mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Masjid Pusat Ekonomi Ummah

SEPANJANG bulan Ramadan kita melihat terdapat banyak kawasan masjid yang dija-
dikan sebagai tempat ba-
zar jualan pelbagai jenis makanan. Malah ini juga menjadi punca pendapatan kepada masjid-masjid yang menawarkan tapak untuk disewa kepada peniaga-peniaga setempat.



MENGANGKAT martabat masjid, bukan sekadar tempat ibadat wajib, tetapi juga ibadah-ibadah lainnya termasuk mendorong pembangunan ekonomi yang berterusan dan membantu mereka yang memerlukan bantuan dan sokongan. GAMBAR HIASAN

Sekali imbas, kita dapat melihat bazar Ramadan juga menjadi tempat untuk pembangunan ekonomi semasa yang melahirkan peniaga dan usahawan segera dengan mendapat pulangan pendapatan yang besar dan menguntungkan. Adanya tapak-tapak perniagaan seperti ini juga dapat membantu membangunkan semangat berniaga dan keusahawanan dalam kalangan masyarakat apatah lagi dalam keadaan ekonomi yang agak suram dan peluang pekerjaan yang makin sukar.

Sekali gus menunjukkan juga bahawa orang Islam mampu untuk memajukan diri dalam perniagaan jika diberi peluang dengan sewajarnya. Pihak-pihak yang terlibat dalam pengurusan pentadbiran pelbagai institusi Islam perlu melihat peluang ini dengan serius dan mencari jalan untuk memanfaatkannya sebaik mungkin.

Malangnya, usaha ini seringkali berakhir apabila tamatnya Ramadan. Sesetengahnya menganggap kesukaran untuk menguruskan tapak-tapak perniagaan seperti ini menjadi alasan kenapa usaha se­perti ini sukar untuk dilestarikan.

Sedangkan masjid adalah institusi pertama dibangunkan ketika hijrah Rasulullah SAW. Masjid sewajarnya menjadi institusi pembangunan ekonomi yang kental dan dibangunkan potensi yang ada dengan sebaik mungkin.

Apatah lagi di negara ini, masjid menjadi satu-satunya institusi yang wujud hampir di setiap daerah di seluruh negara. Masjid sepatutnya menjadi institusi yang menyatukan umat Islam dan berupaya membangunkan jaringannya sendiri secara teratur dan profesional, memanfaatkan teknologi komunikasi maklumat dan menggunakan setiap ruang sekitarnya untuk membangunkan ekonomi ummah secara menyeluruh.

Bayangkan apabila masjid-masjid kita diurus secara profesional dengan pangkalan data yang lengkap untuk menyimpan pelbagai maklumat dalam membangunkan masyarakat. Masjid-masjid kita mempunyai pelbagai maklumat tentang penduduk di kariahnya, dengan profil yang lengkap tentang masyarakat sekitar, bilangan kepakaran yang ada serta pelbagai maklumat lain yang boleh digunakan serta dimanfaatkan termasuk kumpulan peniaga dan usahawan yang ada.

Masjid boleh menjadi sumber kekuatan luar biasa dengan membantu mereka yang menjalankan perniagaan dengan menghubungkannya dengan masyarakat sekeliling, menawarkan perniagaan secara atas talian, membangun peruncit dan petani dalam memasarkan produk, mengadakan penghantaran ke rumah dan sebagainya sekali gus menyatukan komuniti yang berada dalam kariah berkenaan.

Gerai-gerai jualan dibangunkan secara bersesuaian atau kerap membuka tapak untuk memberi peluang kepada mereka yang ingin menceburi perniagaan kecil-kecilan. Malah juga menjadi medan untuk penawaran pelbagai perkhidmatan yang meng-hubungkan dengan pelbagai kumpulan pelanggan.

Begitu juga dengan masjid menyediakan pelbagai kumpulan sokongan untuk memajukan ekonomi mahu pun sosial. Misal-nya, pakar-pakar dalam bidang ekonomi, pengurusan dan pendidikan boleh bergabung tenaga untuk sesekali membantu mewujudkan peluang latihan dengan berpusatkan masjid malah menjadi tempat rujukan dengan menyediakan kumpulan sokongan dalam bidang kaunseling dan khidmat sokongan lain termasuk dalam menangani penyakit mental dalam kalangan masyarakat.

Jika masjid-masjid kita dihubungkan di seluruh negara dengan teknologi komunikasi dan maklumat, melalui Internet dan juga pelbagai media sosial, banyak lagi yang boleh dikongsi bersama-sama seluruh umat Islam yang ada. Jarak dan tempat bukan lagi menjadi masalah dan halangan. Bukan sahaja peringkat negara malah boleh juga diterokai pada peringkat global dengan menghubungkannya dengan masjid-masjid lain di seluruh dunia.

Semua usaha ini juga mampu untuk mengangkat martabat masjid, bukan sekadar tempat ibadat wajib, tetapi juga ibadah-ibadah lainnya termasuk mendorong pembangunan ekonomi yang berterusan dan membantu mereka yang memerlukan bantuan dan sokongan. Bukan sahaja diimarahkan oleh ceramah dan pendidikan agama untuk mendekatkan diri dengan Tuhan tetapi juga sebagai pusat pembangunan masyarakat yang menyeluruh dan bersepadu.

Ini juga mampu menjadikan masjid-masjid kita sebagai institusi contoh yang berupaya untuk berdikari dan membangunkan persepsi Islam yang hebat serta membuktikan kesyumulan Islam sebagai cara hidup yang syumul. Transformasi peranan masjid ini mampu mengubah seluruh persepsi terhadap Islam dan umatnya.

Oleh itu, masjid sebagai medan perniagaan seperti bazar Ramadan sepanjang bulan puasa ini seharusnya dikembangkan lagi dalam pelbagai aspek lain agar benar-benar mencerminkan institusi utama seperti yang dikehendaki agama. Sekali gus akan lebih banyak menarik masyarakat kepada masjid termasuk dalam kalangan bukan Islam sebagai satu medan dakwah. Tidak ada yang mustahil jika kita serius dan benar-benar berusaha untuk merealisasikannya

Tags: ekonomi, masjid, ummah
Subscribe

Posts from This Journal “ekonomi” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments