan, baharulah keputusan dibuat dan diterima oleh semua pihak.





Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang 2015. - Foto ihsan mufti.pahang.gov.my. Gambar kecil, keratan akhbar BH kelmarin.


Bahkan, apabila bercakap soal fatwa, sebelum ia dikeluarkan ia merujuk secara teliti hukum syarak dan dalil yang menyokongnya, walaupun ada percanggahan pendapat dengan fatwa lain.

Kebiasaannya keputusan yang dibuat akan melihat secara menyeluruh terutama berkaitan dengan maslahah umat Islam setempat dalam sesebuah negeri.

Merujuk hukum hakam syarak

Muzakarah Fatwa Peringkat Kebangsaan adalah muzakarah saja bukan fatwa.

Fatwa adalah diputuskan di setiap negeri sebagaimana disebut dalam enakmen negeri.

Fatwa juga mempunyai kuasa perundangan selepas ia diwartakan.

Negeri pula, umpamanya di Pahang, tidak ada masalah besar mengenai penyelarasan pelaksanaan fatwa dengan Muzakarah Fatwa Peringkat Kebangsaan apabila ia diputuskan.

Hendaklah difahami fatwa yang dikeluarkan merujuk kepada hukum hakam syarak dan ia tidak dipengaruhi keputusan fatwa lain atau di negeri lain sebagaimana kaedah dan syarat ijtihad pengeluaran fatwa.

Saya agak hairan dengan kenyataan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin yang disiarkan BH kelmarin yang menyifatkan fatwa dikeluarkan oleh mufti tidak mengambil kira keadaan umat Islam di negara ini, selain cuma mengambil fatwa mengenai sesuatu perkara dikeluarkan di luar negara.

Amalan biasanya juga melihat kepada penyelarasan yang diputuskan pada peringkat kebangsaan, tetapi keputusan pada peringkat negeri adalah muktamad.

Keputusan fatwa ini tidak boleh dibuat secara ikut-ikutan. Keputusan sesuatu fatwa dibuat berdasarkan perbincangan yang merujuk hukum syarak dengan mengemukakan banyak dalil.

Jika menyentuh isu besar membabitkan peringkat kebangsaan, yang telah dibincangkan dalam muzakarah, negeri lazimnya akan membuat keputusan yang jarang bercanggah dan tidak mendahului keputusan kebangsaan.

Perbezaan fatwa

Fatwa kebangsaan yang membabitkan perkara besar, lazimnya diselaraskan pada peringkat negeri selepas dibahas dan dipertimbangkan dalam Jawatankuasa Fatwa pada peringkat negeri Pahang.

Perbezaan fatwa antara negeri secara teknikalnya tidak banyak berlaku, mungkin jika ada pun sangat kecil.

Misalnya, dalam kes anak lahir lebih daripada enam bulan hijrah, kebanyakan negeri memfatwakannya boleh anak itu berbinkan bapanya.

Jika lahir kurang daripada enam bulan hijrah tidak boleh dibinkan bapanya walaupun ada negeri yang memfatwakan boleh dibinkan kepada bapanya.

Namun, Jabatan Pendaftaran Negara tidak mendaftarkan kelahiran anak yang lahir kurang daripada enam bulan kerana mengikut fatwa yang diputuskan peringkat kebangsaan.

Pada masa yang sama, isu perbezaan kecil fatwa ini antara negeri tidaklah menimbulkan konflik sehingga boleh memecah belahkan umat.

Anggaplah ini ada hikmahnya kerana Allah Taala menjadikan bukan semua manusia sama fikiran dan kegemaran, sebagaimana ada yang gemar dan tidak memakan juadah sama.

Sebab itu perbezaan pendapat ulama itu adalah satu rahmat Allah. Dengan itu, isu kebangsaan ini perlu kesepakatan mengikut keperluan negeri masing-masing.
Tags: fatwa, hukum
Subscribe

Posts from This Journal “fatwa” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments