mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Berkira bayar zakat

SUATU hari seorang lelaki separuh baya masuk ke kaunter zakat Selangor di Selayang. Dia bertanya: "Harga zakat fitrah tahun ini berapa ringgit ustaz?". Ustaz menjawab: "RM6", Dengan rupa terkejutnya, lelaki itu menuturkan: "Aih! Kenapa mahal sangat?". RM6 sudah dianggap mahal?

Kisah ini sudah agak lama berlaku tapi masih segar di ingatan Perunding Dakwah Zakat di Lembaga Zakat Selangor (Mais) dan juga pendakwah, Ustaz Hamizul Abdul Hamid. Kongsinya lagi, harga fitrah waktu itu pun masih belum mencecah RM7. Sudah dianggap mahal.

Katanya, di negeri lain, ada yang harga fitrahnya dibahagi kepada dua kategori. Setiap kategori mewakili gred beras yang dimakan. Beras mahal dan berkualiti, ialah RM7. Beras murah dan kualiti rendah, harganya RM5. Itu pun ada juga berlaku insiden yang tidak diingini.

"Seorang ustaz pernah bercerita kepada saya, katanya: "Biar pun ada dua harga fitrah, namun ramai memilih membayar dengan harga terendah.

"Majoritinya, mereka seolah-olah tidak mampu. Walhal, harga RM5 itu ialah bagi orang yang makan beras hancur. Mustahil ramai sangat makan beras hancur. Buktinya, mereka datang ke masjid pakai kereta besar, tetapi bila membayar fitrah pakai harga beras murah. Pelik sungguh." ini cerita benar. Bukan rencah rekaan penyedap kisah.

Realiti manusia, memang berkira dalam urusan pahala. Sebagai amil yang bergelumang dengan pembayar zakat, beliau temui pelbagai jenis pembayar dengan ragam yang berbeza. Termasuklah dalam kalangan yang berkira-kira seperti ini. Apatah lagi jika punya tanggungan ramai, makin terbeliak biji mata dibuatnya.

"Er ustaz... banyak tu, RM70! Tak de diskaun ke?" Sedangkan, itulah nilaian zakat yang wajib bagi dirinya dan tanggungannya. Beliau terfikir, jika mereka menonton wayang pun, pastilah kosnya lebih mahal. Tetapi, tidak pula mereka meminta diskaun kepada penjaga tiket. Apatah lagi jika berhabis membeli perabot baru, kabinet baru berharga ratusan ribu, langsir baru dan sebagainya. Langsung tidak terketar-ketar keluarkan duit, tapi perkara wajib dan dituntut payah ditunaikan.

UJIAN IMAN

Hakikatnya, zakat fitrah memang ujian keimanan. Ia bagi menilai parameter iman kita, di tahap mana setelah sebulan ia dicanai oleh 'sekolah' Ramadan. Adakah iman kita sudah berjaya digemburkan?, Takwa juga sudah semakin subur? Sudah semakin ghairah berebut-rebut dengan amalan berpahala. Sudah tidak sabar mencari ruang melebarkan amal. Sedekahnya seperti air. Zakat seperti angin. Laju tanpa ada yang dapat menghalangnya.

"Ingatlah, keikhlasan dalam memberi inilah bayangan takwa. Bukankah puasa ini sebagai medan mengasah takwa. ALLAH SWT sudah memberikan harapan kepada kita. Mudah-mudahan kita beroleh takwa (firman-Nya dalam Surah Al-Baqarah ayat 183). Sepatutnya, Ramadan menatijahkan takwa. Sayangnya kenapa tidak berlaku?," soalnya.

Beliau mempersoalkan, salah Ramadan atau salah siapa? Sebulan lamanya, nafsu ditekan. Siang berpuasa, penatnya minta ampun. Pedih perut menahan lapar, perit tekak menahan dahaga. Nafsu meronta-ronta mahu bebas, kita berjaya tundukkan. Malamnya, ditekan lagi dengan ibadah. Tarawih 20 rakaat atau lapan rakaat, luar biasa.

Menurutnya, sedangkan pada bulan lain, solat sunat rawatib pun belum tentu dilakukan. Ditambah lagi tahajud dan witir. Qiyam di 10 malam terakhir. Sahur di pagi buta. Ditekan lagi dengan tadarus al-Quran dan zikrullah dan macam-macam lagi. Pendek kata, nafsu menjadi mengah, longlai dan lemah. Hampir pengsan dibuatnya. Natijahnya apa? Sekali lagi, salah Ramadan atau siapa?    

Liat, lupa zakat fitrah

Apakah sebulan Ramadan itu belum mencukupi untuk tunai kewajipan?

DALAM kesempatan yang lain, seorang lelaki pernah mengadu.

"Alamak ustaz, saya dah berdosa."

"Kenapa pula?"

"Saya lupa nak bayar zakat fitrah." Ini satu lagi gejala dalam masyarakat kita. Sebulan lamanya diberikan ALLAH masa untuk menunaikannya, namun masih ada yang terlupa. Apalah yang terlalu sibuk bermain di fikirannya? Mungkinkah mereka terlalu ghairah mahu menyambut hari raya? Atau terlalu sibuk mengaut untung berniaga pada bulan puasa?

MAHU KEJAR AFDAL

"Hari raya itu kan paling afdal membayar zakat fitrah ustaz. Maka, sebab itu saya tunggu dulu nak bayar fitrah. Nak cari waktu paling afdal." Mungkin ada orang yang beralasan seperti ini. Dengar sekali lalu, macam bagus sangat. Ia lah, mahu menunaikan zakat fitrah pada pagi raya.

Sayangnya, pagi raya itu jugalah mereka sibuk. Di kampung seluruh sanak-saudara berkumpul di rumah emak. Bilik air hanya satu. Beratur menunggu untuk mandi. Waktu makin gawat, mandi pun ala koboi sahaja. Akhirnya lambat ke masjid. Sampai sahaja di laman masjid, imam sudah mengangkat takbir. Langsung berlari menaiki tangga dan mengangkat takbir sama. Selepas salam, balik ke rumah dan menyambung misi berziarah ke rumah kenalan dan saudara-mara. Zakat fitrahnya, langsung dilupakan. Hinggalah masuk hari raya ke tujuh, baharulah teringat. Itu pun bila isteri bertanya: "Abang sempat ke bayar zakat fitrah? Bukankah abang lambat sampai ke masjid? Lepas itu kan langsung kita sibuk beraya. Jangan abang lupa sudahlah?."

Pap! Satu tamparan hinggap di dahinya. "Abang lupa!"

Inilah antara penyakit dalam kalangan umat Islam hari ini. Berasa fitrah mahal, memilih harga terendah dan paling tragis, lupa dan liat membayar fitrah. Bayangkan, di mana rasa keimanan, kerana perkara sepenting ini pun dianggap begitu remeh. Di manakah nilaian iman? Di mana pula darjat takwa?

Capai darjat takwa

Itu belum ditambah dengan elemen pembaziran pada Ramadan. Berlebihan pula menyambut Aidilfitri. Belum dihitung segala kos persiapan yang katanya 'sederhana', tetapi tetap berbunyi 'wow' itu.

Ustaz Hamizul, pembaziran wajib dihentikan. Berpadalah dalam segala hal. ALLAH tidak melihat zahir kita, tetapi melihat hati kita. Jika zahir hebat bergaya, tetapi iman longlai tiada gunanya. Jadi, bagaimanakah kita dapat mencapai darjat takwa di sisi Ramadan?

Ustaz Hamizul memberi tip mudah. Mari sama-sama kita amalkan.

1. Tentukan niat. Jika sedari awal kita berniat mahu mencari takwa, maka seluruh kerja dan perbuatan dalam bulan ini menjurus kepada takwa.

2. Kenal pasti amalan takwa. Apakah yang disebut amalan takwa di sisi ALLAH dan itulah yang kita kerjakan. Misalnya bersedekah, berzakat, membantu orang dan mengajak kepada kebaikan.

3. Tutup pintu kepada amalan yang dimurkai ALLAH. Banyak sekali, termasuklah suka membazir, menunjuk-nunjuk, mengumpat, membuang masa dan menyalah guna nikmat ALLAH.

4. Cari geng takwa. Ramadan, geng takwa senang dikenal pasti. Misalnya, mereka orang yang suka berada di masjid, beriktikaf, membaca al-Quran, menyantuni orang yang memerlukan dan menjaga solat jemaahnya. Dampingilah mereka.

5. Mengisi hati dengan nasihat agama. Caranya selalu dampingi majlis ilmu, mendekati orang alim dan orang soleh, banyak membaca buku agama dan motivasi iman dan takwa. Ingatlah, ALLAH memerintahkan kita berpuasa, kerana ia cara terbaik mendidik manusia. Musuh manusia paling utama, si Iblis sudah pun dikurung. Dikunci rapat-rapat. Satu-satunya halangan buat manusia menzahirkan ketaatan, ialah hasutan nafsu.

Menurut Ustaz Hamizul, sebab itulah Ramadan bulan melentur nafsu. Dengan harapan, sebulan berlalu, nafsu sudah terbentuk. Kelak, Iblis pun sukar mengajak nafsu bersekongkol melakukan kejahatan. Ibarat seekor kuda liar yang ganas. Kuda yang ganas, tidak ada manfaat di sisinya. Ia hanya suka memberontak. Maka, Ramadan datang bersama pakej terbaik melunakkan nafsu kita yang ganasnya bak kuda liar itu.

WASPADA DENGAN NAFSU

Akhirnya, cermatilah baik-baik pesanan yang pernah dinukilkan oleh Imam Al-Ghazali dalam hal melentur nafsu lewat pertanyaan ketiganya kepada anak-anak muridnya.

"Apakah yang paling besar di dunia ini?"

"Gunung, bumi, lautan dan matahari." Jawab anak-anak muridnya.

"Semua jawaban itu benar." Kata Imam Al-Ghazali.

"Tapi yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah nafsu," Jawapan ini sebenarnya merujuk firman-Nya: "Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dalam (kalangan penghuninya) jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahaminya dengannya (ayat-ayat ALLAH), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan ALLAH), dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. (Surah Al-A'raff: 179)

Maka kita harus waspada dan berhati-hati dengan nafsu. Jangan sampai nafsu mendorong kita ke neraka. Tunaikanlah zakat fitrah tanpa sebarang rungutan, barulah mudah mendapat barakahnya!.

Tags: iman, nafsu, takwa, zakat
Subscribe

Posts from This Journal “iman” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments