mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Jejaki sunnah Nabi bukan tapak kaki

MELIHAT rakaman video mereka yang bersungguh-sungguh mengusap dan mencium barang yang didakwa replika tapak kaki Rasulullah SAW membuatkan saya terfikir dan tertanya-tanya. Apakah yang mendorong mereka bertindak sedemikian?

Hanya satu jawapan yang terlintas. Semuanya atas rasa cinta. Cinta yang terpendam kepada seorang insan pilihan, kekasih ALLAH SWT, Nabi Muhammad SAW. Mudah-mudahan sangkaan ini benar.

Demi cinta


Buktikan benarnya kita mencinta Nabi SAW dengan mengamalkan Sunnah. AFP PHOTO/SAIF DAHLAH

Muslim mana yang tidak cintakan Baginda SAW? Mana mungkin seorang manusia yang mengaku seorang Muslim tetapi dalam masa yang sama benci Rasulullah SAW. Tidak sama sekali!

Cintakan Rasulullah SAW pula tidak akan ada nilainya melainkan ia dibuktikan dengan amalan. Cintakan Rasulullah SAW perlu diikuti dengan mengamalkan Sunnah. Inilah yang telah ditunjukkan oleh sahabat dan salafussoleh. Kecintaan mereka kepada Rasulullah SAW dibuktikan dengan menghidupkan Sunnah. Tidak masuk akal sekiranya ada yang mendakwa cintakan Rasulullah SAW, tetapi melakukan perkara bidaah, khurafat dan syirik yang dilarang oleh Rasulullah SAW.

Cintakan Rasulullah SAW sepatutnya mendorong kita berpegang dengan hadis-hadis yang sahih. Agak pelik jika mendakwa cintakan Rasulullah SAW, tapi dalam masa yang sama tidak ambil kisah dengan hadis-hadis palsu.

Rebut peninggalan Nabi

Rasulullah SAW kembali ke pangkuan cinta agungnya dengan meninggalkan wasiat yang sangat penting. Pesan Baginda SAW: "Aku tinggalkan buat kalian dua perkara. Selagi mana kalian berpegang teguh dengan kedua-duanya, kalian tidak akan sesat selama-lamanya: Kitabullah (al-Quran) dan Sunnahku." (Riwayat Malik, Al-Hakim, Baihaqi, Ibnu Nashr & Ibnu Hazm. Hadis sahih lighairihi)

Justeru, jika benar cintakan Rasulullah SAW, inilah dua peninggalan Rasulullah SAW yang perlu kita beri tumpuan. Berebutlah untuk membaca, belajar, memahami, amal, hayati, sebarkan dan pelihara ia sungguh-sungguh.

Rasul terdahulu ALLAH kurniakan kepada mereka mukjizat tertentu yang sesuai dengan keperluan pada masa tersebut dan ia tidak kekal wujud sampai ke hari ini. Namun, mukjizat terbesar yang dikurniakan kepada Rasulullah SAW terus kekal wujud dan terpelihara hingga ke hari ini. Itulah al-Quran. Mukjizat agung yang boleh kita sentuh, tatap, baca dan rasai kehebatan isi kandungannya.

Kehebatan mukjizat al-Quran tersebut ditambah pula dengan kesempurnaan Sunnah Baginda SAW yang menjadi penghurai dan pelengkap kepada al-Quran. Sesiapa sahaja yang membaca al-Quran pasti akan mendapat keberkatannya. Apatah lagi jika mengamalkannya. Sesiapa yang mempelajari Sunnah yang sahih dan mempraktikkannya pasti akan mendapat keberkatan.

Keberkatan yang dilimpahkan ke atas mereka yang membaca, mempelajari dan mengamalkan al-Quran dan sunnah adalah perkara yang jelas dan pasti. Jika inginkan keberkatan, raihlah ia melalui al-Quran dan sunnah. Berebut-rebutlah untuk memahami al-Quran dan sunnah Nabi SAW.

Terkesan dengan replika?

Agak pelik dan hairan apabila keberkatan melalui al-Quran dan sunnah seakan dianggap sebagai perkara biasa, seolah-olah tidak menarik dan seperti dipandang sebelah mata. Tetapi, apabila dibawakan barang-barang lain yang didakwa peninggalan Rasulullah SAW, sambutan yang ditunjukkan begitu luar biasa.

Replika tapak kaki Nabi SAW misalnya. Walaupun secara terang dinyatakan ia hanyalah replika, tetapi tetap diraikan penuh penghormatan. Lebih parah apabila dianjurkan upacara khas dengan tujuan mengambil berkat dari replika yang direka tersebut. Dibalut, ditatang, diarak dan dicium. Dicium dengan penuh penghayatan dan berasa sebak hingga menitiskan air mata. Sedangkan ia hanyalah replika dan tidak dapat dipastikan pun itulah bentuk tapak kaki Nabi SAW yang sebenar.

Ketika tindakan tersebut dilakukan, sudah pasti ia tidak dilakukan hanya sekadar suka-suka tanpa ada tujuan. Sudah pasti ia dilakukan dengan mempunyai kepercayaan tertentu. Paling asas ialah untuk mengambil keberkatan.

Berkat hanya daripada allah

Apabila menyentuh soal keberkatan, kita perlu bertanya, keberkatan daripada siapa yang kita mahukan? Siapa yang berhak dan berkuasa mutlak untuk memberikan keberkatan? Jawapannya hanya satu, ALLAH sahaja yang boleh mengurniakan keberkatan berdasarkan kehendak dan pilihan-Nya.

Oleh itu, sebarang amalan, perkataan, tempat, suasana dan apa sahaja yang ingin dikaitkan dengan nilai keberkatan, ia mestilah bersandar kepada nas dan dalil yang sahih. Apa-apa amalan yang didakwa ada keberkatan tetapi tidak berpaksikan kepada dalil yang sahih, maka ia tidak ada jaminan. Hanya ALLAH yang berhak memberi jaminan adanya keberkatan kerana hanya ALLAH yang mampu memberikan keberkatan. Hanya Rasulullah SAW yang boleh menjanjikan keberkatan daripada ALLAH kerana hanya Baginda SAW yang menerima wahyu.

Ustaz, Tok Syeikh, habib-habib, Tok Guru pondok dan sesiapa sahaja 'orang agama' tidak mampu memberikan keberkatan dan menjanjikan keberkatan melainkan apa yang telah dijanjikan oleh ALLAH dan rasul-Nya.

Eksploitasi agama

Orang-orang yang memakai gelaran agama perlu bertanggungjawab dalam membentangkan agama kepada masyarakat. Bawalah masyarakat kepada memahami al-Quran dan Hadis Baginda SAW dengan cara yang betul. Perasaan cinta masyarakat awam terhadap Rasulullah SAW perlu diposisikan dengan betul iaitu melalui pengajian ilmu untuk mendapatkan kefahaman yang sahih terhadap al-Quran dan sunnah.

Janganlah seolah-olah dilihat kecintaan masyarakat terhadap Rasulullah SAW 'dipermain-mainkan' oleh golongan agama dengan menyuruh mereka melakukan sesuatu yang tidak pasti jaminannya daripada ALLAH dan rasul-Nya. Lebih malang jika orang agama mengeksploitasi unsur-unsur agama demi kepentingan diri sendiri. Secara tidak langsung membawa pengikut untuk membesarkan dirinya bukan membesarkan al-Quran dan Hadis-Hadis Rasulullah SAW.

Justeru, jika benar cintakan Nabi SAW, bacalah al-Quran, fahami dan amalkannya.

Jika benar cintakan Nabi SAW, bacalah hadis-hadis yang sahih, fahami dan amalkan sunnah-sunnahnya.

Jika benar cintakan Nabi SAW, ucapkan selawat yang sahih kepada Baginda SAW tanpa perlu pun untuk menunggu upacara-upacara tertentu yang menelan belanja beribu ringgit untuk dibayar kepada tukang selawat.

Jika benar cintakan Nabi SAW, lazimi majlis-majlis ilmu yang berkualiti. Pengajian agama yang menyajikan hujah, dalil dan nas yang sahih serta mampu membentuk kematangan berfikir dan menggerakkan individu Muslim menjadi umat yang berkualiti.

Jika benar cintakan Nabi SAW, tinggalkan unsur-unsur bidaah, khurafat dan unsur syirik.

Jika benar cintakan Nabi SAW, berusahalah untuk ikuti cara bagaimana sahabat cintakan Baginda SAW.

Jika benar cintakan Nabi SAW, bersihkan Islam dari hadis-hadis palsu.

Jika benar cintakan Nabi SAW, berjuang dan pertahankan sunnah Baginda SAW.

Ayuh! Jejakilah Sunnah Nabi SAW, bukan replika tapak kaki!

Tags: nabi, rasulullah, sunnah
Subscribe

Posts from This Journal “sunnah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments