mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Teras konsep ibadah puasa lonjak kerjaya mendidik

BANYAK kelebihan dan rahmat boleh kita peroleh dengan berpuasa Ramadan. Selain mengajar bersabar, berdisiplin dan menepati waktu, ada lagi pengajaran boleh diambil melalui ibadah puasa, khususnya pemimpin pendidikan, terutama pengetua dan guru besar.

Puasa membuktikan bahawa kita boleh melakukan sesuatu di luar kebiasaan. Tidak makan dan minum selama 13 jam (ada negara lebih 18 jam), memang luar biasa.



GURU perlu tanamkan niat dalam diri dan bersungguh-sungguh mendidik untuk mencapai matlamat luar biasa.



Cuba ajak orang yang tidak pernah berpuasa berlapar dan dahaga sepanjang tempoh itu. Tentu perit.

Tapi umat Islam mampu melakukannya.

Dalam memimpin sekolah, pengetua dan guru besar perlu percaya bahawa guru dan pelajar mereka mampu melakukan sesuatu yang luar biasa.

Lonjak GPS

Sekolah yang biasa-biasa saja pencapaian akademiknya, perlu percaya mereka boleh melonjakkan gred purata sekolah (GPS).

Letak sasaran yang tinggi. Jangan takut. Percaya. Selepas itu usahakan sehingga berjaya.

Tidak perlu khuatir jika anda meletakkan sasaran tinggi, tapi gagal mencapainya. Yang perlu dirisaukan adalah meletakkan sasaran rendah, lalu mencapainya. Ambillah sedikit risiko.

Puasa juga mengajar kita betapa pentingnya niat.

Dalam satu hadis sahih, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya setiap amalan mesti bermula dengan niat." Niat adalah kehendak yang bertempat di dalam hati. Kehendak inilah yang menjadi pemangkin kepada usaha, masa, tenaga dan wang ringgit yang dilaburkan untuk mencapai matlamat dan sasaran luar biasa itu.

Tulis sasaran

Niat dan kehendak itu mesti diulang selalu, seperti mana juga kita berniat puasa setiap malam. Semakin ia mantap di dalam hati dan fikiran, semakin terarah usaha dan tindakan.

Pengetua dan guru besar perlu selalu mengulang-ulang GPS disasarkan, kepada murid dan lebih-lebih lagi kepada guru. Sebut dalam setiap perhimpunan dan mesyuarat.

Tulis sasaran di merata sudut sekolah. Apabila sudah tertanam di dalam sanubari, insya-Allah usaha yang setimpal akan menyusul. Jika dihayati, puasa juga mengajar kita untuk menjadi lebih fokus.

Para salafussoleh memahami hakikat ini. Dalam Ramadan mereka memfokuskan ibadah mereka kepada puasa, qiamullail, membaca al-Quran dan bersedekah.

Imam Malik RA menangguhkan kelas pengajiannya di Masjid Nabawi sepanjang Ramadan.

Peka takwim persekolahan

Pengetua dan guru besar perlu peka terhadap takwim persekolahan. September hingga November adalah musim peperiksaan.

Beri tumpuan kepada aktiviti akademik yang menjurus kepada meningkatkan kemahiran murid menjawab soalan peperiksaan.

Aktiviti yang tidak menjurus kepada akademik, laksanakan sebelum daripada waktu berkenaan. Menangguhkan kegembiraan selepas penat berusaha juga adalah antara pengajaran yang boleh diperoleh daripada berpuasa.

Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.

Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Delayed gratification. Itu istilah yang digunakan sekarang. Maka pengetua dan guru besar perlu menanamkan prinsip ini dalam diri setiap guru dan pelajar.

Perlu kerja keras. Perlu berkorban. Ingin berehat? Ingin santai? Ingin lepak-lepak? Guru-guru mahu buat rombongan ke Langkawi? Boleh. Tapi bukan sekarang. Selepas mendapat keputusan cemerlang, maka silakan.
Tags: didik, puasa
Subscribe

Posts from This Journal “puasa” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments