mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Zakat jangan disekat

IBADAH zakat adalah lambang ikatan hubungan antara hamba dengan Penciptanya dan hubungan sesama insan yang hidup dalam satu masyarakat. Jika dilihat tujuan ibadah zakat dari sudut agama, al-Quran dengan jelas menyimpulkannya sebagai satu proses pembersihan dan penyucian. Firman ALLAH SWT: "Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu dapat membersihkan dan menyucikan mereka." (Surah Al-Taubah: 103)

Lawan sifat bakhil

Maka dengan mengeluarkan zakat, ia dapat membersihkan seseorang daripada menjadi hamba kepada harta yang terlalu cintakannya dan hidup hanya untuk mencari harta. Ia pula dapat menyucikan hati seseorang dengan merealisasikan maksud tauhid dalam dirinya. Insan dengan hakikat yang terlalu cintakan diri dan harta bendanya, akan dapat menghapuskan sifat bakhil yang ada dalam diri dengan mengeluarkan zakat.

Selain itu, seorang Muslim yang menunaikan zakat, telah membuktikan keimanan dan ketaatannya kepada perintah ALLAH. Sebagaimana seorang Muslim perlu akur dengan perintah sembahyang, puasa dan kefarduan yang lain, maka dia perlu tunduk patuh dengan perintah untuk mengeluarkan zakat tanpa sebarang alasan.

Tidak mengharapkan balasan daripada pihak yang menerima zakat, tetapi menanti dengan penuh harapan balasan dan ganjaran daripada Tuhan. Bertitik tolak daripada ketaatannya kepada perintah Ilahi dan didesak oleh tuntutan akidah yang sejahtera, seorang mukmin dengan senang hati akan mengeluarkan sebahagian hartanya untuk diberikan kepada mereka yang layak. Walaupun mungkin terdapat sekelumit perasaan cintakan harta tersebut. Namun, baginya ALLAH lebih dicintai daripada segala-galanya. Sebab itulah sering kali ALLAH menggandingkan orang beriman dengan sifat suka menginfakkan hartanya. Antaranya dalam firman ALLAH:

"Iaitu orang yang beriman dengan perkara ghaib, dan mereka mendirikan solat, dan mereka menginfakkan sebahagian daripada harta yang dikurniakan kepada mereka." (Surah Al-Baqarah: 5)

Seseorang yang mengeluarkan zakat juga sebenarnya melambangkan perasaan syukurnya kepada ALLAH di atas kurniaan nikmat dan rezeki yang tidak terhingga. Seorang Muslim yang bertakwa tidak akan lupa untuk mengucapkan syukur memuji Tuhannya di atas segala kekayaan harta benda yang dicurahkan. Dia tidak akan lupa diri dan sombong dengan harta benda yang dimilikinya. Ini kerana perisai iman dan takwa yang ada dalam dirinya menjadi benteng penghalang daripada terjerumus ke kancah kekufuran.

Kesimpulannya, agama menyifatkan seseorang Muslim yang menunaikan kefarduan zakat telah membuktikan kesempurnaan iman dan takwanya kepada ALLAH. Justeru, dalam melahirkan masyarakat Muslim yang berkualiti, maka pendidikan dan kesedaran mengenai tanggungjawab mereka terhadap tuntutan agama perlu dilipatgandakan. Antaranya ialah kewajipan untuk mengeluarkan zakat.

Prihatin nasib orang lain

Di antara lambang keutuhan masyarakat Islam ialah wujudnya suasana saling tolong-menolong dan lengkap melengkapi antara satu sama lain. Sepertimana firman-Nya: "Dan orang lelaki yang beriman dan orang perempuan yang beriman, sebahagian mereka menjadi penolong kepada sebahagian yang lain." (Surah At-Taubah: 71)

Rasulullah SAW pula menggambarkan masyarakat Islam sebagai satu bangunan yang setiap bahagian melengkapkan bahagian yang lain. Baginda SAW bersabda: "Orang mukmin dengan mukmin yang lain ibarat satu bangunan, ia saling melengkapi di antara satu sama lain." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Masyarakat Islam yang digambarkan dalam al-Quran dan as-Sunnah adalah sebuah masyarakat yang hidup dalam suasana saling tolong menolong, lengkap melengkapi, tidak mementingkan diri sendiri dan mengambil berat hal ehwal saudara Muslimnya lain. Berdasarkan kepada tuntutan daripada al-Quran dan as-Sunnah, yakinlah bahawa ibadah zakat memainkan peranan penting dalam merealisasikan saranan tersebut.

Boleh basmi kemiskinan

Zakat dapat membebaskan seseorang daripada belenggu kemiskinan yang mencengkamnya, selain daripada ia memenuhi hajat dan keperluan seseorang yang perlukan kepada wang ringgit. Ini semua bertujuan memelihara kemuliaan insan sebagai salah seorang daripada anggota masyarakat yang sebenarnya telah dimuliakan terlebih dahulu oleh Tuhan Maha Pencipta.

Firman ALLAH: "Dan demi sesungguhnya Kami telah memuliakan bani Adam." (Surah Al-Isra': 70)

Prof Dr Yusof Al-Qaradhawi dalam komentarnya menyatakan: "Jika beginilah nilai insan dan kedudukannya di sisi Islam, maka tidak hairanlah syariat telah menetapkan supaya dipenuhi hajatnya dan menjaga keperluannya dan membenarkan tuntutan kehidupannya sehingga dia dapat hidup dan memakmurkan bumi ini dengan melaksanakan tanggungjawab khilafah dan beribadah di dalamnya." (Al-Qaradhawi, Yusof, Athar Al-Zakat fi Al-Afrad wa Al-mujtama', hal. 119)

Seharusnya seorang yang kaya apabila dia mengeluarkan zakat berasai, dia juga adalah sebahagian daripada masyarakat. Sedar dia berperanan untuk membantu orang lain. Bagi mereka yang menerima zakat pula akan menikmati suasana kehidupan dalam satu masyarakat yang prihatin, penyayang dan berhati mulia. Harta kekayaan yang dikurniakan ALLAH dapat dirasai kenikmatannya bersama ahli masyarakat yang lain.

Tuntutan ukhuwah atau persaudaraan Islam tidak akan sempurna selagi mana terdapat dalam sesebuah masyarakat mereka yang masih menderita menagih simpati daripada orang lain akibat kemiskinan dan kefakiran yang melanda mereka. Sedangkan terdapat dalam masyarakat yang sama, mereka yang hidup dengan penuh kesenangan dan kemewahan menikmati kesedapan dunia dan segala perhiasannya.

Di dalam membentuk kehidupan berkualiti, sekurang-kurangnya penekanan kepada usaha untuk membasmi kejahilan, kemiskinan dan penyakit perlu menjadi agenda utama. Ketiga-tiga unsur ini adalah penghalang dalam mewujudkan kehidupan yang berkualiti.

Oleh itu, penulis berpendapat, dengan ibadah zakat ia dapat membantu membasmi kemiskinan yang masih wujud di dalam masyarakat sekiranya proses pengagihan zakat diuruskan dengan telus dan efektif. Seorang yang miskin tidak akan dapat meneruskan pembelajarannya atau pun tidak akan mampu untuk membiayai kos persekolahan anak-anaknya. Begitu juga seorang yang miskin juga tidak akan mampu untuk menampung kos rawatan dan perubatan yang tinggi.

Dalam hal ini, usaha memberi kesedaran mengenai kewajipan zakat perlu digiatkan. Selain itu, proses pengagihannya juga perlu diuruskan dengan sempurna dan memenuhi maksud sebenar pensyariatan zakat. Semoga dengan kerjasama dan gandingan bahu antara  masyarakat dan pihak pengurusan zakat akan dapat membantu membasmi kemiskinan yang masih membelenggu kebanyakan masyarakat. Kecemerlangan yang ditunjukkan selama ini oleh institusi yang menguruskan harta zakat secara adil dan amanah perlu dikekalkan malah ditingkatkan lagi kualitinya.

Bersungguh-sungguh untuk memungut, lebih bersungguh-sungguh untuk mengagih. Semoga zakat dapat menggembirakan jiwa yang sedih dan merawat luka keperitan hidup yang pedih. Reda ALLAH jua yang kita tagih

Tags: bakhil, zakat
Subscribe

Posts from This Journal “zakat” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments