mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah’ idulfitri 1 Syawal 1437H: “Idulfitri; Perayaan Ibadah”

Petikan Khutbah’ idulfitri 1 Syawal 1437H: JAIS

“Idulfitri; Perayaan Ibadah”

Hari ini adalah satu syawal, hari raya ‘idulfitri, hari untuk kita bergembira, diharamkan bagi kita berpuasa, disunatkan untuk kita jais.jpgmenyambutnya dengan laungan takbir yang nyaring dan mendirikan solat sunat ‘idulfitri.

Sebuah hadis daripada Ibn Abbas RAnhuma beliau menjelaskan; “Sesungguhnya Nabi SAW telah keluar pada hari raya ‘idulfitri, kemudian terus mengerjakan solat sunat hari raya, sebanyak dua rakaat . (Riwayat al-Bukhari).

‘Idulfitri adalah hari yang dianugerahkan oleh Allah SWT sebagai suatu penghargaan yang tinggi kepada seluruh umat Islam lantaran kerana ketaatan kita disepanjang bulan Ramadhan. Oleh itu, hari ini kita disuruh merayakannya sebagaimana Rasulullah SAW merayakannya, kita juga diharuskan menjamu juadah bersama-sama ahli keluarga dan umat Islam yang lain, supaya dapat sama-sama menyambut hari raya dengan penuh gembira dan ceria.

Kita memang disuruh supaya menyambut ‘idulfitri dengan penuh kegembiraan, memakai pakaian yang indah, menghias rumah dan membersihkannya, disunatkan mandi pada pagi hari raya, disunatkan juga menjamah makanan sebelum keluar untuk mengerjakan solat sunat ‘idulfitri, ketika balik kerumah pula disunatkan melalui jalan yang berbeza daripada laluan pergi ke masjid. Kita juga digalakkan untuk bermaaf-maafan antara suami isteri, anak-anak dengan ibu bapa, adik beradik sekeluarga dan jiran tetangga, bahkan disunatkan saling menghulurkan juadah dikalangan jiran tetangga.

Amalan yang sangat disunatkan ialah memperbanyakkan takbir dengan suara yang lantang bermula dari terbit anak bulan Syawal, hinggalah Imam memulakan solat sunat ‘idulfitri sebagai menyerlah dan meninggikan syiar Islam yang agung.

Firman Allah SWT. dalam surah al-Haj ayat 32;“Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (Dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan daripada sifat-sifat taqwa hati orang mukmin”.

Begitu juga Rasulullah SAW mengajarkan bahawa sebaik-baik ungkapan kata adalah كنمو انمُ االله لَقَبت ,sesungguhnya lafaz ini menjadi amalan para as-salafus soleh.

Semua itu menunjukkan tanda kesyukuran kita kepada Allah SWT yang selaras dengan perintah-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 185;  “…dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu mengagungkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur”.

Dalam kerancakan kita merayakan ‘Idulfitri, kita mesti ingat sesungguhnya ‘idulfitri adalah satu ibadah yang menjadi tanda kesyukuran kita kepada Allah, kerana Allah telah menyediakan ramadhan dengan pakej lengkap pelbagai ganjaran pahala yang lebih baik daripada umat-umat terdahulu. Maka tidak wajar sama sekali kita mencemarkannya dengan maksiat atau perbuatan yang dimurkai oleh Allah SWT, seperti pembaziran, pergaulan bebas, bersentuhan dan bersalaman di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, berpakaian tidak menutup aurat ataupun kurang sopan, dan leka menghabiskan masa dihadapan televisyen sahaja.

Ramadhan telah berlalu meninggalkan kita, apakah kita masih ada umur dan kesempatan untuk bertemu lagi Ramadhan yang akan datang? Namun yang penting apakah kesan, kebaikan dan keuntungan yang kita perolehi sepanjang tempoh kita bersama dengan ramadhan kali ini?. Kalau sepanjang ramadahan ini kita penuhi dengan ruku’ dan sujud kepada Allah, maka bertambahkah tunduk dan patuh kita kepada Allah selepas idilfitri ini?. Kalau sepanjang ramadhan kita sangat pemurah dengan zakat, sedekah dan derma yang kita hulurkan, maka bertambahkah murahnya sikap kita selepas 1 syawal ini?.

Kita sebagai umat Islam sepatutnya telah dapat meningkatkan kualiti diri dengan latihan ramadhan yang lalu, kerana kita telah berjaya mengawal perbelanjaan kita semasa menyediakan juadah berbuka puasa dengan cermat dan tidak membazir, maka apakah kesannya? Apakah akan bertambah baik pengurusan ekonomi, kewangan dan perbelanjaan kita selepas ini?. Kita juga telah berjaya memperbaiki sikap kita terhadap kitab Allah dengan bersungguh-sungguh untuk mengkhatamkan al-Quran & bertadarus disepanjang bulan al-Quran diturunkan. Maka selepas ini berapa ramaikah antara kita yang menangis kerana sedar dan insaf untuk meneruskan amalan tersebut setiap hari, seolah-olah kita berada di bulan Ramadhan?.

Di akhir khutbah ini, khatib merumuskan bahawa;

1. umat Islam hendaklah mengucapkan syukur kepada Allah dan meyakini-Nya bahawa Allah telah menjadikan Ramadhan untuk hambanya meningkatkan darjat iman dan ketakwaan.

2. Umat Islam hendaklah menyambut hari raya ‘idulfitri mengikut sunnah Rasulullah SAW kerana ‘idilfitri adalah perayaan ibadah yang diperintahkan oleh Allah SWT.

3. Umat Islam hendaklah menjauhi segala perbuatan maksiat dan mungkar sepanjang menyambut ‘idulfitri kerana dibimbangi akan menghapuskan semua pahala amalan disepanjang bulan Ramadhan.

4. Umat Islam hendaklah meneruskan amalan ibadah yang dilakukan sepanjang ramadhan hinggalah bertemu kepada ramadhan yang akan datang.

5. Umat Islamhendaklah menyedari bahawa Islam bukan setakat hanya berpuasa dan mengerjakan solat sahaja tetapi Islam juga mengatur segala bentuk kehidupan manusia didunia ini yang meliputi segala aspek perundangan, akhlak, pengurusan ekonomi, pentadbiran Negara dan sebagainya.

“Kemudian, Kami jadikan engkau (Wahai Muhammad) berada atas satu syariat (yang lengkap) daripada hukum-hakam agama. Maka, ikutilah syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar)”. (Surah al-Jathiyah ; 18)
Tags: aidilfitri, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “aidilfitri” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments