mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Ahlan Ya Ramadhan”

Petikan Khutbah Jumaat 03 Jun 2016: JAIS

“Ahlan Ya Ramadhan”

Bulan Ramadhan yang bakal menjengah kita merupakan tetamu yang sangat istimewa. Tetamu ini hanya datang sekali dalam setahun. Kehadirannya membawa seribu satu kebaikan dan keberkatan.

Bersama dengan kehadirannya juga hadiah dan pemberian daripada ar-Rahman, pahala dan ganjaran yang digandakan, dan segala perbuatan dan amalan yang boleh meningkatkan keimanan.

Oleh itu, kedatangan bulan Ramadhan ini merupakan berita gembira untuk kita semua supaya menjadi galakan kepada kita untuk melakukan kebajikan.

Ia adalah berita gembira buat seseorang mukmin kerana pintupintu syurga dibuka pada bulan ini. Dan juga berita gembira buat pendosa dan pelaku maksiat kerana pintu-pintu taubat dibuka luas dan pintu-pintu neraka ditutup.

Bahkan berita gembira kepada seluruh umat manusia kerana syaitan dibelenggu pada bulan ini.

Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: إِذَا جاءَ رمضانُ فُتحت أَبواب الْجنة وغُلِّقَت أَبواب النارِ وصفِّدت الشياطين “Apabila datang bulan Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka, dan dibelenggu syaitan”. (Riwayat Muslim).

Ahlan ya Ramadhan. Bulan yang dinamakan juga sebagai bulan ibadah puasa. Ia mula difardhukan pada bulan Syaaban tahun kedua hijrah.maka bermulalah saat itu, seluruh umat Islam wajib berpuasa sepanjang bulan Ramadhan. Ibadah ini bakal mendekatkan diri kita kepada Allah SWT ditambah dengan amalan-amalan lain yang sangat digalakkan untuk dilakukan. Bagi orang-orang soleh bulan ini adalah bulan pesta ibadah, agar termasuk dalam golongan yang dibebaskan oleh Allah SWT daripada azab api neraka.

Hadis daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap malam akan ada suara yang menyeru; wahai pencari kebaikan! Terimalah!. Wahai pelaku kejahatan! Cukuplah!. Dan bagi Allah terdapat orang-orang yang dibebaskan daripada api neraka, demikian itu (berlaku) setiap malam. (Riwayat at-Tirmizi).

Kita hendaklah membuat persediaan dan persiapan yang sewajarnya bagi menyambut kedatangan Ramadhan sebagai tetamu istimewa kita. Di antara persediaan dan persiapan tersebut ialah:

Pertama: Bersihkan hati dan perbaharui niat.

Sebelum kedatangan bulan Ramadhan yang mulia, alangkah eloknya jika kita dapat beristighfar dan bertaubat memohon keampunan Allah SWT bagi membersihkan hati dan jiwa kita, agar mudah melakukan ketaatan dan kebajikan.

Kita juga hendaklah memperbaharui niat dan azam untuk tidak mensia-siakan Ramadhan pada tahun ini. Sesungguhnya niat dan keazaman yang tinggi mampu menjadi daya kekuatan dan istiqamah dalam merebut segala ganjaran yang telah disediakan oleh Allah SWT dalam bulan ini khususnya menerusi ibadah fardhu dan sunat.

Contohilah ibadah nabi SAW yang sangat mengambil berat dalam melaksanakan ibadah di dalam bulan Ramadhan terutamanya pada sepuluh malam yang terakhir, sehingga ahli keluarganya juga diajak bersama.

Hadis daripada Aisyah RA memberitahu bahawa yang bermaksud: “Adalah nabi SAW apabila memasuki sepuluh (hari terakhir Ramadhan) akan menghidupkan malam, mengejutkan ahli keluarga, bersungguhsungguh dan tidak menggauli isterinya”. (Riwayat Muslim)

Kedua: Ilmu berkaitan puasa.

Persiapan seterusnya yang perlu dilakukan sebelum ketibaan bulan Ramadhan ialah persiapan ilmu fiqh berkaitan dengan ibadah puasa. Ini kerana menjadi satu kewajipan ke atas kita mempelajari sesuatu perkara sebelum kita melakukannya bagi menjamin ketepatan pelaksanaannya menurut syarak.

Dua rukun puasa iaitu niat dan menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar sehingga terbenam matahari, perlu diteliti dan difahami perbahasannya yang berkaitan dengan kedua-duanya dengan baik, seperti kemestian niat pada waktu malam, penggunaan jarum suntikan, derma darah, penggunaan alat penyembur oksigen bagi pesakit lelah dan sebagainya hendaklah merujuk kepada doktor dan guru-guru yang lebih arif.

Terdapat beberapa perbuatan yang hanya dilarang pada waktu puasa di siang hari sahaja tetapi diharuskan pada malam-malam Ramadhan, iaitu makan, minum dan bersama pasangan suami isteri.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 187 yang bermaksud: “Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Dia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib)”.

Sesungguhnya kegagalan dalam menguasai ilmu yang berkaitan dengan puasa bakal mendedahkan seseorang kepada banyak kemusykilan sehingga menjadikan dirinya tidak yakin dengan puasanya. Perasaannya menjadi resah dan gelisah kerana tidak mengetahui hukumnya. Mungkin puasanya sah tetapi disangka telah batal, dan mungkin puasanya batal tetapi masih disangka sah. Oleh itu, kita perlu membuat persediaan ilmu sebelum tibanya Ramadhan.

Ketiga: Membaca dan mentadabbur al-Qur’an.

Ramadhan demi Ramadhan telah berlalu namun ramai di kalangan kita yang buta dan jahil untuk membaca al-Quran dengan baik. Hari ini kita berpeluang mempelajari dan meningkatkan pembacaan al-Quran berpandukan kaedah dan peralatan moden yang boleh dimanfaatkan.

Sesungguhnya, al-Quran dan Ramadhan tidak boleh dipisahkan. Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya menyebut bahawa Allah SWT memuji bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan yang lain kerana telah dipilih untuk diturunkan al-Qur’an di dalamnya sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud: “Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Qur’an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah”

Beruntunglah mereka yang membaca al-Quran khususnya dalam bulan Ramadhan. Ganjaran pahala yang diberikan kepada pembaca al-Qur’an juga banyak. Nabi SAW memberitahu kita sebagaimana dalam riwayat al-Tirmizi bahawa setiap satu huruf daripada ayat al-Qur’an merupakan satu kebajikan yang bernilai sepuluh kali ganda. Apatah lagi jika dilakukan pula tadabbur ayat-ayat al-Qur’an yang telah dibaca, maka kita akan memperoleh pahala tambahan pula kerana kefahaman dan ilmu-ilmu yang dipelajari.

Tambahan pula terdapat jaminan syafa’at pada hari akhirat nanti bagi pembaca al-Qur’an pada bulan Ramadhan. Abdullah bin ‘Amru RA meriwayatkan bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Puasa dan al-Qur’an memberi syafa’at bagi seseorang hamba pada hari kiamat. Puasa berkata: Ya Allah, aku telah mencegahnya daripada makan dan syahwat pada waktu siang maka berilah syafa’at kepadaku untuknya. Al-Qur’an pula berkata: aku telah mencegahnya daripada tidur pada waktu malam maka berilah syafa’at kepadaku untuknya. Allah SWT berfirman: kedua-duanya (diizinkan) memberi syafa’at. (Riwayat Ahmad).

Keempat: Melipatgandakan amalan Infak dalam bulan Ramadhan.

Persediaan yang seterusnya ialah persedian harta yang secukupnya berdasarkan kemampuan masing-masing. Tujuannya adalah bagi diinfaqkan sepanjang bulan Ramadhan yang bakal tiba nanti. Ini kerana pahala bersedekah pada bulan Ramadhan akan dilipatgandakan oleh Allah SWT berbanding bulan-bulan lain. Nabi SAW sendiri yang merupakan manusia yang paling pemurah pun menginfaqkan hartanya dengan lebih banyak sepanjang bulan Ramadhan yang digambarkan seperti ‘angin yang bertiup’ sebagaimana dicatatkan dalam hadith.

Salah satu daripada cara untuk melipatgandakan amalan-amalan infak adalah dengan menjamu orang lain ketika berbuka puasa pada bulan Ramadhan.

Bagi yang melakukan perkara ini bakal mendapat pahala puasa orang yang berbuka tersebut tanpa berkurang walau sedikit pun. Inilah yang disebutkan oleh nabi SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani RA bahawa Rasullah SAW bersabda:“Sesiapa yang memberi makan berbuka puasa kepada orang yang berpuasa maka baginya seperti pahala orang yang berpuasa itu, sedangkan ia tidak mengurangi sedikitpun pahala bagi orang yang berpuasa itu”. (Riwayat al-Tirmizi)

Selamat datang Ramadhan. Kesemua persiapan dan persediaan yang disebutkan adalah bagi memastikan agar peluang ganjaran dan fadhilat yang Allah SWT kurniakan tidak dilepaskan begitu sahaja.

Tambahan pula, sebagaimana yang disebut oleh imam al-Qarafi dalam kitabnya al-Furuq, bahawa ibadah puasa yang difardhukan dalam bulan Ramadhan ini nanti bukan seumpama ibadah lain yang biasa kita lakukan. Ibadah ini adalah milik Allah SWT dan hanya Allah SWT sahaja yang akan memberi ganjarannya. Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda melalui sebuah hadis Qudsi: “Allah SWT berfirman: Segala amalan anak Adam (manusia) adalah baginya kecuali puasa, sesungguhnya ia (puasa) adalah untukKu dan Aku yang akan memberikan ganjaran dengannya”.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, khatib ingin berpesan kepada muslimin dan hadirin yang dirahmati Allah SWT sekali agar menghayati perkara-perkara berikut:

1. Umat Islam hendaklah memahami bahawa Islam adalah agama yang menggabungkan Aqidah, syariat dan akhlak.

2. Umat Islam hendaklah menyambut kedatangan bulan Ramadhan dengan hati yang bersih dan penuh rasa ketaqwaan.

3. Umat Islam hendaklah membuat persiapan dan persediaan yang sewajarnya sebelum keadatangan Ramadhan sama ada ilmu atau harta.

4. Umat Islam hendaklah berazam untuk meningkatkan amalan sepanjang bulan Ramadhan nanti, dan ia bermula dari sekarang dengan segala amalan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah SWT.

“Wahai orang-orang yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”. (Surah al-Baqarah: 183).

Wallahuallam.
Tags: khutbah, puasa, ramadhan
Subscribe

Posts from This Journal “ramadhan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments