mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Manfaatkan tradisi balik kampung beraya

MINGGU ini fokusnya adalah balik raya. Semua orang sudah berkira-kira bila mahu bertolak balik ke kampung halaman. Semalam hari terakhir persekolahan dan sejak malam tadi kenderaan sudah mula bertali arus. Jalan-jalan utama dan lebuh raya ke semua destinasi utara, selatan dan Pantai Timur kembali sibuk seper­ti mana musim perayaan yang lepas-lepas. Esok, lusa sudah pasti berlaku kesesakan luar biasa di semua jalan hubungan.

Kepada sesiapa yang kena bertugas pada malam raya, percayalah badan sahaja di tempat kerja, hati dan jiwa sudah jauh melayang ke kampung halaman. Lagu-lagu raya seperti Balik Kampung, Dari Jauh Ku Pohon Maaf, Dendang Perantau serta Pulanglah yang berkumandang tanpa henti benar-benar menambah gejolak hati mahu segera menghabiskan tugas dan bertolak balik.


BALIK kampung adalah satu kemestian kepada perantau yang tinggal di kota. - GAMBAR HIASAN/UTUSAN

Itu belum ditambah lagi mesej daripada anak-anak di rumah yang bertalu-talu bertanya pukul berapa mahu balik rumah dan pukul berapa mahu bergerak ke kampung. Itu bagi yang berpeluang balik kampung, bagi yang terpaksa bekerja pada hari raya, hanya air mata yang mampu bercerita.

Balik raya adalah satu kemestian kepada perantau yang tinggal di kota. Walaupun sudah beranak-pinak dan bercucu di kota sekalipun, balik kampung adalah satu perkara wajib yang dilakukan apabila tiba Aidilfitri.

Bohonglah kalau ada yang mendakwa tidak ada kampung kera­na itu tidak perlu balik kampung. Lainlah dia ini asal usul orang tuanya orang Kuala Lumpur, lahir dan dibesarkan di Kuala Lumpur, tidak ada saudara mara yang duduk di mana-mana kampung dan sejak dari kecil lagi menyambut raya ha­nyalah di Kuala Lumpur.

Justeru apabila timbul beberapa pertanyaan: “Perlukah balik kampung pada hari raya atau masih re­levankah tradisi balik kampung?” Jawapannya adalah, “Ya!” Tradisi balik kampung untuk menyambut Aidilfitri menjadi sangat bermakna apabila seseorang itu masih mempunyai kedua ibu bapa.

Menyambut hari lebaran de­ngan amalan utama bermaaf-maafan dengan orang tua amat dituntut. Ibu bapa pun sudah tentu ternanti-nantikan anak cucu pulang beraya. Inilah waktu paling indah berkumpul bersama ibu bapa, adik beradik serta sanak saudara.

Kalau selama ini medium hubungan menerusi media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan Instagram cukup untuk merapatkan hubungan, balik kampung dan bertemu mereka secara bersemuka menambahkan lagi tautan kasih sesama saudara-mara.

Kalaupun kedua-dua ibu bapa sudah tiada, balik kampung masih lagi relevan kerana masing-masing masih ada adik beradik dan saudara mara lain. Pada waktu ini mereka bertemu, bertanya khabar, mengimbau kenangan indah dan menambahkan erat hubungan sila­turahim.

Jika semua itu sudah tidak ada, barangkali keluarga sebelah menantu pun boleh menjadi faktor pendorong untuk balik beraya di kampung mereka. Lagipun bukan selalu, setahun hanya sekali balik menyambut Aidilfitri.

Inilah waktu paling tepat untuk beramai-ramai berkumpul dalam suasana yang cukup bermakna dan penuh kegembiraan. Pada hari itulah segala silap kata dan perbuatan lebur menerusi amalan saling bermaafan.

Kebiasaannya pelbagai program disusun dalam waktu cuti yang singkat itu bagi memastikan hari raya ‘terisi dan bermakna.’ Seorang rakan penulis, Ruhaidah Mohamed Salleh yang tinggal di Subang Jaya dan pulang beraya ke kampung­nya di Batu Pahat, Johor bercerita bagaimana dia menyusun program beraya enam adik beradiknya menggunakan jadual yang sistematik setiap tahun.

Ini bagi memastikan mereka dapat beraya dengan semua saudara mara dan tidak ada yang ketinggalan. Jadual itu mesti dipatuhi oleh semua orang.

Setiap keluarga dibekalkan alat hubungan walkie talkie bagi memudahkan hubungan terus. Oleh ke­rana semua adik beradiknya beraya di rumah masing-masing di Subang Jaya, Petaling Jaya dan Shah Alam pada hari raya pertama, program balik kampung mereka bermula seawal pagi hari raya kedua.

Bagi memastikan semua rumah saudara mara dapat dikunjungi, mereka membuat temu janji menerusi telefon beberapa hari sebelum raya. Mereka tidak berkunjung secara ‘terjah’ dan setiap rumah ada tempoh masa bertandang. Sesi beraya Ruhaidah dan adik beradiknya selama tiga hari dua malam bermula di rumah adik beradiknya yang lain di Kajang, Alor Gajah, Muar, Tangkak dan Batu Pahat. Bagi memudahkan perancangan, mereka menginap di sebuah hotel yang sama di Batu Pahat.

Hari ketiga dimulakan dengan menziarah kubur kedua-dua orang tuanya serta rumah-rumah wajib kunjung iaitu saudara terdekat diikuti sepupu-sepupu dan saudara jauh terutama yang kurang bernasib baik, sakit atau telah lama terlantar sakit.

Hari terakhir adalah acara bebas yang biasanya diisi dengan sesi beraya dengan rakan-rakan sekolah rendah, sekolah menengah serta sekolah agama.

Menurut Ruhaidah, dia menyusun program raya sebegitu rupa kerana itulah waktu keemasan untuk mereka sekeluarga memanfaatkan dan mengisi ‘makna’ beraya yang sebenar-benarnya.

Program balik raya yang lebih tersusun akan membolehkan dia mengunjungi seberapa banyak rumah saudara mara dan kenalan. Bagaimanapun tahun ini dia menyerahkan tugas menyusun program balik kampung kepada salah seorang abangnya kerana dia beraya bersama anaknya yang sedang menuntut di Christchurch, New Zealand.

Amalan kunjung mengunjung ke rumah saudara mara, jiran tetangga dan rakan taulan akan terus hidup subur selagi ada tradisi balik kampung. Tradisi ini masih relevan walaupun zaman berubah. Amalan ini perlu dipertahankan menerusi pengisian yang bermakna sebagaimana yang dituntut oleh Islam.

Sempena sambutan Aidilfitri tahun ini, penulis mohon maaf kalau ada salah dan silap selama menulis di kolum Kopi Panas ini.

Selamat Hari Raya Aidilfitri.

-
Tags: aidilfitri
Subscribe

Posts from This Journal “aidilfitri” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments