mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Wesak dan Muslim Tionghoa

WESAK adalah hari kebesaran penganut Buddha yang tahun ini jatuh pada Sabtu 21 Mei lepas.

Bagi penganut agama Buddha, Wesak sangat besar pengertiannya kerana ia mengingatkan tentang seorang insan bernama Siddharta Gautama yang mengajar bagaimana dunia dan segala isi kandungan sesuatu yang tidak kekal tetapi yang tidak kekal itulah yang mendatangkan ketenangan hidup serta aman sejahtera kepada jiwa manusia.

Segala yang ada tidak kekal dan disebut sebagai anicca. Kerana semua yang ada tidak kekal, maka yang empunya diri juga tidak kekal dan disebut sebagai anatta.

Kerana jiwa pun tidak kekal, maka apa yang dimiliki dan dinikmati juga tidak kekal dan mendatangkan rasa kehilangan dan ketidakpuasan yang bernama dukkha.

Bagi sesetengah manusia, dunia adalah sesuatu yang penuh dengan kenikmatan hidup. Kenikmatan hidup pula dikaitkan dengan kenikmatan kebendaan sehingga hidup tertumpu kepada mengumpul harta kekayaan sehingga lupa bahawa dia akan mati satu hari nanti.

Bila terfikir tentang mati, dia akan berasa cemas, sedih dan runsing sehingga kedukaan menyelubungi jiwanya kerana dia akan hilang segala-galanya yang diraih selama ini.

Pandangan hidup sebegini terjadi disebabkan oleh avidya iaitu cara melihat kehidupan yang tidak betul.

Cara yang betul ialah dengan melihat dunia sebagai tempat untuk menjalani kehidupan tetapi kehidupan yang tidak menyebabkan nafsunya terikat kepada dunia sehingga dia menjadi hamba kepadanya yang akhirnya boleh membawa kepada jenis peribadi yang mementingkan diri dan meminggir yang lain serta diikuti oleh perangai dan tindak-tanduk yang tidak mencerminkan nilai kemanusiaan seperti membohong, menipu, mencuri, mengamal rasuah dan pecah amanah semata-mata kerana ingin memiliki sebanyak kemewahan yang mungkin, tetapi berkesudahan dengan samsara atau kesengsaraan dan bukannya kebahagiaan.

Sebaliknya, kebahagiaan hidup itu ialah bila mana seseorang itu mengetahui bahawa apa yang dimilikinya hanyalah sementara dan kerana itu dia bersedia untuk berkongsi dengan yang lain terutama mereka yang kurang mampu ataupun yang tidak dapat menikmati walaupun sesuap nasi untuk diri.

Faham hidup sebegini memancarkan jiwa karuna dalam diri seseorang iaitu jiwa yang terpancar dengan rasa prihatin, simpati dan kasih sayang terhadap yang selain dari diri, sama ada manusia, haiwan, atau tumbuhan.

Keadaan jiwa sebegini disebut sebagai nirvana kerana mengetahui bahawa yang tidak kekal itu membawa kebahagiaan hidup sebenar.

Islam juga mengajar bahawa segala yang ada tidak kekal tetapi di sebalik yang tidak kekal itu adanya yang kekal.

Manusia, haiwan, dan tumbuhan semua datang dan pergi tetapi yang kekal adalah pencipta mereka iaitu Yang Maha Esa.

Walaupun yang pergi tidak lagi kembali dan diganti dengan yang baharu, ini hanya boleh terjadi seandainya ada yang kekal yang boleh membawa yang baharu untuk mengganti yang telah tiada.

Yang kekal adalah Tuhan dan Tuhan mengajar bahawasanya walaupun kehidupan dunia yang sedia ada tidak kekal, namun amalan kehidupan di dunia boleh membawa kepada kehidupan yang berkekalan yang lebih baik dan lebih nikmat kehidupannya. Ini adalah kehidupan akhirat yang abadi dan untuk selamanya.

Kekayaan yang kita peroleh, umpamanya, boleh membawa kepada kebahagiaan di akhirat seandainya kita menjadikannya kebahagiaan di dunia.

Ini boleh terjadi dengan kita berkongsi apa yang kita ada, terutama dengan mereka yang kurang mampu supaya dapat sama-sama menikmati apa yang kita sendiri nikmati.

Zakat, umpamanya, adalah satu kewajipan yang bertujuan untuk mengasuh jiwa supaya kita menjadi murah hati dan seterusnya menjadi insan rahmatan lil alamin yang akan menjadikan bersedekah sebagai amalan sepanjang hayat kita.

Justeru, seorang Tionghoa yang memilih untuk mengamal kehidupan Islam akan mendapati ajaran yang dianuti sebelum ini boleh menyumbang kepada kehidupannya yang kini kerana falsafah kemanusiaan ajaran Buddha boleh menjadi perantara yang berguna untuk memahami Islam dengan lebih telus dan jelas serta membantunya untuk mengamal Islam dengan lebih khusyuk dan yakin. Dr Yamin Cheng Sinar Harian Rehal 1 Jun 2016

Tags: muslim, perayaan
Subscribe

Posts from This Journal “perayaan” Tag

  • Usah sertai Halloween

    Kuala Lumpur: Perayaan Halloween bertentangan dengan nilai syariah dan semua umat Islam tidak perlu menyambutnya kerana dibimbangi akan…

  • Nilai semula agenda sambut tahun baharu

    SABAN tahun, sambutan di ambang tahun baru disambut oleh pihak kerajaan sehingga ia sudah menjadi acara tahunan negara. Berikutan sambutan tersebut,…

  • Raikan perayaan pelbagai agama bukti kita harmoni

    Kebebasan beragama membenarkan pelbagai pihak menyambut perayaan masing-masing mengikut garis panduan yang ditetapkan perundangan dan Perlembagaan.…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments