mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Pahala Ramadan atasi mati syahid

Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: Barang siapa berpuasa Ramadan dengan penuh ke­imanan dan mengharap pahala dari Allah, akan diampunkan dosanya yang lalu. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini memang popular apabila tiba bulan Ramadan. Ia sebagai galakan untuk orang mukmin beribadat kerana ganjarannya amat besar iaitu jaminan pengampunan dosa. Apabila bebas dosa, maka syurgalah tempat orang itu.

Yang dimaksudkan berpuasa atas dasar iman iaitu berpuasa kerana menyakini akan kewajipan puasa. Sedangkan yang dimaksudkan ihtisab adalah mengharap pahala dari Allah SWT. (Lihat Fathul Bari, 4: 115).

Ramadan selain daripada bulan mulia juga menjanji­kan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. Buat perkara sunat diberi pahala fardu. Buat yang fardu diberi ganjaran sehingga 70 kali ganda.

Selain itu, amalan bulan Ramadan juga menjadikan seseorang itu lebih dahulu masuk syurga berbanding orang yang mati syahid. Inilah satu kelebihan yang disebut di dalam sebuah hadis Nabi SAW. Semuanya kerana gandaan pahala dan rahmat dalam Ramadan.

Diriwayatkan dalam hadis baginda SAW kisah dua saudara lelaki yang sama-sama memeluk Islam. Kedua-dua mati dalam husnul khatimah tetapi berbeza darjat disebabkan umur berbeza dan kerana Ramadan.

Dari Talhah bin ‘Ubaidillah bahawa dua lelaki dari Baliy datang kepada Rasulullah SAW dan keduanya masuk Islam bersama-sama. Salah seorang dari keduanya lebih giat daripada yang lain.

Orang yang sangat giat dari keduanya itu ikut berperang lalu mati syahid. Sedangkan yang lainnya hidup setahun setelahnya, lalu meninggal dunia. Thalhah berkata, “Aku bermimpi, ketika aku sedang berada di pintu syurga, aku melihat keduanya. Tiba-tiba ada seseorang keluar dari dalam syurga, lalu mengizinkan orang yang mati terakhir dari keduanya (untuk masuk syurga lebih dahulu, lalu orang itu masuk lagi ke dalam syurga). Lalu dia keluar lagi dari syurga, lalu mengizinkan orang yang mati syahid (untuk masuk syurga). Lalu dia menemuiku kemudian berkata, “Kembalilah, sesungguh­nya belum datang waktu untukmu (boleh masuk syurga)”.

Esoknya, Thalhah menceritakan kepada orang ramai dan mereka kehairanan terhadapnya. Hal itu sampai kepada Rasulullah SAW, mereka menyampaikan cerita itu kepada baginda SAW. Maka Nabi SAW bersabda, “Dari sisi mana kamu hairan?” Mereka menjawab, “Wahai Rasulullah SAW, orang yang satu ini lebih kuat amal dari yang lain, lalu dia juga mati syahid, tetapi orang yang terakhir (mati) itu masuk syurga lebih dahulu?”

Maka Rasulullah SAW bersabda, “Bukankah dia (orang yang terakhir mati itu) masih hidup setahun setelahnya?”

Mereka menjawab, “Ya”. Baginda bersabda lagi, “Dan (bukankah) dia telah menemui Bulan Ramadan lalu ber­puasa Ramadan, dan dia telah melakukan solat sekian banyak sujud di dalam setahun?”

Mereka menjawab, “Ya”. Maka Rasulullah SAW ber-sabda, “Jarak antara keduanya lebih jauh dari jarak antara langit dan bumi”. (Riwayat Ibnu Majah)

Justeru, marilah kita berlumba-lumba beribadat dalam bulan yang mulia ini. Gunakanlah umur kita yang masih tersisa ini untuk istiqamah melakukan ibadat terutama solat fardu berjemaah, membaca dan mentadabbur al-Quran, membanyakkan solat sunat rawatib dan tarawih serta qiamullail.

Semoga kita mendapat pengampunan dan menjadi insan mukmin cemerlang dengan memperoleh syurga Allah SWT kelak. Lagipun, belum tentu kita akan bertemu Ramadan tahun depan. - Mohd Radzi Mohd Zin Utusan Malaysia Rencana 17 Jun 2016 6:15 PM

Tags: pahala, ramadhan, syahid
Subscribe

Posts from This Journal “pahala” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments