mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Puasa itu sihat, banyak manfaat

IBADAH puasa memberikan banyak keistimewaan kepada kehidupan yang lebih sihat. Antaranya dapat merehatkan organ penghadaman dan pernafasan. Kesemua organ dalaman ini bekerja dengan gigih sepanjang 11 bulan dan semasa Ramadan memberikan peluang kepada ‘jentera’ tubuh itu untuk memulihkan kembali fungsi dan memastikannya mampu bekerja lebih baik.


Hebatnya perintah Allah kepada hamba-Nya


KURMA merupakan juadah berbuka sunnah yang digalakkan oleh Rasulullah SAW kerana mempunyai pelbagai khasiat. - GAMBAR HIASAN

Perut manusia bukan hanya sekadar tempat menyimpan makanan, bahkan merupakan pusat menyeimbangkan makanan.
Keseimbangan ini akan mudah rosak jika makan secara berlebihan. Justeru, Rasulullah SAW menyarankan supaya bersederhana dalam mengambil makanan dan minuman iaitu satu pertiga makanan, satu pertiga air dan satu pertiga udara. Sabda baginda SAW daripada Miqdad bin M’adikarib mafhumnya:

“Tidaklah memenuhkan anak Adam itu sebuah bekas yang lebih jahat (hina) melainkan bagi memenuhi perutnya, sekiranya dia makan memadai dengan suapan kecil yang mampu menguatkan tulang sulbinya. Sekiranya dia dikuasai oleh nafsunya, maka hendaklah diisi perutnya dengan sepertiga makanan, sepertiga minuman dan sepertiga nafasnya.” - Riwayat Ahmad, Tirmizi, Nasa’ie dan Ibnu Majah.

Puasa mendidik dan membantu sistem penghadaman menerima makanan serta minuman pada waktu yang ditetapkan sahaja. Sedangkan pada kebiasaannya, seseorang itu sentiasa menikmati hidangan makanan tanpa mengira waktu dan menu. Ini menjadikan perut bekerja memproses makanan tanpa rehat. Para penyelidik dan pakar ilmu perubatan menyatakan bahawa puasa mampu mengurangkan kadar toksin dalam badan dan secara tidak langsung meningkatkan imunisasi melawan penyakit.

Rasulullah SAW bersabda:“Berpuasalah nescaya kamu menjadi sihat,”- Riwayat Tabrani.

Puasa dapat menghindarkan penyakit yang datang daripada makanan yang dimakan. Sabda Rasulullah SAW: “Perut itu adalah rumah penyakit dan banyak makan itu punca segala penyakit,”- Riwayat Muslim.



Sunat melewatkan bersahur kerana menepati waktu sarapan pagi yang merupakan pengambilan makanan terpenting.- GAMBAR HIASAN -

HEBATNYA 
PERINTAH ALLAH

Ajaib sekali perintah Allah SWT ini yang menjadikan kita kembali sihat. Menurut pandangan ahli biologi, ketika perut dan usus melakukan proses pencernaan, otak tidak berfungsi dengan baik. Ini kerana tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada kerja-kerja penghadaman makanan. Sebab itulah apabila seseorang itu makan sehingga terlalu kenyang, otak menjadi lemah untuk berfikir dan tubuh terasa mengantuk serta malas.

Ketika berpuasa, tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada otak. Ini menjadikan otak dapat bekerja dengan lancar dan memberi peluang untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang menggunakan mental serta fizikal yang berkesan.

Dalam mengerjakan ibadat puasa, sahur merupakan amalan sunat yang digalakkan. Setiap perkataan dan perbuatan sunnah Nabi SAW mempunyai hikmah dan ganjarannya. Kelebihan bagi mereka yang bersahur antaranya Rasulullah SAW bersabda:

“Makan sahur adalah barakah, maka janganlah kalian meninggalkannya meskipun seorang antara kalian hanya minum seteguk air,”- Riwayat Ahmad.

“Perbezaan antara puasa kami dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) ialah adanya makan sahur,”- Riwayat Bukhari dan Muslim.

Sunnah Nabi SAW agar sahur dilewatkan amat signifikan kerana ia menepati waktu bersarapan pagi. Kajian menunjukkan makanan paling utama dalam masa 24 jam ialah sarapan pagi. Menurut laporan BBC News pada 7 Mac 2003, bersarapan pagi penting untuk memelihara kesihatan berbanding mengambil makanan pada waktu lain.

Kajian oleh Dr. Mark Pereira, pakar perubatan Pusat Perubatan Harvard, mendapati mereka yang tidak bersarapan pagi berisiko tinggi menjadi gemuk, sakit jantung dan menghidap kencing manis. Kajian sama juga menunjukkan, mereka yang sentiasa bersarapan pagi menanggung risiko 50 peratus lebih rendah diserang masalah kesihatan berkaitan lebihan kadar gula dalam darah berbanding yang jarang bersarapan pagi.

Ini bermaksud mereka yang selalu bersarapan pagi, risikonya rendah menghidap kencing manis. Kajian terkini menunjukkan paras glukosa dalam darah yang rendah selepas bangun tidur akan berterusan jika tidak bersarapan pagi yang memberi kesan kepada kanak-kanak terutama dalam memberi tumpuan kepada pelajaran.

Inilah realitinya beberapa kajian yang menyatakan pentingnya bersarapan pagi dan kurangnya risiko mendapat penyakit bagi mereka yang selalu bersarapan pagi dan sebaliknya boleh dikiaskan dalam sunnah bersahur bagi Muslim yang berpuasa.

Inilah wasatiyyahnya seorang Muslim yang berpuasa menjadikan Ramadan titik permulaan gaya hidup yang sihat dan seimbang sekali gus menjadi individu yang lebih baik dan produktif.

-
Tags: kesihatan, puasa
Subscribe

Posts from This Journal “kesihatan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments