mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Amalkan konsep bersederhana, Pesta makan atau pesta ibadah?

Pesta makan atau pesta ibadah?

SEMALAM saya kurang sihat. Mungkin kerana tersentak dengan makan sahur, agak meragam sistem badan saya. Makan pula bukannya banyak, sikit sahaja. Banyak makan sup dengan nasi. Mungkin usia sudah meningkat agaknya?

Namun tertarik saya dengan pelbagai nasihat yang diberikan oleh rakan-rakan mengenai apa yang perlu dimakan, bagai­mana hendak makan, minum sekurang-kurang lapan gelas air dari sahur, berbuka, selepas ­solat sehinggalah sebelum tidur. Sungguh menarik maklumat yang diterima.



PRESIDEN Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S. M Mohamad Idris (kanan) menunjukkan pembaziran sisa makanan dari hotel-hotel terkemuka di sekitar Pulau Pinang, beberapa tahun lalu. GAMBAR HIASAN

Antaranya dari Dr. Norhissam Mustafa, CEO Institut Pengurusan Kesihatan Islam (IPKIM), katanya: Ramadan adalah bulan kesihatan, bulan silaturahim, musim perubahan, masa hilang ketagihan, bulan lembut hati, bulan keluasan rezeki, dan bulan membaiki institusi keluarga. Namun Ramadan juga dikaitkan dengan keletihan, kelemahan, mengantuk, kurangnya produktiviti dan kini sebagai pesta makanan.

Kajian yang beliau lakukan adalah kesilapan besar semasa berbuka ialah: Menghimpunkan makan malam dengan berbuka puasa adalah kesilapan. Berbukalah dengan tiga biji kurma (atau makanan yang tinggi potasium seperti makanan bergula perang yang tinggi molasesnya) dan air kosong.

Sebab katanya, buka puasa bukan untuk perut tetapi untuk memberi tenaga kepada hipotalamus (otak dalam otak). Salah satu caranya, elakkan hidang makan malam di depan semasa berbuka.

Hipotalamus yang keletihan berfungsi sepanjang hari akan tidak berfungsi dengan betul sekiranya makanan masuk dengan banyak semasa berbuka. Hal ini menyebabkan masalah kesihatan yang serius.

Katanya lagi: Jangan window shopping ke bazar Ramadan kerana pada waktu itu fungsi kawalan hipotalamus dalam mengawal nafsu makan amat lemah setelah bekerja seharian daripada mula waktu Subuh untuk mengawal kerja-kerja pembongkaran di hati menyebabkan kita hilang perhitungan untuk terus membeli makanan yang kita tidak perlu.

* Jangan lewatkan solat Maghrib.

Hasil daripada pembongkaran glukogen tepu di hati sejak pagi akan menghasilkan tenaga yang sangat banyak, tenaga ini untuk diagihkan keseluruhan tubuh melalui sel. Satu kilo berat badan mempunyai 10,000 trilion sel.

Tenaga ini perlu ditolak/diagih kepada sel-sel dalam tubuh, hasil daripada pergerakan solat 13 rakaat yang berulang-ulang serta gema tenaga sekitaran pada waktu setelah azan Maghrib itu akan menyebabkan tenaga yang dihasilkan oleh tubuh kesan daripada puasa sepanjang hari akan dapat diserakkan ke dalam nuklues sel dan digunakan dengan sempurna. Oleh itu, solat Maghrib perlu disegerakan.

* Selepas solat Maghrib, sel sudah dapat tenaga. Balik terus makan malam. Secara automatik kita akan makan secara baik dan sedikit serta sudah boleh mengawal nafsu makan.

Menu makan malam jangan lebih lima jenis makanan dalam satu hidangan satu jenis makanan ruji (contoh Nasi), lauk, sayur, buah dan air.

* Selepas makan malam, sangat baik kita mandi dengan air sejuk.

Jangan mandi air panas. Boleh letak air batu tambah sejuk. Jangan risau kaitan mandi malam dengan paru-paru berair. Dongeng. Dalilnya jika kita berhadas besar, fiqh suruh segera mandi tanpa menunggu pagi. Jangan mandi macam burung untuk elak paru-paru berair. Burung mandi dengan cara basahkan rambut tapi badan tidak basah.

* Selepas mandi, sebelum pergi solat Isyak minum setengah cawan susu segar + tiga biji kurma + satu sudu teh madu lebah yang diputar (blender).

Solat Isyak berjemaah. Lepas itu sembahyang tarawih, solat dengan perlahan dan santai. Jangan terlalu gopoh-gapah.

* Kalau hendak ambil makanan selepas solat tarawih, pastikan ringan dan sedikit. Makan lepas pukul 10.30 malam adalah kemudaratan yang besar. Masa ini tenaga sudah cukup penuh dalam badan.

Masa itu aktiviti terbaik adalah tadarus minimum. Masa ini tenaga akan bawa input terbaik ke dalam otak dan hati. Kalau masa ini diisi dengan aktiviti atau info yang lalai, maka otak dan hati akan merakam perkara yang kita isi dan boleh menjadi pegangan kita seterusnya.

Selepas itu, sebaiknya tidur sebelum pukul 12 malam untuk kerehatan. Jangan pasang lampu semasa tidur kerana cahaya lampu meningkatkan asidifikasi (asid) tiga kali ganda, salah satu sebab kandungan kolesterol meningkat dalam darah.

* Selepas itu bangun pukul 3 pagi untuk qiamullail. Sunat kejutkan ahli keluarga dengan renjis air sejuk dengan hujung jari. Boleh mandi. Tiada masalah kesihatan.

* Sempurnakan sekurang-kurangnya 10 rakaat solat sunat, Sunat wuduk (2 rakaat), taubat (2 rakaat), tahajud (4 rakaat 2 kali salam), hajat (2 rakaat) dan 3 rakaat witir bagi yang belum witir selepas tarawih tadi.

* Sahur. Sebaik-baik sahur adalah 1/18 dari makan malam dan yang terbaik adalah lebihan makan malam dengan syarat masih elok dan tidak basi. Lewatkan masa masak petang untuk elak cepat basi.

Masak lebih sedikit untuk makan malam, jangan campur garam dan simpan sikit untuk sahur. Bila nak sahur panaskan dengan api perlahan dan setelah panas sedikit baru masukkan garam.

* Jangan tidur selepas Subuh kerana gangguan kepada Tirod. Ini akan menyebabkan masalah terhentinya kerja-kerja pembongkaran (detokfikasi) toksid dalam badan.

* Tidur qailulah ( masa terbaik adalah 1 jam sebelum zohor, cukup hanya sekadar beberapa minit). 1 saat waktu ini ­me­n­yamai tenaga tidur 45 minit waktu biasa.

Norhissam juga berkongsi ­petua memakan kurma: 60 peratus kebaikan berada pada selaput permukaan luar biji kurma.

Masukkan sebiji kurma dan akhir sekali keluarkan biji. Jangan kupas di luar. Antara kurma yang terbaik ada 5 jenis: ajwa, medjool, mabrom, safawi dan mariami

* Puasa adalah detoksifikasi. Ia berlaku apabila fungsi proses makanan dalam perut berehat lebih daripada 8 jam.

Itulah petua beliau untuk kebaikan kita bersama. Allahualam.

Petang semalam saya sempat singgah ke Bazar Ramadan di Stadium Shah Alam. Masya-Allah begitu ramai orang yang membeli dan menjual. Berjalan sehingga berlaga bahu.

Kerana terlalu ramai manusia yang membeli dan menjual. Saya tak jadi beli apa-apa. Tidak tahu mahu membeli apa.

Naluri wartawan berkata sekadar nak dapatkan feel. Begitu mewah rakyat negara ini. Namun bagi penjual juallah dengan se­ikhlas hati, bukan semata-mata mahu mengejar wang dan keuntungan. Takutlah dengan Allah.

Selamat Beribadah, bukan selamat berpuasa! - Zaini Hassan Utusan Malaysia Rencana 08 Jun 2016 6:25 PM


Amalkan konsep bersederhana

RAMADAN Al–Mubarak di­sambut oleh seluruh umat Islam bukan sahaja di Malaysia malah di serata dunia. Pada bulan ini umat Islam dikehendaki berpuasa atau menahan diri mereka daripada makan dan minum serta melakukan sebarang perkara yang boleh membatalkan puasa seseorang itu dari terbitnya fajar sehingga terbenam matahari. Ibadah berpuasa ini bukan sahaja diamalkan oleh umat Islam pada masa kini malah telah lama di­amalkan oleh umat terdahulu.

Allah SWT berfirman yang bermaksud “Wahai orang yang beriman, diwajibkan berpuasa atas kamu sebagaimana diwajibkan atas umat-umat terdahulu sebelum kamu, semoga kamu bertakwa”. (Surah al–Baqarah: Ayat 183).

Pelbagai manfaat yang boleh diperoleh melalui kedatangan bulan yang mulia ini antaranya manfaat kesihatan di mana ibadah berpuasa dapat membersihkan segala kekotoran yang ter­dapat dalam tubuh badan seseorang serta pada masa sama meningkatkan kadar kesihatan individu terbabit.

Terdapat juga manfaat ekonomi di mana ibadah di bulan puasa ini dapat membendung seseorang itu daripada melakukan pembaziran terutamanya dari aspek pembelian makanan dan minuman. Ibadah puasa juga menawarkan manfaat jalinan persaudaraan sesama Islam serta pada masa sama dapat meningkat keimanan terhadap Allah SWT.

Adalah penting juga untuk diketahui ibadah di bulan Ramadan ini melatih umat Islam untuk melakukan segala amalan dengan sederhana serta tidak melampau. Ini adalah penting bagi melatih umat Islam supaya lebih bersabar, berdisiplin serta memupuk akhlak yang baik.

Tidak dapat dinafikan, pelbagai jenis dugaan akan hadir dalam mengharungi bulan Ramadan terutamanya aspek pembelian juadah makanan dan minuman untuk berbuka puasa (iftar) serta penyediaan sarapan waktu sahur.

Pelbagai jenis makanan dan minuman yang dijual di bazar Ramadan, restoran termasuk juga segala promosi bufet yang ditawarkan oleh pihak hotel bagi menarik perhatian pengguna.

Jika seseorang pengguna Islam tidak dapat mengawal nafsunya sudah pasti pembaziran makanan akan berlaku. Ini sudah pasti akan menjejaskan tujuan berpuasa itu sendiri selain daripada makan dan minum dengan melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa seseorang itu.

Islam amat melarang keras umatnya untuk melakukan pembaziran sehingga Allah SWT menyifatkan orang yang suka membazir itu sebagai saudara syaitan. Firman Allah SWT dalam Surah Al–Israa’ Ayat 26–27 yang bermaksud: “...dan janganlah kamu belanjakan harta kamu dengan boros yang melampau–lampau. Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur (ingkar) kepada Tuhannya”.

Allah SWT juga telah berfirman dalam Surah Al–A’raf Ayat 31 yang bermaksud “...dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas”. Ayat ini jelas menunjukkan peringatan dan larangan Allah SWT terhadap manusia supaya tidak mengamalkan pembaziran serta melakukan sebarang tindakan secara melampau–lampau.

Isu pembaziran makanan dalam negara kita bukanlah satu isu yang baharu diperkatakan. Mengikut pendedahan yang dibuat oleh pihak Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) baru-baru ini, adalah dianggarkan kira-kira 3,000 tan makanan dibuang dalam sehari di Malaysia. Adalah menjadi kebimbangan jumlah pembaziran makanan ini akan menjadi bertambah serius menjelang kedatangan bulan Ramadan kelak.

Oleh itu, adalah penting bagi umat Islam untuk menghayati tujuan utama kedatangan Ramadan iaitu untuk beribadah serta meningkatkan keimanan terhadap Allah SWT bukannya untuk dijadikan sebagai bulan pesta makanan.

Pelbagai usaha boleh diambil bagi mengatasi masalah pembaziran makanan yang berlaku dalam negara kita.

Pada tahun lalu, pihak kerajaan telah melaksanakan program Save Food Malaysia (MYSaveFood) sebagai usaha untuk mengurangkan masalah pembaziran makanan di negara ini.

Pada tahun sama juga, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah menggesa pihak kerajaan supaya mewujudkan sebuah “Akta Pembaziran Makanan” khusus bagi mengekang budaya pembaziran dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya yang banyak berlaku di bulan Ramadan.

Melalui pengenalan undang-undang ini, pelbagai tindakan boleh dipertimbangkan supaya masyarakat tidak sewenang–wenangnya melakukan pembaziran makanan seperti mengenakan penalti atau denda dan sebagainya. Namun, apa yang penting adalah kesedaran pengguna itu sendiri khususnya umat Islam bagi menjalani ibadah di bulan puasa dengan sempurna dengan memberi fokus kepada amal ibadah dan bukannya pada juadah makanan.

Tags: ibadah, makan, puasa, sederhana
Subscribe

Posts from This Journal “puasa” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments