mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Manfaatkan 
rumah terbuka, Adab di rumah terbuka Syawal

Adab di rumah terbuka Syawal

RUMAH terbuka atau open house sudah sinonim dalam kalangan umat Islam hari ini terutamanya apabila tibanya Syawal. Syawal juga dirasakan seolah-olah tidak lengkap tanpa mengadakan rumah terbuka.

Dalam penganjuran rumah terbuka ini biasanya tuan rumah akan menerima kunjungan kaum keluarga, sanak saudara dan rakan-taulan di kediaman masing-masing bagi sama-sama meraikan Hari Raya Aidilfitri manakala ada segelintir umat Islam yang berkemampuan memilih mengadakannya di hotel-hotel mewah dan dewan-dewan besar. Tidak kurang juga ada yang sanggup berbelanja mewah dan berhabis-habisan semata-mata untuk mengadakan rumah terbuka dengan alasan bulan Syawal hanya sekali dalam setahun.


SPEAKER Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Othman Muhamad (empat dari kanan) melayan sebahagian daripada tetamu berbilang kaum di Ayer Molek, Melaka, kelmarin. - GAMBAR HIASAN/UTUSAN

Meskipun Syawal hanya setahun sekali namun sebagai tuan rumah perlulah bijak dalam menguruskan majlis agar tidak berlaku pembaziran. Berlebih-lebihan dalam sambutan atau menunjuk-nunjuk dalam penganjuran keraian sehingga akhirnya menjadi beban kepada diri sendiri dan keluarga adalah dilarang sama sekali oleh Islam.

Hakikatnya, Islam menganjurkan umatnya supaya bersederhana dalam segala hal terutamanya dalam mengadakan rumah terbuka. Amalan ini adalah selari dengan apa yang ditekankan oleh Islam menyuruh umatnya beristiqamah setelah berakhirnya Ramadan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka tetaplah (istiqamah) engkau wahai Muhammad di jalan yang benar seperti yang diperintahkan bersama orang yang bertaubat dan janganlah kamu melampaui batas.” ( Hud, 11: 112). Justeru meraikan rumah terbuka pada hari lebaran ini tidak semestinya secara besar-besaran namun apa yang penting niat kita untuk memuliakan bulan tersebut dengan penuh ke­syukuran.

Selain itu, dalam mengadakan majlis rumah terbuka umat Islam wajib menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang secara jelas dilarang oleh Allah SWT. Ada dalam kalangan umat Islam yang merosakkan ketaatannya selama sebulan sepanjang Ramadan hanya pada hari pertama Syawal. Mengadakan rumah terbuka dengan melayan tetamu sehingga meninggalkan solat, tidak menutup aurat, pergaulan bebas tanpa batas antara lelaki dan perem­puan yang bukan mahram, makan yang terlampau sehingga membahayakan kesihatan dan sebagainya.

Walaupun amalan rumah terbuka bukanlah satu syariat yang diwajibkan oleh Islam sempena Hari Raya Aidilfitri, namun jika dilakukan menurut garis panduan syarak amalan tersebut boleh menjadi satu ibadah. Konsep rumah terbuka ini sebenarnya menyediakan ruang luas kepada umat Islam untuk terus melakukan amalan yang dituntut oleh Islam. Antaranya, memberi peluang kepada umat Islam untuk ziarah-menziarahi, mengeratkan silaturahim, bermaaf-maafan, bertukar-tukar fikiran dan dapat melayan serta menjamu tetamu yang hadir.

Di samping itu, amalan kunjung-mengunjungi ini juga membolehkan persaudaraan yang selama ini renggang menjadi rapat, yang bersengketa menjadi damai, yang jauh menjadi dekat dan sebagainya. Lantaran itu, akan terbentuk satu ikatan kasih sayang yang mengeratkan sesama insan.

Sebagaimana Islam sangat menggalakkan agar sentiasa berusaha untuk memperbaiki dan mempertingkatkan hubungan silaturahim dan ukhuwah. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua-dua saudaramu; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.” (al Hujarat: 47: 10).

Dalam pada itu, Islam telah menggariskan beberapa adab ketika mengadakan rumah terbuka. Sebagai tetamu perlulah berniat baik atas kunjungannya, tidak memilih-milih tempat untuk berkunjung seperti rumah orang berharta, berpangkat dan berkedudukan tinggi dalam masyarakat manakala waktu berkunjung pula hendaklah memilih masa yang sesuai. Janganlah berkunjung pada waktu awal pagi, tengah hari dan larut malam kerana kebiasaan pada waktu tersebut pihak tuan rumah sedang berehat.

Begitu juga dengan adab bersalam–salaman dan berjabat tangan mestilah dilakukan mengikut lunas-lunas Islam. Jangan pula kita mengikut budaya Barat bersalaman tanpa mengira lelaki ataupun wanita. Majlis rumah terbuka juga perlu dijauhkan daripada menjadi medan pergaulan bebas antara te­tamu yang bukan mahramnya. Pergaulan bebas serta percampuran secara melampau antara lelaki dan perempuan boleh mengundang majlis yang asalnya untuk mendapat rahmat Allah SWT, bertukar menjadi majlis yang mengundang kemurkaan Allah SWT.

Selain itu, sebagai tetamu, seboleh-bolehnya kita menjaga adab terutama ketika mengambil juadah yang disediakan. Cuba elakkan makan dengan tamak dan gelojoh di rumah terbuka. Makanlah sekadarnya dan ingatlah masih ada ramai tetamu yang akan datang untuk menjamu selera. Menjaga adab bertamu pen­ting agar tidak tercemar dan dapat menjaga imej kita sebagai tetamu serta disenangi oleh tuan rumah.

Sementara itu, bagi tuan rumah, beberapa adab yang perlu dipelihara antaranya, mestilah berniat ikhlas menerima kunjungan dan bukannya menunjuk-nunjuk serta memilih tetamu yang berpangkat untuk diajak bersembang. Tuan rumah perlulah menghormati dan memuliakan semua tetamu. Ingatlah bahawa memuliakan dan me­layan tetamu dengan baik, adalah amalan para Nabi dan Rasul terdahulu.

Konsep rumah terbuka sepanjang bulan Syawal adalah satu amalan yang baik. Walaupun penganjurannya hanya dilihat sebagai satu budaya masyarakat di Malaysia, namun jika caranya betul dengan menepati adab-adab yang bertiangkan syariat Islam serta jauh daripada perkara-perkara tercemar yang boleh mengundang kemurkaan Allah SWT, ia boleh dianggap ibadah dan wajar diteruskan.


Manfaatkan 
rumah terbuka

MUSIM rumah terbuka datang lagi. Bermula pada hari raya pertama lagi, sudah ramai yang mengadakan rumah terbuka. Walaupun pada hari raya pintu rumah sentiasa terbuka, tetapi bezanya, rumah terbuka diiringi dengan jemputan. Maknanya, ada hidangan istimewa untuk tetamu yang datang.

Ada yang berebut-rebut hendak mengadakan rumah terbuka. Ada yang sudah jadi rutin, mesti adakan rumah terbuka setiap tahun. Yang tidak pernah buat rumah terbuka pun hendak buat rumah terbuka. Pendek kata, dalam kalangan keluarga ataupun rakan-rakan, ada yang sudah menempah tarikh dan masa awal-awal lagi untuk mengadakan rumah terbuka supaya tidak bertembung dengan yang lain.

Bagi negara kita yang mewah dengan makan minum, tidak ada halangan untuk mengadakan rumah terbuka. Yang hendak datang pun tidak ada masalah kerana masing-masing mempunyai kenderaan. Cuma yang menjadi masalahnya adalah jika seseorang itu berada di luar kawasan dan tidak sempat untuk menghadirinya.

Kita juga mensyukuri nikmati keamanan negara yang memudahkan kita bergerak ke mana-mana untuk memenuhi undangan dan tuntutan sesuatu majlis. Oleh itu, rumah terbuka yang diadakan selalunya mendapat sam­butan menggalakkan.

Bagi yang memahami konsep hari raya dan rumah terbuka, tetamu yang datang bukan hanya untuk mengisi perut semata-mata tetapi yang pentingnya adalah untuk bertemu, mengucapkan selamat hari raya dan bermaaf-maafan dengan sanak saudara dan rakan-rakan yang tidak sempat ditemui sebelumnya kerana rumah terbuka biasanya tempat semua berkumpul.

Rumah terbuka mendatangkan pelbagai kesan positif dalam kalangan anggota masyarakat dan ahli keluarga. Hubungan yang lebih akrab akan terjalin menerusi rumah terbuka. Maka tidak hairanlah, di kampung-kampung pun sudah diadakan rumah terbuka untuk merapatkan anggota masyarakatnya.

Di kawasan-kawasan bandar pula, ikatan kejiranan dan perpaduan kaum dapat dimantapkan lagi kerana proses kenal-mengenal akan lebih mudah berlaku dalam majlis-majlis seperti ini selain daripada aktiviti gotong-royong, hari keluarga dan sebagainya.

Penulis berpendapat, pengisian rumah terbuka ini sangat penting untuk mencapai matlamatnya. Rumah terbuka bukan hanya untuk bersuka ria di samping merasai juadah yang disediakan tetapi dari aspek lain, majlis mestilah memfokuskan kepada tujuan sambutan hari raya itu sendiri iaitu untuk bermaaf-maafan sesama kita.

Rumah terbuka bukan untuk menunjuk siapa lebih hebat dalam menyediakan makan minum beraneka jenis sampai tidak habis hendak dimakan, dan bukan juga untuk meraikannya dengan makan minum yang tidak halal, riuh-rendah seperti parti dengan majlis tari-menari dan sebagainya.

Kesucian Aidilfitri mesti dipelihara meskipun tetamu yang dijemput berbilang bangsa. Kita sangat bimbang rumah terbuka dicemari dengan acara-acara yang tidak diingini terutamanya sambutan yang diadakan oleh anak-anak muda di kawasan bandar.

Rumah terbuka juga mestilah disambut secara sederhana. Pembaziran selalu berlaku kerana pertembungan rumah terbuka yang diadakan oleh individu tertentu.

Di kawasan-kawasan padat penduduk, biasanya setiap hujung minggu, rumah terbuka diadakan dan ada yang terpaksa memenuhi lebih daripada lima undangan setiap hari. Penyediaan makan minum mestilah diambil kira supaya tidak berlaku pembaziran. Bagi yang sudah biasa mengadakan rumah terbuka, mereka sudah mempunyai pengalaman untuk mengetahui kuantiti makanan yang perlu disediakan supaya tidak berlaku pembaziran.

Di samping itu, golongan yang kurang bernasib baik tidak boleh diketepikan untuk diundang sama meng­hadirinya. Adalah lebih bermanfaat jika di sebalik kita meraikan hari yang mulia ini dengan pelbagai jenis makan minum, kita menoleh kepada mereka yang kurang berpeluang merasai nikmat yang sama kita kecapi. - M. Jasni Majed Utusan Malaysia Rencana 11 Julai 2016 6:03 PM

Tags: aidilfitri, syawal
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments