mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Daripada ummah kepada ummah

BERMULA dengan pengangkutan laut, seterusnya menggunakan kapal terbang transit dari luar negara hinggalah negara mampu mengendalikan penerbangan sendiri, sektor pengangkutan haji tanah air telah mengalami pelbagai perubahan sehingga kini.

Segala perubahan ke arah kebaikan itu bertujuan memudahkan umat Islam khususnya di negara ini menyempurnakan rukun Islam ke lima itu ke Tanah Suci dengan lebih teratur dan selesa.

Wakaf penerbangan bersifat idealistik


KAPAL laut merupakan pengangkutan utama jemaah ke Tanah Suci pada era 70-an. - GAMBAR HIASAN

Terbaru, usaha bagi menggalakkan umat Islam terutama bagi golongan kurang berkemampuan bagi menunaikan ibadah umrah ke Mekah dan Madinah menerusi sistem wakaf dilihat satu lagi transformasi bersifat idealistik.

Mengakui perkara itu, bekas Pengarah Urusan Malaysia Airlines, Tan Sri Abd. Aziz Abdul Rahman berkata, konsep wakaf penerbangan ke Tanah Suci dilihat mempunyai harapan cerah dalam industri penerbangan di samping membantu semua umat Islam menunaikan ibadah umrah.

Malah beliau berkata, menerusi pemerkasaan sistem wakaf juga diyakini mampu mengukuhkan ekonomi umat Islam untuk dikongsi bersama Muslim seluruh dunia.

“Agama memperkenal wakaf kerana ia mempunyai banyak manfaat, terutama bagi membantu ekonomi umat Islam iaitu daripada ummah yang kaya kepada ummah miskin untuk sama-sama berkongsi dan memperoleh faedah.



Abd Aziz Abdul Rahman

“Wakaf penerbangan merupakan permulaan yang sangat bagus kepada usaha ini. Melihat kepada aspek global, jika sistem wakaf penerbangan ini mendapat kepercayaan dunia, ramai jutawan Muslim ingin menyumbang.

“Kerana mereka tahu, ganjaran memberi makan kepada orang miskin pun sudah besar, ini kan pula membawa orang ke Mekah dan Madinah bukan kecil,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Bagaimanapun beliau berkata, dalam usaha menarik kepercayaan Muslim dunia, kita selaku rakyat Malaysia perlu membuktikan kemampuan dalam mengendalikan penerbangan berkonsep wakaf tersebut.



PASTINYA setiap umat Islam menyimpan azam untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci. - GAMBAR HIASAN

“Kita (rakyat Malaysia) dahulu yang perlu menyokong usaha ini supaya ia dapat dilaksanakan di samping menunjukkan kepada dunia apa yang dikatakan wakaf penerbangan itu.

“Saya mencadangkan, jika kerajaan boleh mewakafkan dua kapal terbang bagi usaha ini sudah cukup, banyak manfaat boleh kita gunakan bagi membantu umat Islam lain yang memerlukan.

“Dalam masa sama, usaha ini juga dapat menyatupadukan seluruh umat Islam di dunia. Apabila wakaf penerbangan ini sudah benar-benar stabil nanti, ia juga boleh dimanfaatkan kepada negara lain bagi membolehkan seluruh Muslim boleh pergi ke Tanah Suci,” jelasnya.



ABD. AZIZ ABDUL RAHMAN (tengah) bercakap sesuatu bersama Ahli Lembaga Pengarah, AIR Riths Travel & Tour Sdn. Bhd.

Tidur di kaki lima pejabat

Berkongsi pengalaman menguruskan penerbangan dari Malaysia ke Jeddah, Abd. Aziz berkata, melihat keadaan ribuan umat Islam terkandas di lapangan terbang akibat pembatalan penerbangan saat akhir mendorongnya untuk mengendalikan sendiri penerbangan jemaah ke Tanah Suci.

“Pada awal tahun 70-an dahulu, umat Islam di negara ini pergi ke Mekah menaiki kapal laut yang mengambil masa berbulan-bulan lamanya. Rata-rata yang pergi tidak terfikir untuk pulang. Lepas daripada itu, kita menggunakan khidmat penerbangan transit, tetapi malangnya berlaku banyak masalah seperti tergendala, batal, penipuan dan sebagainya.

“Saya terfikir, mengapa perlu menggunakan perkhidmatan yang membawa banyak masalah. Sejak dari itu saya usahakan untuk mewujudkan penerbangan sendiri. Sering berulang alik ke Jeddah untuk menguruskan penerbangan terus dari Malaysia ke Jeddah.

“Boleh dikatakan hampir semua pegawai dan kementerian bahagian haji serta umrah saya telah berjumpa dan berbincang mengenai perkara ini sehingga terpaksa tidur di kaki lima pejabat untuk berjumpa pegawai,” katanya.

Usaha itu kata Abd. Aziz ternyata tidak sia-sia apabila kerajaan Arab Saudi memberi kebenaran penerbangan terus dari Malaysia ke Jeddah walaupun mengenakan royalti kepada setiap jemaah.

“Ini juga membuatkan hubungan saya dengan Saudi rapat termasuk bersama pegawai Jabatan Penerbangan Awam Saudi,” ujarnya.

Tags: haji, ummah
Subscribe

Posts from This Journal “ummah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments