mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Zakat dan persepsi buruk masyarakat, Zakatkan fitrahmu

Zakatkan fitrahmu


Bolehkah ustaz terangkan dengan lebih jelas perihal zakat fitrah. Mungkin masih ramai yang tidak memahami mengenainya.

jawapan

ALLAH SWT mensyariat zakat fitrah pada bulan Syaaban, tahun kedua hijrah. Ia ditunaikan bagi melengkapi ibadah puasa Ramadan. Hikmah terbesar, agar mereka yang tidak bernasib baik dapat turut bergembira pada Aidilfitri.

Indahnya lagi kerana zakat fitrah itu seiring dengan Aidilfitri. Kedua-duanya berkaitan dengan fitrah, iaitu asal diri manusia yang suci tanpa dosa. Seperti bayi baharu lahir. Zakat fitrah melengkapi Aidilfitri, sekali gus menjadi penutup Ramadan yang sangat bererti.

Pelengkap Ramadan, beri peluang raikan Aidilfitri


ZAKAT fitrah ditunaikan bagi melengkapi ibadah puasa Ramadan sekali gus memberi peluang kepada yang tidak bernasib baik menyambut Aidilfitri. - GAMBAR HIASAN

Daripada Ibnu Abbas r.a: “Bahawa Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah sebagai pembersih (penyucian) bagi orang yang berpuasa daripada perkataan yang tidak berguna dan kotor dan sebagai makanan bagi orang-orang miskin. Maka sesiapa yang mengeluarkannya sebelum solat (Aidilfitri), ia menjadi zakat yang diterima dan sesiapa mengeluarkannya setelah solat, ia menjadi sedekah biasa,” - Riwayat Abu Dawud dan Ibnu Majah, hadis sahih menurut Hakim.

PERMASALAHAN DAN PENYELESAIANNYA

1. Menjadi kelaziman di Malaysia, ayah akan menunaikan kewajipan zakat fitrah bagi diri, isteri dan anak-anaknya termasuk anak gadis yang belum bersuami.


  • Para fuqaha berpandangan seorang bapa hakikatnya tidak lagi wajib mengeluarkan zakat fitrah bagi anak-anaknya yang sudah baligh dan mampu berdikari. Mereka patut menunaikannya sendiri.

2. Jika mempunyai ibu ayah yang tidak mampu, si anak wajib menanggung zakat fitrah mereka.

3. Tidak menjadi kesalahan bagi seorang anak gadis jika mahu menunaikan zakat fitrah bagi ibu bapanya yang kaya. Dia hanya perlu memohon izin dan ia adalah perbuatan terpuji, kerana membuktikan kasih sayang kepada ibu bapanya.

4. Apabila suami meninggal dunia dan anak-anak dipelihara oleh ibu, maka ibu yang perlu menunaikan zakat fitrah mereka.


  • Jika ibu tidak mampu, kewajipan itu berpindah kepada datuk atau bapa saudaranya.

  • Jika berlaku perceraian, maka selagi masih dalam tempoh idah, suami masih wajib menunaikan zakat fitrah bagi pihak isterinya.

5. Mempunyai anak-anak yang bukan daripada nasabnya sendiri, anak tiri atau angkat.


  • Perlu meminta izin daripada bapa kandung mereka atau datuknya atau wali mereka yang sah di sisi syarak untuk menunaikan zakat fitrah mereka.

  • Jika sudah tidak diketahui di mana walinya atau mungkin sudah mati, maka boleh sahaja mengambil harta si anak untuk dikeluarkan zakat fitrahnya.

  • Jika anak sudah boleh berfikir (mumaiyiz), bolehlah meminta izinnya untuk mengeluarkan zakat fitrah bagi dirinya.

6. Ingin tunai zakat fitrah bagi pembantu rumah atau yang tiada pertalian nasab dengannya.


  • Sebenarnya boleh sahaja menunaikan zakat fitrah bagi yang tidak termasuk dalam tanggungan nafkah wajib.

  • Syaratnya wajib mendapat izin daripada mereka, jika diizinkan baharu menjadi sah.

7. Dalam keadaan tertentu, jika anak-anak mempunyai hartanya sendiri, mereka boleh menunaikan zakat fitrah mereka sendiri. Ia adalah sah.

Jika mahu mengeluarkan zakat fitrah berasaskan gred beras yang lebih mahal, ia dibolehkan. Namun tidak boleh menurunkan harganya lagi, kerana nilai RM7 itu dianggap harga yang setara dan mampu bagi semua orang. Namun jika ada pihak yang berkeras mahu menunaikan fitrah dengan beras, ia masih lagi diterima dan sah.

Zakat fitrah boleh ditunaikan di tempat kita tinggal. Namun fuqaha berpandangan, ia menjadi lebih afdal ditunaikan di tempat kita mendirikan solat Aidilfitri. Ini berdasarkan hadis sahih Imam Bukhari, iaitu para sahabat diperintahkan oleh Nabi SAW untuk menunaikan zakat fitrah sebelum mereka keluar menunaikan solat Aidilfitri. Sebab itulah, waktu itu juga menjadi paling afdal.


Zakat dan persepsi buruk masyarakat

ANTARA isu yang sering menjadi perhatian masyarakat terutamanya dalam bulan Ramadan adalah mengenai zakat. Isu ini timbul setiap kali ada laporan atau pendedahan oleh media berkenaan fakir miskin yang terdapat dalam negara. Penangan media sosial juga menyebabkan isu tidak menerima bantuan ini seringkali menjadi panas.

Sepanjang dua atau tiga minggu lepas, penulis acap kali ditanya oleh rakan-rakan berkenaan orang miskin dan zakat ini. Apabila be­rita-berita kemiskinan dijadikan viral sama ada dalam Facebook, WhatsApp dan saluran media sosial lain, maka banyaklah persoalan timbul dalam kalangan masyarakat. Penulis pula dijadikan tempat se­perti kaunter pertanyaan.

Melihat kepada respons masyarakat dalam media sosial, wujud bermacam-macam komen. Ada yang pedas dan ada yang lembut. Ada yang kata bahawa isu ini sudah lama dan wajar dicari penyelesaian segera. Ada juga yang mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas bagi menyelesaikan masalah ini.

Penulis memerhatikan bahawa trend masyarakat apabila timbul isu seperti ini boleh dikategorikan kepada tiga keadaan, iaitu positif, negatif dan tidak ambil peduli. Bagi golongan positif, mereka tidak mempercayai bulat-bulat berita yang dibaca. Biasa­nya, mereka akan mengambil inisiatif sendiri untuk berkunjung ke rumah fakir miskin tersebut. Ini bagi memastikan maklumat yang disampaikan melalui media sosial adalah boleh dipercayai.

Dalam hal ini, laporan Utusan Malaysia baru-baru ini mengenai Aishah Omar atau Mak Esah yang mengambil inisiatif sendiri bagi membantu golongan kurang berkemampuan adalah antara contoh individu yang proaktif. Dalam laporan tersebut didedahkan mengenai usaha beliau dan keluarga menyediakan bungkusan-bungkusan barangan keperluan harian untuk disumbangkan kepada keluarga miskin terpilih di beberapa buah kampung di sekitar kawasan tempat tinggalnya. Usaha ini wajar dicontohi oleh semua masyarakat.

Bagi yang negatif pula, mereka seringkali meluahkan rasa marah dan geram kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab memberikan bantuan kepada fakir miskin. Antara institusi yang kerap dihentam adalah institusi zakat dan agensi-agensi kerajaan lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid dan lain-lain lagi.

Bagi golongan ini, dakwaan yang dibuat mereka ada kala benar tetapi kebanyakannya tidak berasas. Ini dapat dilihat melalui hujah-hujah mereka yang disokong dengan pengalaman dan laporan-laporan yang mereka ada. Namun, kebanyakan komen mereka ada juga yang tidak berasas, terlalu emosional dan terlalu menyalahkan pihak lain tanpa usul periksa.


KETUA komuniti kaum Rohingya, Ali Mohamed (kiri) membantu Mak Esah (kanan) untuk menghantar sumbangan makanan asas kepada golongan memerlukan di sekitar pinggir Kota Tinggi, Johor, baru-baru ini. UTUSAN/FARIK SALLEH

Golongan ketiga pula adalah yang tidak mempunyai perasaan dan ambil tahu. Bagi mereka, selagi tiada kena mengena dengan diri atau keluarga atau jiran mereka, maka ia bukan masalah mereka. Ramai juga masyarakat kita yang berada dalam golongan ini.

Tapi apa yang menariknya, isu zakat kali ini bukan hanya menarik perhatian masyarakat Muslim sahaja. Ada juga individu beragama lain memperlekeh dan ada pula yang mempertahankan institusi zakat.

Berita mengenai seorang individu berbangsa Cina yang membawa sebuah keluarga miskin makan di restoran yang menjadi viral baru-baru ini menunjukkan bangsa lain juga sangat prihatin kepada masyarakat yang kurang kemampuan. Ada juga komen dari rakan kaum India yang mempertahankan institusi zakat. Beliau mendakwa melihat sendiri banyak bantuan dan usaha yang telah dilaksanakan oleh institusi zakat dalam membantu golongan asnaf.

Keprihatinan kelompok masyarakat dan usaha yang dilakukan oleh jabatan-jabatan seperti institusi zakat adalah sangat baik. Banyak sudah jasa mereka kepada masyarakat. Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini ada semacam satu gerakan ke atas ins­titusi zakat. Tempat pengurusan dan pentadbiran hal ehwal zakat ini diberi imej negatif.

Institusi ini digambarkan sebagai tidak efektif, tidak cekap dan gagal membantu masyarakat. Lebih teruk lagi mereka disalahkan setiap kali ada isu kemiskin­an dipaparkan dalam media massa dan media sosial. Ada juga pihak yang cuba mengaitkan mereka dengan penyelewengan wang zakat. Kata mereka kutipan mencecah bilion ringgit, namun masih banyak masyarakat yang tidak mendapat duit zakat.

Dalam keadaan sekarang, sukar untuk mempercayai institusi zakat telah gagal memainkan peranannya. Memang benar kutipan zakat mencecah berbilion ringgit dan kutipan ini meningkat dari setahun ke setahun. Adakah pe­ningkatan kutipan ini masih tidak melambangkan kecekapan dan keberkesanan institusi?

Selain peningkatan kutipan, berlaku juga perubahan ketara dalam pengagihan zakat. Setiap tahun jumlah bantuan kepada asnaf semakin meningkat. Bilangan asnaf yang dibantu turut meningkat. Pelbagai bentuk program agihan juga telah diper­kenalkan. Malah, penulis sendiri melihat berpuluh-puluh kaedah agihan zakat telah dilaksanakan oleh hampir semua institusi zakat yang ada dalam negara.

Staf-staf institusi juga zakat tidak hanya berpeluk tubuh di dalam pejabat. Mereka ini sangat kreatif dan bersungguh-sungguh dalam menjejaki asnaf. Mereka mewujudkan skuad jejak asnaf, bekerjasama dengan penduduk setempat, keluar masuk kampung tidak kira siang ataupun malam. Kadang-kadang mereka ini terpaksa menjelajah berpuluh-puluh kilometer dalam sehari bagi mencari asnaf untuk dibantu.

Mengenai dakwaan ada sebilangan kecil masyarakat tidak mendapat bantuan zakat, penulis percaya institusi zakat telah berusaha kuat untuk menjejaki mereka. Namun, apakan daya dengan kekangan tertentu, ada yang terlepas daripada radar mereka. Di sinilah peranan masyarakat sebenarnya. Bantulah menghulurkan maklumat asnaf terus kepada ins­titusi zakat.

Jasa institusi ini kepada masyarakat khususnya orang Islam sangat besar. Golongan fakir miskin sentiasa dibantu dan ini pasti dapat meringankan beban mereka. Anak-anak fakir miskin terus diberi bantuan pendidikan agar mereka dapat membantu keluarga pada masa hadapan. Di Kedah sahaja, lebih RM5 juta ­telah diagihkan kepada 4,243 orang pelajar universiti awam dan swasta dalam tempoh Januari hingga Jun 2016. Tidakkah semua ini menggunakan wang zakat yang diberikan oleh kita semua?

Kepada ‘pahlawan’ media sosial, rajin-rajinlah mencari maklumat yang sahih. Usah cepat menuding jari menyalahkan pihak berkuasa zakat jika ada isu kemiskinan menjadi viral. Jadilah masyarakat yang rasional dan sentiasa mencari kebenaran.

Tags: fitrah, zakat
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments