mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Ramadhan; Apakah Pesta Juadah atau Ibadah ”

Petikan Khutbah Jumaat 17 Jun 2016: JAIS

“Ramadhan; Apakah Pesta Juadah atau Ibadah ”

jais.jpgKedatangan Ramadhan dinanti dan disambut dengan penuh keinsafan untuk mencari segala macam ganjaran pahala yang dijanjikan khusus oleh Allah SWT sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Setiap amalan anak Adam, pahalanya akan digandakan sepuluh kali ganda sehinggalah tujuh ratus kali ganda. Allah berkata: kecuali puasa. Sesungguhnya ia milik Aku. Aku lah yang akan membahagi-bahagikan ganjaran pahalanya”

Kita sedia maklum, sesungguhnya Ramadhan sebagai bulan mendidik jiwa. Kita perlu meningkatkan kesabaran dalam mengurus dan mengawal nafsu daripada perkara-perkara yang merosakkan pahala puasa sama ada melalui percakapan dan perbuatan seperti mengumpat, memfitnah, adu domba, bergaduh dan sebagainya.

Sebuah hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA berkata Nabi SAW bersabda bahawa Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Apabila seseorang kamu berpuasa, janganlah ia bercakap perkaraperkara yang kotor dan sia-sia, dilarang juga bertengkar dan memaki hamun. Apabila ia dimaki hamun oleh seseorang atau diajak bermusuhan, maka hendaklah ia berkata: sesungguhnya aku berpuasa hari ini” (al-Bukhari dan Muslim).

Termasuk dalam konteks mengawal nafsu ialah ketika membeli juadah berbuka di Bazar Ramadhan, yang dinanti-nantikan oleh segenap lapisan masyarakat.

Masyarakat juga diingatkan agar tidak menjadikan bazar Ramadhan sebagai pesta makanan dan medan untuk membalas dendam seharian menahan lapar dan dahaga. Kita sepatutnya meletakkan nilai dan hikmah puasa itu lebih tinggi berbanding nafsu makan yang tidak pernah puas. Janganlah akhirnya nanti bazar Ramadhan menjadi bazir Ramadhan yang menyebabkan kita tewas dalam perjuangan melawan hawa nafsu semasa berbuka puasa.

Kerisauan kita ini dibuktikan oleh beberapa fakta yang dinyatakan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal, yang merekodkan sebanyak 15,000 tan sisa makanan dibuang setiap hari sepanjang 2015. Jumlah tersebut boleh memberi makan kepada 11 juta orang untuk 3 kali hidangan sehari. Paling mendukacitakan, jumlah sisa makanan akan meningkat sehingga 15% pada musim perayaan termasuk bulan Ramadhan.

Sumber yang sama memaklumkan bahawa sebanyak 1/3 daripada makanan dibazirkan semasa proses penyediaan, pengeluaran dan penggunaan. Kajian mendapati, satu rumah yang dihuni oleh 5 orang membelanjakan secara purata RM1,100 sebulan untuk makanan sahaja. Sekiranya diambilkira 1/3 daripada makanan dibazirkan semasa proses tersebut, maka nilai makanan sebanyak RM360 dibuang ke dalam tong sampah setiap bulan. Adakah ini cerminan akhlak bagi seorang muslim?

Amalan membazir amat ditegah oleh Islam. Sudah pasti kita tidak mahu tergolong sebagai saudara Syaitan sepertimana yang dinyatakan dalam Firman Allah swt dalam surah al Israa’ ayat 27;“Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya”.

Tuntutan bersederhana ketika mengambil makanan telah dijelaskan menerusi firman Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat 31; “…dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas”.

Hadis yang diriwayatkan oleh Miqdam bin Ma’di Karib bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya).Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan”. (at-Tirmizi)

Sumber daripada portal Kementerian Kesihatan Malaysia menasihatkan supaya masyarakat tidak makan secara berlebihan ketika berbuka. Ini kerana selepas seharian berpuasa, aktiviti gastrik di dalam perut akan menurun pada tahap minimum dan meningkat ketika berbuka. Sekiranya kita makan dengan banyak, peningkatan asid akan berlaku dengan mendadak. Keadaan ini boleh mengakibatkan ketidakselesaan dan menjejaskan kesihatan. Akibat kekenyangan, badan akan menjadi lesu, lantas mengundang rasa malas sehingga menguzurkan diri untuk beribadah di malam hari.

Marilah kita mencontohi panduan berbuka puasa oleh Rasululullah SAW dengan makanan yang mudah dimakan dan dicerna. Hadis dari Anas Bin Malik RA menceritakan tentang amalan Rasulullah SAW ketika berbuka puasa yang bermaksud: “Rasulullah SAW berbuka sebelum melakukan solat dengan rutab (kurma yang masih basah dan segar), dan jika tidak menemukan rutab, Baginda berbuka dengan kurma, dan jika tidak mendapat kurma, Baginda berbuka dengan meminum beberapa teguk air”. (Abu Daud dan al-Tirmizi).

Dalam sebuah hadis yang lain, baginda SAW menjelaskan dengan maksudnya:“Apabila dihidangkan makanan maka mulailah dengannya (makanan itu) sebelum kamu solat Maghrib dan janganlah kamu tergopoh-gapah ketika makan”. (al-Bukhari dan Muslim).

Mengakhiri khutbah hari ini, maka perkara-perkara berikut hendaklah diberi perhatian,

1. Umat Islam hendaklah menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan ini dengan penuh khusyuk dan mempunyai nilai ketakwaan yang tinggi kepada Allah SWT.

2. Umat Islam hendaklah tidak menjadikan Ramadhan sebagai bulan yang membazir dalam membeli juadah makanan untuk berbuka dan bersahur.

3. Umat Islam hendaklah sentiasa ingat bahawa bulan Ramadhan ini merupakan bulan untuk meraih sebanyak-banyak pahala dan keampunan yang disediakan oleh Allah SWT.

“Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat Ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas”. (Surah al-A’raf; 31)

barakallah_khutbah.jpg

Tags: kesihatan, khutbah, makanan, minuman, ramadhan
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments