mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Keluhan Ramadan lalu, nasibnya serupa tahun ini?

BEBERAPA hari lagi Ramadan menjelma. Ingatkah lagi bagaimana kita rai kehadirannya pada tahun lalu? Apa pun yang berlaku pada Ramadan lepas tidak dapat diubah lagi. Pilihan dan peluang terbuka luas di hadapan kita. Apa yang akan kita lakukan terhadap Ramadan tahun ini jika diberi peluang bertemu. Sekiranya Ramadan berbicara, mungkin inilah pesanan yang diingatkan buat kita:

Hadirku ditentukan Tuhan. Aku tidak pasti gembirakah kalian atau sebaliknya. Apa pun, terima kasih diucapkan untuk kalian yang sudi menyambut kehadiranku dan melayanku gembira. Sudah pasti, jika itu semua kalian lakukan dengan ikhlas, berpandukan syariat, tunggulah ganjaran kebaikan dari Tuhan.

Syukurlah kalian diberi peluang dan kesempatan hingga ke saat ini. Izinkan aku mencuri sedikit masa, menyampaikan pesanan, mudah-mudahan menjadi bekalan untuk kalian meneruskan perjalanan.

Ibadah tidak banyak

Masihku ingat ketika diumumkan kedatanganku dulu, kalian tersenyum gembira, melafazkan syukur tidak terhingga, kerana diberikan lagi usia bertemu denganku buat kali seterusnya.

Saat itu, aku juga turut gembira melihat reaksi kalian. Minggu pertama Ramadan, masjid diserbu. Suasana masjid yang sebelum ini suram dan muram, berubah menjadi meriah. Kalian hidupkannya dengan ibadah. Bermula dengan majlis berbuka puasa beramai-ramai, solat Maghrib dan Isyak berjemaah, diteruskan pula dengan solat tarawih dan witir. Malah ada juga sesetengah masjid yang mengisi waktu senggang dengan tazkirah.

Aku yakin, kalian lakukan semua ini semata-mata untuk meraih ganjaran pahala dijanjikan Tuhan. Jika ada yang melakukannya kerana ingin mendapat pujian manusia atau sokongan rakyat jelata, urusan ini aku serahkan antara kalian dan Tuhan. Seseorang itu akan dibalas mengikut apa diniatkan.

Namun, kegembiraanku tidak berkekalan. Semakin hampir Syawal menjelang, semakin kurang jumlah kalian. Masjid dan surau yang sebelum ini padat dengan jemaah, penuh dengan amal ibadah, bertukar suram dan tidak meriah. Bahkan, keadaannya menjadi parah, bila Syawal menjengah.

Mengapa kalian tidak teruskan saja apa yang dilakukan pada malam awal Ramadan? Apakah kekuatan yang mendorong kalian beribadah pada waktu itu? Mengapa pula ia layu apabila Ramadan berlalu? Jika kalian lakukan demi meraih ganjaran pahala, yakinlah di bulan lain juga tetap disediakan ganjaran pahala. Bahkan, di malam terakhir Ramadan dijanjikan satu malam yang pahalanya lebih baik dari seribu bulan, sepatutnya amal ibadah dilipatgandakan berbanding malam yang lain.

Sungguh aku keliru dengan apa yang berlaku. Apakah kalian beribadah kerana aku atau kerana Tuhanmu? Apakah kalian hamba kepada Ramadan atau hamba kepada Tuhan Al-Rahman?  Aku tahu, jawapannya sudah pasti kalian beribadah bukan kerana aku.  Kalian juga bukan hamba Ramadan tetapi tetap hamba Al-Rahman. Aku keliru kerana tindakan kalian tidak mencerminkan sedemikian.

Saudaraku sekalian,

Ingat kembali cara hidup kalian di awal Ramadan lalu. Kalian beramai-ramai ke masjid untuk berjemaah. Teruskanlah amalan tersebut usah berlengah. Jika tidak dihadiri kelima-lima solat fardu berjemaah, pastikan dalam setiap hari, ada solat fardu yang ditunaikan berjemaah. Jika tidak di surau atau masjid, jangan ketinggalan hidupkan solat jemaah di rumah. Tetapi, sudah pasti yang terbaik ialah jika dapat ditunaikan di masjid, kerana ia adalah 'Rumah ALLAH, ganjaran pahalanya bertambah.

Jika kalian dapat lakukan di bulan Ramadan, kenapa tidak di bulan lain? Sekali lagi aku ingin bertanya, adakah kalian hamba Ramadan atau hamba Tuhan Al-Rahman? Tepuklah dada, tanyalah iman.

Ramadan pergi, al-Quran berbunyi

Saudaraku Muslimin sekalian, masih ingatkah Ramadan yang lalu, kalian rajin mengalunkan ayat suci. Ada dalam kalangan kalian berusaha menghabiskan 30 juzuk bacaan al-Quran dalam bulan Ramadan. Tidak kurang juga menyertai tadarus al-Quran bersama kawan. Di sesetengah tempat, dianjurkan pula majlis khatam al-Quran secara besar-besaran sebagai tanda gembira dapat menghabiskan bacaan selama sebulan. Alhamdulillah, pendek kata, hubungan rapat al-Quran dan umat Islam jelas semasa Ramadan.

Tapi, sedihnya apabila aku melihat ada dalam kalangan kalian yang seolah-olah kenal al-Quran hanya pada bulan Ramadan. Tamatnya Ramadan, tamatlah hubungannya dengan al-Quran. Ditunggu pula sehingga Ramadan akan datang. Jika sebelum ini, ada kesempatan untuk membaca al-Quran, tetapi selepas Ramadan, tiada lagi masa untuk al-Quran. Kenapa ini boleh berlaku?

Ramadan hilang, sedekah berpanjangan

Ramadan berbicara lagi...

Ingatkah kalian suasana Ramadan, banyak tangan ringan menghulurkan sumbangan meringankan beban mereka yang kesempitan, anak yatim yang hilang tempat pergantungan, orang tua yang disisihkan; mereka ini mendapat perhatian semasa Ramadan. Bantuan demi bantuan dihulurkan. Pelbagai jamuan dihidangkan. Kesedihan mereka diceriakan. Kesunyian mereka dimeriahkan.

Untuk apa semua ini dilakukan? Aku yakin, mereka yang ikhlas hasratnya, tidak mengharapkan balasan pujian, melainkan ganjaran pahala dari Tuhan. Alhamdulillah, masih ada insan prihatin dengan nasib mereka yang memerlukan.

Namun, aku melihat suasana ini tidak berpanjangan. Kerancakan bersedekah yang berlaku semasa Ramadan, tidak dirasai di bulan lain. Si miskin kembali menagih simpati. Si anak yatim kembali kesunyian tidak dipedulikan. Orang-orang tua kembali murung memikirkan nasib di penghujung hari.

Perintah Tuhan Yang Satu

Ramadan berbicara…

Sebab apa kalian berpuasa? Adakah suka-suka atau ikut orang lain? Atau kerana terpaksa sebab malu dengan kawan sekerja? Aku yakin, bukan ini sebabnya. Kalian berpuasa semata-mata menurut perintah ALLAH. Demi membuktikan sifat hamba yang semestinya akur dengan arahan tuannya.

Namun, apa yang aku hairan ialah sikap sesetengah kalian. Ada yang boleh berpuasa tetapi solat fardu tidak dijaga. Ada yang boleh berpuasa, aurat tidak dipelihara. Ada yang berpuasa, rasuah disapu sama. Ada yang berpuasa, fitnah ditabur merata. Ada yang berpuasa, mulut berdusta. Ada yang berpuasa, hasad dengkinya bermaharajalela dan pelbagai lagi perkara membuatkan aku hairan.

Kenapa tidaknya? Jika kalian berpuasa dengan sebab patuh arahan Tuhan, bukanlah solat juga arahan-Nya. Begitu juga dengan menutup aurat, berzakat, tidak rasuah, bercakap benar dan sebagainya. Kenapa ada yang berpuasa demi menurut perintah ALLAH, dalam masa sama melanggar perintah-Nya yang lain. Bukankah semua itu datangnya dari Tuhan Yang Satu?

Oleh itu, aku mengajak kalian untuk menjadi hamba yang patuh dan taat tanpa sebarang syarat. Rukun Islam yang lima sentiasa dijaga. Rukun iman dipasak di jiwa. Apa yang digariskan syariat, dijunjung dipatuhi penuh taat. Apa yang dikatakan maksiat, dielak ditepis tidak terlibat. Semoga kehidupan kalian lebih berkat dan dilimpahi rahmat. Bahagia di dunia dan selamat juga di akhirat.

Saudaraku sekalian...

Maafkan aku jika pesanan ini menyinggung hati dan perasaan. Bukan niat untuk melemahkan. Hanya mengingatkan demi kebaikan. Semoga Ramadan kali ini diraikan dengan lebih baik. Pilihan di tangan masing-masing. Pilihlah!

Kehidupan dunia tidak lama, Ibarat persinggahan sebelum menuju akhirat kekal abadi. Biarlah pulang nanti, kalian tidak menyesal. Meminta supaya dipulangkan kembali ke dunia untuk melakukan amal pahala. Masa itu, penyesalan tidak lagi berguna. Rebutlah peluang yang ada!

ALLAH mengingatkan kita keadaan mereka yang menyesal di akhirat nanti dalam Surah As-Sajdah ayat 12.

Tags: ibadah, puasa, ramadhan
Subscribe

Posts from This Journal “ramadhan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments