mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Tunai zakat kepada pemerintah

MEMBICARAKAN mauduk tentang duit memang amat mengujakan. Lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri apabila masing-masing memerlukan wang untuk membuat persiapan menyambut hari lebaran. Manusia tidak kira yang kaya atau miskin, memang mendambakan duit untuk hidup.

Begitu juga dengan duit zakat. Apabila umum mengetahui kutipan oleh agensi pemungut zakat seperti Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) mencecah ratusan juta ringgit setahun maka timbullah pelbagai persepsi.


PUSAT Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan mengagihkan kira-kira RM532 juta kepada golongan asnaf di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pada 2015. GAMBAR HIASAN/BERNAMA

Sudah resmi manusia, tidak ada yang sempurna. Pasti ada sahaja golongan yang tidak puas hati terutama dalam bab agihan zakat. Itulah yang mencetuskan polemik mutakhir sehinggakan wujud saranan agar masyarakat mengagihkan sendiri wang zakat kepada asnaf.

Bagi menjelaskan siapakah asnaf yang layak menerima zakat, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang fakir, orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para muallaf yang dipujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai sesuatu ketetapan yang diwajibkan Allah; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (at-Taubah: 60)

Dengan kata lain, wang zakat tidak boleh diagih sewenang-wenangnya. Perlu ada kajian dan tapisan terhadap penerimanya. Ini supaya menepati lapan kategori asnaf sebagaimana termaktub dalam al-Quran. Mengikut pandangan Imam Syafie, jika diberikan kepada orang yang tidak layak, maka tidak menjadi zakat sebaliknya hanya sedekah. Dan pembayar ‘zakat’ itu tadi wajib menqada zakatnya itu pada tahun hadapan. Itu antara risiko jika kita membayar terus zakat kepada orang yang kita sangka layak. Dari segi agihan zakat pada 2015, PPZ Wilayah Persekutuan mem­belanjakan RM590 juta berbanding RM570 juta hasil kutipan zakat. Da­ripada jumlah itu, kira-kira RM532 juta diagihkan kepada golongan asnaf di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

LZS pula mengagihkan zakat sebanyak RM676.3 juta daripada jumlah kutipan sebanyak RM626.6 juta pada 2015. Semuanya dibelanjakan bagi menyantuni asnaf. Jika diteliti, ternyata kedua-dua institusi zakat itu mengagihkan kutipan zakat le­bih daripada pendapatan yakni hasil kutipan. Jadi, tidak sepatutnya timbul gesaan agar umat Islam membayar sendiri zakat kepada asnaf. Jika ada kes yang mendakwa dinafikan hak menerima zakat yang mudah menjadi viral dalam media-media sosial, selidik dahulu kesahihannya.

Sebabnya, ini wang zakat. Para amil yang dilantik adalah bagi mengurus wang zakat agar ia disalurkan kepada mereka yang layak. Jika bukan asnaf, maka tetap tidak layak dapat wang zakat. Sebenarnya tugas amil berat. Setiap keputusan mereka sama ada yang tepat atau sebaliknya akan dipertanggungjawabkan di hadapan mahkamah Allah kelak.

Jika benar kes sebagaimana didakwa, jangan cepat melatah dan melempar tuduhan pegawai zakat tidak tahu buat kerja, hanya duduk dalam pejabat dan sebagainya. Sebaliknya, salurkan maklumat itu kepada agensi zakat terlibat supaya tindakan segera boleh diambil.

Sekali lagi kita mengajak umat Islam berfikir sebelum memberi. Zakat itu ada roh dan falsafah dalam pelaksanaannya. Menurut ulama Islam, Syed Sabiq di dalam kitabnya: “Di antara tujuan zakat ialah memberikan kecukupan dan menutup keperluan si miskin. Maka hendaklah mereka (orang miskin) diberikan zakat sejumlah yang dapat membebaskannya daripada kemiskinan kepada kemampuan, daripada ke­perluan kepada kecukupan buat selama-lamanya”. (Fikih Sunnah, jilid 3, halaman 87).

Maknanya, apabila diberikan kepada asnaf zakat, khususnya fakir dan miskin hendaklah bersifat memenuhi keperluan mereka. Dalam erti kata lain, zakat bermaksud memberi bantuan secara sistematik dan bermatlamat. Ia bukan sekadar memberi keringanan dalam tempoh sehari atau sebulan dan kemudian penerimanya kembali jatuh miskin. Bahkan matlamatnya adalah mengeluarkan mereka daripada lembah kemiskinan.

Sebab itu, setiap orang Islam wajar menyedari di dalam setiap sen wang zakat yang mahu dihulur, ada lapan asnaf yang berhak di dalamnya. Bahkan menurut pandangan Imam Syafie di dalam kitabnya: “Apabila pemilik mahu membahagikannya (zakat) sendiri ataupun melalui wakilnya, dia wajib membahagikannya sekurang-kurangnya kepada tiga orang daripada setiap golongan (asnaf) sekiranya bilangan mereka tidak dapat dikira”. (Fiqhul Manhaji, halaman 467).

Katakanah kita mengambil lapan asnaf. Ini bermakna, jika kita ada RM80, maka setiap asnaf yang lapan berhak mendapat habuan RM10. Ini adalah ketetapan Allah SWT. Maka, cuba bayangkan jika kita hanya dikenakan zakat RM800 setahun, maka dengan pembahagian lapan asnaf itu dengan sendirinya akan mengecilkan amaun zakat bagi setiap asnaf. Asnaf fakir dan miskin hanya mendapat RM100.

Soalnya, cukupkah RM100 bagi si fakir? Dengan kenaikan kos sara hidup, RM100 itu barangkali tidak mampu bertahan. Maka, adakah pemberian sendiri wang zakat RM100 itu memenuhi kriteria roh dan falsafah zakat yang disebutkan di atas? Untuk itu, Islam menyediakan garis panduan yang terbaik di dalam menunaikan zakat. Ia boleh disabitkan kepada hujah naqal mahu pun akal. Al-Quran dan hadis adalah hujah kukuh yang tidak mampu disangkal. Hujah akal juga menunjukkan, zakat hanya mampu berperanan secara efektif bila dikumpulkan dalam dana yang besar dan dijana pula secara sistematik. Oleh itu, mengeluarkan zakat kepada amil adalah lebih tepat.

Hari ini, atas dasar maslahah ummah dan demi memaksimumkan potensi zakat, maka zakat diinstitusikan pengurusannya. Hari ini juga, amil dilantik oleh pemerintah dan diinstitusikan. Rakyat pula diperintahkan menyalurkan zakat mereka kepada institusi zakat. Maka lahirlah organisasi zakat se­perti PPZ, LZS dan sebagainya.

-
Tags: amil, zakat
Subscribe

Posts from This Journal “amil” Tag

  • Profesion amil tugas mulia

    “INI milikmu dan ini pula hadiah yang diberikan adalah milikku,” ujar Ibn Lutbiyyah kepada Rasulullah SAW. “Apakah kamu menyangka…

  • Amil menyelami asnaf

    BAGAIMANAKAH amil melayani para asnaf? Inilah persoalan yang sering dibangkitkan? Hingga kadang-kadang masyarakat dan umat Islam menjadi lupa,…

  • Keistimewaan amil zakat

    MUTAKHIR ini, sering timbul desas-desus dalam kalangan umat Islam tentang ketidakpuasan hati mereka terhadap institusi zakat. Mereka mempertikaikan,…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments