mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Bertakwalah di mana kamu berada kepadaNya

SEGALA puji bagi ALLAH SWT yang mengutus rasul-Nya dengan petunjuk dan agama yang hak agar dapat dizahirkan atas semua agama yang lain dan memadai ALLAH sebagai saksinya. Kita bersaksi tiada tuhan berhak disembah kecuali ALLAH dan Muhammad adalah hamba ALLAH dan pesuruh-Nya. Selawat ALLAH dan salam-Nya atas Baginda SAW, keluarga dan sahabat Baginda SAW.

Ketahuilah ALLAH telah mengutus Nabi-Nya, Muhammad SAW dengan membawa bersama himpunan kata-kata pedoman yang ringkas lagi padat. Barangkali berbilang hukum-hakam dan ilmu pedoman dirangkumkan dalam sebuah jumlah yang ringkas. Antaranya sabda Baginda SAW: "Bertakwalah kamu kepada ALLAH di mana jua kamu berada; susulilah keburukan dengan kebaikan nescaya ia akan menghapuskannya; dan bergaullah bersama masyarakat dengan akhlak yang baik." (Riwayat Tirmizi, hadis hasan)

Ini adalah hadis yang agung lagi ringkas perkataannya di mana Rasullah SAW menghimpunkan dalamnya hak ALLAH dan hak-hak manusia.

Hak ALLAH dalam hadis ini ialah supaya bertakwa kepada-Nya dengan sebenar-benar takwa. Demikian ALLAH wasiatkan kepada orang-orang dahulu dan yang datang kemudian supaya mereka bertakwa kepada-Nya.

Takwa ertinya seorang hamba mengambil perlindungan bagi melindungi dirinya daripada apa yang ditakutinya agar selamat daripadanya. Seorang hamba yang bertakwa kepada ALLAH adalah seorang yang berlindung daripada kemurkaan ALLAH, azab dan hukuman-Nya dengan melaksanakan ketaatan kepada-Nya dan menjauhi larangan-Nya.

Ada kalanya ALLAH memerintahkan supaya bertakwa kepada-Nya kerana Dialah yang selayaknya ditakuti, digeruni dan diagungkan dalam hati hamba-Nya sehingga mereka menyembah dan mentaati-Nya. Di kala yang lain, ALLAH memerintahkan hamba-Nya supaya bertakwa daripada api neraka.

ALLAH memerintahkan hamba-Nya supaya bertakwa daripada hari kiamat. Seperti mana firman-Nya: "Bertakwalah kamu daripada huru-hara hari yang padanya kamu akan dikembalikan kepada ALLAH, kemudian akan disempurnakan balasan setiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak akan dizalimi." (Surah Al-Baqarah: 281)

PESANAN ULAMA SALAF

Berikut beberapa penjelasan daripada ulama salaf perihal erti takwa. Kata Ibnu Abbas: "Orang bertakwa adalah orang yang berjaga-jaga daripada ALLAH dan balasan-Nya."

Imam Al-Hasan Al-Basri menjelaskan: "Orang bertakwa adalah orang yang memelihara diri mereka daripada apa yang ALLAH haramkan dan melaksanakan apa yang ALLAH fardukan." Menurut Khalifah Umar bin Abdul Aziz: "Takwa itu bukan dengan berpuasa pada siang hari dan solat pada waktu malam lalu mencampuradukkan maksiat antara keduanya. Sebaliknya, bertakwa kepada ALLAH adalah meninggalkan apa yang ALLAH haramkan dan melaksanakan apa yang ALLAH fardukan. Barang siapa yang setelah itu dikurniakan kebaikan, maka ia adalah kebaikan atas kebaikan."

Kata Talq bin Habib: Takwa adalah engkau melakukan ketaatan kepada ALLAH dengan berpandukan cahaya daripada ALLAH dengan mengharapkan ganjaran pahala daripada-Nya; di samping meninggalkan maksiat terhadap ALLAH dengan berpandukan cahaya daripada ALLAH kerana khuatir akan hukuman ALLAH."

Berkata Maimun bin Mahran: "Orang bertakwa lebih banyak melakukan muhasabah atas dirinya berbanding rakan kongsi yang kedekut yang sentiasa mengawasi rakan kongsinya." Ketika menjelaskan firman ALLAH dalam Surah Ali-Imran ayat 102, berkata Abdullah bin Mas'ud RA: "Ditaati dan tidak derhaka terhadap-Nya, diingati dan tidak dilupakan, serta disyukuri dan tidak dikufuri."

Justeru, takwa menjadi wasiat peringatan ALLAH buat sekalian makhluk-Nya. Ia juga wasiat Nabi SAW kepada umatnya. Menjadi kebiasaan Baginda SAW apabila mengutus panglima perangnya Baginda SAW berpesan kepadanya agar bertakwa kepada ALLAH dalam hal yang melibatkan dirinya dan tentera bawah seliaannya. Demikian juga pesanan Baginda SAW dalam khutbah haji Wada' pada Hari Raya Haji di mana Baginda SAW mengingatkan manusia supaya bertakwa kepada ALLAH. Hal ini terus diamalkan oleh generasi salaf soleh kurun demi kurun.

TAKWA DALAM SEGALA KEADAAN

Pesan Nabi SAW: "Bertakwalah kepada ALLAH di mana jua kamu berada." Yakni sama ada ketika di hadapan manusia lain ataupun ketika bersendirian. Sama ada ketika ada orang lain memandang ataupun ketika dalam keadaan sembunyi.

Barang siapa meyakini ALLAH sentiasa melihatnya, zahir dan batin, apa yang ditunjukkan dan apa yang disembunyikan, dan dia berasakan hal tersebut ketika dia bersendirian, keyakinan tersebut membuatkannya meninggalkan maksiat ketika sembunyi.

Seorang lelaki soleh mengutus sepucuk warkah kepada saudaranya: "Saya berpesan kepada kamu agar bertakwa kepada ALLAH yang menjadi penyelamatmu ketika kamu bersendirian dan pengawasmu ketika di hadapan khalayak. Ingatlah ALLAH sentiasa sepanjang siang dan malam. Takutlah daripada ALLAH dengan kadar hampir Dia dengan kamu dan kudrat-Nya atas kamu. Ketahuilah kamu sentiasa di bawah penguasaan-Nya. Kamu tidak akan terkeluar daripada jagaan-Nya kepada jagaan orang lain, mahupun daripada pemilikan-Nya  kepada pemilikan orang lain. Hendaklah kamu berwaspada terhadap ALLAH dengan penuh perasaan gerun dan pengagungan."

Saudaraku,

Takutlah kepada ALLAH dalam segala keadaanmu dan dalam segala tingkah lakumu. Bertakwalah kepada ALLAH terhadap dirimu, isteri dan anakmu. Bertakwalah kepada ALLAH dalam urusan ibadahmu dan tunaikanlah ia seperti mana diwajibkan atasmu. Bertakwalah kepada ALLAH dalam urusan muamalah dan perniagaanmu. Ambillah yang halal dan tinggalkan yang haram. Bertakwalah kepada ALLAH dalam urusan kerja yang diamanahkan kepada kamu. Tunaikan ia seperti mana diminta.

SIFAT MANUSIA TIDAK SEMPURNA

Seorang hamba tidak akan lari daripada melakukan kesalahan dan akan ada kekurangan dalam menunaikan tanggungjawab dan kewajipan, Nabi SAW memerintahkan supaya kesalahan dan keburukan disusuli dengan kebaikan agar dapat dihapuskan kesalahan dan keburukan tersebut.

Kebaikan adalah kata nama yang menghimpunkan segala apa yang mendekatkan seseorang hamba itu kepada ALLAH. Dan kebaikan yang paling besar yang dapat menghapuskan keburukan dan dosa ialah taubat nasuha, beristighfar dan kembali kepada ALLAH dengan mengingati-Nya, disulami perasaan cinta, takut dan berharap kepada-Nya.

Tags: takwa
Subscribe

Posts from This Journal “takwa” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments