mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Tanda-tanda peroleh haji mabrur , Tamakninah perlu diutamakan

AJARAN Islam dalam semua aspek memiliki hikmah dan tujuan tertentu. Hikmah dan tujuan ini diistilahkan oleh para ulama dengan maqasid al-Syariah, iaitu berbagai maslahat yang boleh dicapai seorang hamba, baik di dunia mahupun di akhirat.

Untuk haji secara khususnya, Rasulullah SAW bersabda: “Haji yang mabrur tidak lain pahalanya kecuali syurga.” - Riwayat Bukhari



Semuanya terserah kepada Allah, ulama hanya bagi panduan

Setiap orang yang pergi haji mengimpikan mendapat haji mabrur iaitu bukanlah sekadar haji yang sah. Mabrur bererti diterima oleh Allah manakala sah bererti menggugurkan kewajipannya. Boleh jadi haji seseorang sah sehingga kewajipan haji baginya telah gugur, namun belum tentu hajinya diterima oleh Allah SWT.

Jadi, tidak semua yang hajinya sah terhitung sebagai haji mabrur. Ibnu ‘Abdi al-Barr dalam al-Tamhid menyatakan bahawa haji mabrur adalah haji yang tiada riya’ (sombong), tiada sum’ah (mengata orang) , tiada rafath (lucah) tidak melakukan kefasikan, dan tunai haji dengan harta halal.

Antara tanda-tanda haji mabrur yang disebutkan para
ulama adalah:

Harta yang dibelanjakan untuk menunaikan haji adalah harta yang halal. 
Sabda Nabi SAW: “Sungguh Allah baik, tidak menerima kecuali yang baik.” - Riwayat Muslim.

Amalan-amalan dalam hajinya dilakukan dengan ikhlas, sesuai dengan tuntutan Nabi SAW.

Segala rukun dan kewajipannya dilakukan dan semua larangan pula dielakkan. Menurut Syuraih al-Qadhi seperti yang dinukilkan oleh Ibn Rajab al-Hanbali dalam Lata’if al-Ma’arif, “Yang (benar-benar) berhaji sedikit, meski jemaah haji banyak. Alangkah banyak orang yang berbuat baik, tapi alangkah sedikit yang ikhlas kerana Allah.”

Hajinya dipenuhi dengan banyak amalan baik, seperti zikir, membaca al-Quran, solat di Masjidilharam dan solat pada waktunya. 
Sebagaimana kenyataan Ibn Rajab al-Hanbali dalam Lata’if al-Ma’arif, “Maka haji mabrur adalah yang terkumpul di dalamnya amalan-amalan baik, dan menghindari perbuatan-perbuatan dosa.”

Antara lain, amalan khusus yang disyariatkan untuk meraih haji mabrur adalah bersedekah dan berkata-kata baik selama haji. Nabi SAW pernah ditanya tentang maksud haji mabrur, maka baginda menjawab, “Memberi makan dan berkata-kata baik,” - Riwayat Baihaqi

Tidak melakukan maksiat sepanjang berihram. 
Maksiat dilarang agama kita dalam semua hal. Dalam keadaan berihram, larangan tersebut menjadi lebih tegas dan jika dilanggar maka haji mabrur yang diimpikan akan terlepas.

Antara yang dilarang selama haji adalah rafath, fusuq (buat maksiat) dan jidal (bertengkar). Allah SWT berfirman, “(Musim) haji adalah beberapa bulan yang diketahui, barang siapa yang menetapkan niatnya dalam bulan-bulan itu untuk mengerjakan haji, maka tidak boleh rafath, fusuq dan berbantah-bantahan selama mengerjakan haji,” (Surah al-Baqarah: 197)

Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang haji dan ia tidak rafath dan tidak fusuq, ia akan kembali kepada keadaannya saat dilahirkan ibunya,” - Riwayat Ahmad.

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumiddin, rafath adalah semua bentuk kekejian dan perkara yang tidak berguna. Termasuk dalamnya bersetubuh, bercumbu atau berbual tentangnya, meskipun dengan pasangan sendiri selama ihram. Fusuq adalah keluar daripada ketaatan kepada Allah dalam apa jua bentuknya. Dengan kata lain, segala bentuk maksiat adalah fusuq yang dimaksudkan dalam hadis di atas. Jidal pula adalah berbantah-bantahan secara berlebihan.

Penutup

Semoga catatan berkenaan “Tanda-tanda peroleh haji mabrur” ini, dapat menambah lagi keyakinan dan semangat bakal jemaah haji ketika berangkat menunaikan haji ke Mekah. Di samping itu, mengambil kesempatan dan peluang semasa berada di sana untuk menggandakan prestasi ibadat ke tahap yang benar-benar maksimum. Amin.

Sama ada haji mabrur atau tidak, ia terletak pada Allah SWT semata-mata. Para ulama hanya menjelaskan tanda-tandanya sesuai dengan ilmu yang Allah berikan kepada mereka. Jika tanda-tanda ini ada dalam ibadah haji kita, maka bersyukurlah kepada-Nya dan teruskanlah berdoa agar ia benar-benar diterima Allah SWT. Adapun jika sebaliknya, maka perbanyak istighfar, taubat, muhasabah diri dan berusaha memperbaiki amalan-amalan ibadah.

-

Terdapat satu tempat di Indonesia melaksanakan solat tarawih 20 rakaat dalam masa tujuh minit. Adakah solat itu sah?

JAWAPAN

Tamakninah perlu diutamakan


Pertama, saya tidak pasti sama ada laporan ini benar atau tidak. Dilaporkan ia dilakukan di sebuah masjid dalam pesantren. Pesantren ialah tempat pengajian yang mempunyai guru dan ulama di dalamnya.

Antara rukun utama solat ialah tamakninah iaitu berhenti seketika semasa rukuk, sujud dan sebagainya. Kadar tamakninah sekadar membaca zikir biasa sebanyak satu kali. Mungkin sekadar lima saat hingga 100 saat. Perkara tamakninah ini ada disebutkan dalam riwayat hadis sahih. Begitulah huraian para ulama tentang kewajipan tamakninah.

Justeru itu, saya tidak bersetuju melakukan solat 20 rakaat dalam tempoh tujuh minit. Ia agak cepat dan kemungkinan tiada tamakninah. Jika kita tidak mempunyai masa yang banyak, maka tiadalah kewajipan untuk solat tarawih sehingga 20 rakaat. Lapan rakaat pun sudah mencukupi.

Terdapat khilaf ulama antara lapan dan 20 rakaat. Namun kecermatan dalam solat adalah lebih penting. Pada pandangan saya, lebih baik kita bersolat lapan rakaat tetapi penuh kecermatan berbanding solat 20 rakaat dalam tempoh tujuh minit. Jika dapat menunaikan 20 rakaat dengan cermat, ia juga sangat baik. Lagi banyak rukuk dan sujud serta khusyuk, maka ia lebih baik dan sempurna. Sesungguhnya sesuatu yang lebih banyak perbuatan maka lebih banyak pahala.

Tags: haji, mabrur, solat
Subscribe

Posts from This Journal “haji” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments