mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: “Zakat Fitrah Menyempurnakan Ibadah Puasa ”

Petikan Khutbah Jumaat 01 Julai 2016:JAIS

“Zakat Fitrah Menyempurnakan Ibadah Puasa ”

Kewajipan menunaikan zakat fitrah mengandungi banyak hikmah dan kelebihan yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada kita. Antara hikmahnya adalah:

jais.jpg1. Zakat fitrah adalah sebagai penyucian diri kita atas dosa-dosa yang telah kita lakukan dan menutup kekurangan sepanjang berpuasa di bulan Ramadhan. Riwayat daripada Ibnu Abbas RAnhuma beliau memberitahu bahawa;“Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah untuk menyucikan orang yang berpuasa dari kata-kata yang sia-sia dan kotor dan sebagai makanan bagi orang-orang miskin. sesiapa menunaikannya sebelum solat (‘Idulfitri) maka itu adalah zakat yang diterima, dan sesiapa menunaikannya selepas solat maka itu hanyalah merupakan sedekah dari sedekah-sedekah (biasa)”. (Abu Daud dan Ibnu Majah).

2. Zakat fitrah diwajibkan kepada semua umat Islam tanpa mengira umur, jantina dan latar belakang ekonomi bertujuan supaya setiap umat Islam berpeluang untuk berkongsi rezeki dengan orang susah yang lain.Ia boleh ditunaikan di awal Ramadhan dan wajib diselesaikan sebelum solat ‘Idulfitri.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar RAnhuma beliau berkata bahawa;“Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadhan atas orang-orang sebanyak satu gantang kurma atau satu gantang gandum atas setiap orang merdeka atau hamba, baik lelaki mahupun perempuan dari kaum muslimin”. (Imam Muslim)


3. Zakat fitrah adalah kaedah yang diatur oleh Allah SWT untuk menyatukan hati ummah dan mewujudkan rasa mahabbah dan kebersamaan tanpa mengira pangkat dan darjat. Golongan fakir dan miskin yang menerima zakat akan berasa gembira dalam menjalani ibadah puasa dan menyambut Eidilfitri. Bahkan, amalan menggembirakan hati sesama manusia merupakan amalan yang paling disukai oleh Allah SWT.

Hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar RAnhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang paling dicintai oleh Allah SWT ialah orang yang banyak memberi manfaat kepada masyarakat, dan amalan yang paling Allah sukai ialah kegembiraan yang dimasukkan dalam hati seorang muslim, atau menghilangkan baginya kesulitan, atau menyelesaikan hutang-piutangnya, atau menghilangkan baginya kelaparan”. (Imam at-Tabrani).

4. Allah SWT menjanjikan keberkatan, pertambahan rezeki, kebahagiaan dan ganjaran pahala yang besar kepada hamba-Nya yang menunaikan zakat. Lebih-lebih lagi sekiranya menunaikan zakat dan bersedekah di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Sebaliknya, Nabi SAW memberikan amaran yang keras terhadap manusia yang bersikap bakhil terhadap sesama manusia sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda;“Orang yang bakhil jauh daripada Allah; jauh dari syurga; jauh dari manusia dan hampir dengan neraka”. (Imam at- Tirmidzi).

Berdasarkan laporan kutipan dan agihan zakat fitrah di Negeri Selangor, pada tahun 2015 sebanyak RM21.5 juta telah diperolehi daripada umat Islam yang menunaikan zakat fitrah di negeri ini. Pada tahun yang sama juga, pihak zakat Selangor telah mengagihkan sebanyak RM30.2 juta kepada 44,293 keluarga asnaf fakir dan miskin di Negeri Selangor ini sebagai persiapan mereka menyambut Ramadhan dan Hari Raya Idulfitri.

Sesungguhnya kegembiraan yang dinikmati oleh fakir dan miskin adalah disebabkan sifat kasih sayang yang dizahirkan melalui ibadah zakat yang kita semua tunaikan. Natijahnya, Allah SWT menurunkan rahmat dan keberkatan serta menerbitkan rasa kasih sayang dalam hati setiap jiwa muslim yang melahirkan ukhuwah dan kesatuan ummah tanpa mengira darjat dan pangkat sesama manusia.

Mengakhiri khutbah ini, umat Islam hendaklah mengambil langkahlangkah seperti berikut;

1. Umat Islam hendaklah menunaikan zakat fitrah dengan seikhlas hati kerana Allah SWT.

2. Umat Islam hendaklah melaksanakan ibadah puasa dan ibadahibadah yang lain dengan baik dan sempurna.

3. Umat Islam hendaklah membayar zakat fitrah dengan lebih awal kerana untuk mengelakkan kesulitan kepada umum sekiranya membayar pada saat-saat akhir.

“Ambilah (sebahagian) daripada harta mereka sebagai zakat, supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa dan akhlak yang buruk) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); serta doakanlah untuk mereka, (ini kerana) sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman jiwa bagi mereka. (Ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui”. (Surah at-Taubah ; 103).
Tags: fitrah, khutbah, raya, zakat
Subscribe

Posts from This Journal “zakat” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments