mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Melayu boleh perindahkan imej Islam

KECENDERUNGAN untuk menegaskan golongan berpegang kepada agama sekarang ini sudah tidak relevan lagi dengan cita-cita mewujudkan masyarakat manusia yang aman dan sejahtera, mendorong satu aliran baharu, terutama di Barat, untuk menjalankan satu propaganda keburukan manusia yang mengakui berpegang kepada agama.

Manusia yang beragama dilabel orang yang sering merosakkan kesejahteraan dunia dan peradaban alam, penganut agamalah yang sering menyebabkan pertelagahan, keganasan, pertumpahan darah, perebutan kuasa membabitkan penyeksaan yang banyak kepada manusia, dan pembunuhan di sana sini pada masa kini.

Penulisan di ruangan 'news review' akhbar The Sunday Telegraph 30 September tahun lalu memaparkan sendaan terhadap orang berpegang kepada agama dengan mendedahkan skandal dalam kalangan ketua agama Katolik, ketika seorang koresponden BBC, David Willey, menulis tajuk 'The sins of Vatican" (Dosa Vatican).

Ia antara lain melaporkan 'The sex and corruption scandals are growing at the heart of the Catholic Church' ...'It was claimed that Roman priests had used prostitutes' (Skandal seks dan rasuah semakin meningkat di tengah-tengah pusat gereja Katholik. Ada dakwaan mengatakan paderi Roman menggunakan pelacur).

Kekacauan di Ireland Utara dalam kalangan penganut Katolik oleh Tentera Republikan Ireland (IRA) yang menentang penganut Kristian lain berlarutan sejak lama dahulu, puluhan tahun tanpa selesai dan mengorbankan banyak nyawa.

Kekejaman melampau

Yahudi sendiri, termasuk ketuanya, menunjukkan kekejaman melampau terhadap orang yang tidak berdosa di Palestin dengan merampas rumah dan harta benda rakyat Arab dan seterusnya melakukan kekejaman melampau ke atas rakyat yang mereka jajahi itu.

Kita mungkin tidak dapat menjawab bagi pihak agama lain dalam arus perdebatan dan krisis pemikiran yang ditimbulkan ini. Namun, untuk menjawab bagi pihak Islam, kita sendiri mungkin terperangkap dengan situasi dan peristiwa dalam dunia Islam akhir-akhir ini, ketika keganasan melampau semakin melanda masyarakat Islam di Asia Barat dan Afrika Utara, Mesir, Syria, Iraq, Afghanistan, Pakistan, Turki, Somalia, Nigeria dan Libya.

Kita mungkin boleh cuba beri sedikit justifikasi mengenai kebangkitan golongan radikal yang didakwa oleh orang Barat, seperti penentangan rakyat Palestin terhadap rejim Yahudi dan kuasa besar Amerika Syarikat (AS), iaitu dasar Yahudi dan kerajaan Zionis menindas rakyat Palestin.

Maka, rakyat yang ditindas dan dizalimi tentulah akan bangun menentang musuh dengan keganasan kerana dunia antarabangsa sendiri menafikan hak mereka sebagai manusia dan tuan punya tanah air serta harta benda mereka yang dirampas dengan segala kekejaman oleh rejim Yahudi.

Tetapi pergolakan politik yang tidak demokratik dan tidak bertamadun seperti di Mesir tidak lama dahulu, dan kini di Syria amat serius sekali, apakah kita dapat pertahankannya?

Malah pertumpahan darah berlarutan di Iraq dan Yaman antara dua golongan mazhab, Syiah dan Sunah, akan mampukah beri ruang kepada kita untuk menjustifikasikannya?

Dalam keadaan ini, saya berasakan bahawa kita sebagai umat Islam di bahagian dunia kita ini harus cari alternatif memperbaiki imej dan prestasi umat Islam yang amat teruk pada masa kini.

Kita sudah lama dicemarkan oleh krisis di dunia Arab dan bukan Arab di Asia Barat dan Afrika Utara, kerana kedatangan Islam dan perkembangan serta pembangunannya dilihat berpusat di sana.

Proses Islamisasi sering dihubungkan dengan dunia Arab dan negara Islam di kepulauan India Pakistan serta Afrika Utara, sedangkan dunia itulah pada masa kini yang lahir sebagai kawasan bergelora dengan krisis kemanusiaan, sosial, agama dan budaya.

Oleh itu, di samping menghargai segala kecemerlangan terhadap Islam yang disumbangkan oleh masyarakat di Asia Barat dan Afrika Utara, maka tiba masanya kita memperkembang prestasi dan sumbangan umat kita, Melayu, dalam membina tamadun dan pemikiran unggul berdasarkan Islam itu sendiri.

Islam di Dunia Melayu, pada tangan bangsa Melayu, menempa sejarah, bahasa dan budaya tinggi dengan pengaruh ajaran Islam sampai ke Timur Jauh dan pengislaman Raja Melayu mencorakkan pemerintahan bumi Melayu berasaskan hikmah dan ilmu Islam itu.

Hingga kini, Melayu kuat berpegang kepada nilai universal Islam dalam pemerintahan dan pembangunan bangsa dan negara.

Golongan ilmuwan dan sarjana Melayu amat terpengaruh dengan pengajaran mereka terima di Makkah dan Al-Azhar yang berpengaruh itu.

Kemerdekaan negara

Golongan ulama agama, ahli Sufi dan ilmuwannya menyumbang kepada kemerdekaan negara, malah memberi banyak panduan terhadap pengurusan sosial dan tata negara bagi negara kita yang berbilang kaum ini.

Saya ingin sarankan supaya pusat pengajian tinggi negara dapat kaji semula sistem dan program akademik pengajian Melayu masing-masing dalam memberi penekanan kepada pemikiran dan tamadun Melayu itu sendiri yang dipengaruhi ajaran Islam.

Kerajaan Malaysia seharusnya mengkaji untuk eksport bidang pengajian pemikiran dan tamadun Melayu ke universiti berprestij seperti Oxford dan Cambridge di UK dan universiti ternama di Eropah, juga di AS. Mata dunia Barat dan antarabangsa lainnya hendaklah dibuka untuk melihat bahawa pemikiran, sejarah dan tamadun Melayu dapat beri sumbangan besar kepada dunia, melalui 'worldview' Islamnya yang betul dan penghayatan Islam positif, serta imej Islam yang masih tinggi dalam negara dan masyarakat Melayu Islam ini.

Islam sebenarnya bukanlah hanya kepunyaan dunia Arab dan Afrika Utara, tetapi juga kepunyaan umat Melayu, yang juga satu pertiga daripada keseluruhan jumlah penduduk Islam di dunia.
Datuk Dr Ismail Ibrahim Berita Harian Kolumnis Rabu, 8 Jun 2016 @ 6:05 AM
Tags: islam, melayu, merdeka
Subscribe

Posts from This Journal “melayu” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments