mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Pembasmian rasuah sudah ada dalam Islam

BARU-BARU ini terdapat berita bahawa Malaysia akan menjadikan pencegahan rasuah dan inte­griti sebagai mata pelajaran di sekolah mulai tahun depan. Mata pelajaran itu akan diperkenalkan di sekolah rendah, menengah dan peringkat pengajian tinggi bagi mewujudkan kesedaran generasi muda tentang bahaya rasuah.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan dalam menyelaraskan model pendidikan tempatan dan antarabangsa untuk menjamin kejayaannya.

Masyarakat hari ini sering menilai kejayaan seseorang individu berdasarkan apa yang dimiliki. Rumah besar, kereta besar, anak ramai, pangkat tinggi, gaji besar, kecerdikan yang hebat, mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan, menjadi usahawan yang kaya-raya dan lain-lain.

Jelas penilaian kejayaan seseorang itu adalah dari segi kebendaan semata-mata. Apa yang dimiliki hari ini menjadi kebanggaan seseorang. Walaupun berjaya di mata manusia, sejauh mana menepati kehendak Allah dalam kehidupan ini?

Nilai yang kita ambil sepatutnya adalah nilai Islam, rujukan kita adalah rujukan Islam. Apabila kejayaan tidak seiring dengan apa yang dikehendaki Allah, ia tertolak. Kejayaan di sisi Allah adalah berbeza dengan konsep kejayaan yang sering dilaung-laungkan.

Dalam Surah Al-Mukminun ayat 1-9 bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman, iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya, orang yang menjauhkan diri daripada (perbuatan dan percakapan) yang tidak berguna, orang yang menunaikan zakat dan orang yang memelihara kemaluannya kecuali terhadap isteri mereka atau hamba sahaya yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka tidak tercela, tetapi barang siapa mencari di sebalik itu (zina dan sebagainya), maka mereka itulah orang yang melampaui batas. Dan orang yang memelihara amanah dan janji serta orang yang memelihara solatnya.”

Banyak lagi ayat lain tentang orang yang berjaya. Semuanya menunjukkan bahawa kejayaan di sisi Allah adalah berdasarkan perbuatan manusia yang beramal soleh dan bukan apa yang dimiliki.

Kita lihat terdapat enam sifat orang berjaya yang di­sebutkan iaitu, orang yang khusyuk dalam solat, orang yang menjauhkan diri daripada percakapan yang tidak berguna(mengumpat/mengutuk/mengeji), orang yang menunaikan zakat, orang yang memelihara kemaluan daripada zina, orang yang memelihara amanah dan orang yang memelihara solat.

Justeru selagi kita meninggalkan ciri-ciri orang yang berjaya maka kita belum lagi boleh dikategorikan sebagai orang yang berjaya. Kereta besar, rumah besar, gaji besar, telefon bimbit terkini belum mampu untuk kita dikategorikan sebagai orang yang berjaya. Jika kita memiliki semua itu hanyalah kejayaan di mata manusia dan bukan kejayaan yang sebenar yang telah diterangkan dalam al-Quran.

Sebagai orang Islam inilah yang perlu kita sedari. Apakah tuntutan Islam pada diri kita? Segala pandangan dan neraca hidup kita perlu diselarikan dengan Islam. Tetapi ramai yang terlalai daripada perkara ini dan tidak peka akan tuntutan agama.

Oleh kerana kebendaan begitu dipentingkan, maka yang tidak berkemampuan juga akan cuba untuk tidak ketinggalan mendapatkannya. Akibatnya, gejala rasuah berleluasa hatta dalam kalangan orang Islam sendiri.

Rasuah adalah cara yang paling singkat untuk mendapatkan apa yang diingini tanpa mengambil masa yang lama. Namun orang Islam sepatutnya sudah mempunyai senjata ampuh untuk menangkis godaan keduniaan. Dengan penghayatan agama maka masyarakat sudah sepatutnya mengetahui bahawa kebendaan semata-mata bukanlah matlamat hidup untuk dikejar.

Mereka menyedari matlamat hidup orang Islam lebih daripada itu, kerana bekalan di akhirat yang lebih utama. Jika matlamat itu sudah jelas dan masyarakat sudah tidak lagi memandang kebendaan sebagai ukuran kejayaan seseorang, maka pada ketika itu tidak perlu lagi diwujudkan mata pelajaran pencegahan rasuah dan integriti di sekolah dan peringkat pengajian tinggi.

Manusia tidak lagi akan mengambil rasuah kerana merasakan tiada keperluan untuk menunjuk-nunjuk. Sebaliknya iman yang didambakan dan mereka akan berlumba-lumba untuk menambahkan amal serta mempertingkatkan takwa. Tiada lagi suara-suara sumbang dan umpat keji tentang mereka yang tidak begitu mewah dan hidup sederhana.

Kehadiran Ramadan tidak lama lagi adalah masa yang sesuai untuk kita membuat perubahan. Masyarakat harus selalu diingat-ingatkan akan perkara ini secara berterusan.

Mereka harus selalu disedarkan bahawa kejayaan berbentuk kebendaan hanyalah tipu daya dan perhiasan dunia untuk sementara. Bagi umat Islam, apa yang lebih penting dan lebih utama adalah meningkatkan takwa kepada Allah SWT dan hasilnya adalah kemanisan iman yang membawa kejayaan hakiki.

- Mastura Mohd Zain Utusan Malaysia Rencana 30 Mei 2016 6:05 PM
Tags: integriti, islam, rasuah
Subscribe

Posts from This Journal “rasuah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments