mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Erti kalimah Syahadah & tuntutannya

SEGALA puji bagi ALLAH SWT yang tidak menjadikan sesiapa sebagai anak-Nya dan juga tidak mempunyai sekutu dalam penciptaan-Nya.

Sesungguhnya rukun Islam yang pertama ialah dua kalimah syahadah bersaksi bahawa tiada tuhan yang disembah kecuali ALLAH dan bahawasanya Muhammad adalah utusan-Nya.

Rukun ini menjadi asas bagi rukun Islam yang lain dan menjadi dasar bagi segala hukum agama. Sekiranya asas ini kuat akan tertegaklah segala amalan yang lain, diterima ALLAH dan bermanfaat bagi orangnya.

Adapun sekiranya ia rosak atau cacat akan rosaklah segala amalan yang lain, menjadi punah dan menjadi seperti fatamorgana yang disangka air oleh orang yang haus tetapi realitinya tiada apa-apa dan tidak memberi apa jua manfaat kepada orangnya.

Malah ia menjadi seperti pasir yang mudah ditiup angin dan tidak meninggalkan apa-apa buat orangnya dan akhirnya penat lelah sahaja yang diperoleh manakala di akhirat pula orangnya menanggung kerugian yang tiada kesudahannya.

Penting untuk kita faham kedua-dua kalimah syahadah ini mempunyai makan dan tuntutannya. Orang yang melafazkannya perlu memahaminya sebelum beramal dengan kandungan lafaznya. Jika tidak, sekadar mengucapkan dua lafaz syahadah ini tidak memberi apa-apa manfaat.

Tuntutan kalimah syahadah

Kalimah syahadah Lailahaillallah adalah perakuan tiada yang berhak disembah kecuali ALLAH dan segala sembahan yang disembah selain daripada ALLAH adalah batil. ALLAH menjelaskan dalam firman-Nya: "Ini kerana sesungguhnya ALLAH, Dialah sahaja Tuhan yang sebenar-benarnya, dan bahawa segala yang disembah selain daripada ALLAH itulah yang nyata palsunya, dan sesungguhnya ALLAH jualah Yang Maha Tinggi Keadaannya, lagi Maha Besar." (Surah Al-Hajj: 62)

Daripada segi tuntutannya pula, kalimah Lailahaillallah menuntut supaya kita mengesakan ALLAH dalam ibadah yang kita lakukan dengan tidak menyembah apa juga selain daripada-Nya. Seseorang yang melafazkan kalimah ini bererti dia telah membebaskan dirinya daripada segala sembahan selain ALLAH. Dia juga melaksanakan apa yang disuruh dan menjauhi apa yang dilarang.

Atas sebab inilah ketika Nabi SAW menyeru orang kafir Makkah mengucapkan kalimah syahadah ini mereka memahami kalimah ini menuntut supaya mereka mengesakan ALLAH dalam segala bentuk sembahan yang dilakukan dan meninggalkan sembahan berhala mereka.

Atas kefahaman ini mereka enggan mengucapkannya, malah mengingkarinya. ALLAH menukilkan perkataan mereka dalam al-Quran, firman-Nya: "Patutkah dia (Muhammad) menafikan tuhan-tuhan yang berbilang itu dengan mengatakan: Tuhan itu hanya satu?

Sesungguhnya ini ialah satu perkara yang pelik!." Dan keluarlah ketua-ketua daripada kalangan mereka (memberi kata-kata perangsang dengan berkata): "Jalan terus (menurut cara penyembahan datuk nenek kamu) dan tetap tekunlah menyembah tuhan-tuhan kamu.

Sesungguhnya sikap ini ialah satu perkara yang amat dikehendaki. Kami tidak pernah mendengar tentang (soal mengesakan Tuhan) ini dalam agama mutakhir ini; perkara ini tidak lain hanyalah rekaan dan dusta semata-mata." (Surah Saad: 5-7)

Inilah yang diertikan dengan lafaz Lailahaillallah iaitu mengesakan ALLAH dalam segala bentuk sembahan dan meninggalkan segala sembahan yang lain.

Pemuja kuburan kini

Golongan Arab dahulu memahami erti kalimah syahadah kerana mereka fasih makna Bahasa Arab yang dituturkan. Berbeza dengan pemuja kubur pada hari ini. Mereka tidak faham makna Lailahaillallah yang mereka lafazkan kerana itu mereka tidak melaksanakan tuntutannya. Tidak hairanlah mengapa mereka mudah mengucapkan kalimah Lailahaillallah tetapi dalam masa yang sama mereka menyembah orang mati di kubur.

Dari sudut ini, orang musyrikin Makkah lebih faham makna Lailahaillallah berbanding golongan pemuja kubur pada hari ini. Tinggal lagi mereka tidak melafazkan kalimah syahadah itu.

Adapun golongan pemuja kubur pada hari ini, mereka mungkin mengucapkan kalimah syahadah Lailahaillallah tetapi dalam masa yang sama mereka seru dan memohon pertolongan selain daripada ALLAH dengan perkataan mereka: “Wahai Ali! Wahai Hussain! Wahai Abdul Qadir! Madad-madad (bantuan-bantuan)!”

Mereka menyeru nama-nama orang yang sudah mati memohon pertolongan dan bantuan mereka dalam menunaikan hajat mereka atau membebaskan mereka daripada kesulitan. Mereka tawaf di keliling kubur mereka dan melakukan sembelihan.

Tinggal lagi, apa faedah mereka mengucapkan kalimah syahadah Lailahaillallah itu?

Apa faedahnya sekiranya mereka dikira kaum yang tidak berakal yang tidak mengerti di mana akhirnya sebagaimana firman ALLAH: "Mereka telah melupakan ALLAH maka ALLAH turut melupakan (tidak menghiraukan) mereka." (Surah At-Taubah: 67)

Ternyata mereka termasuk dalam kalangan kaum yang ALLAH sebut dalam firman-Nya: “Perbuatan buruk mereka itu telah dihias dan dijadikan indah (oleh syaitan) untuk dipandang baik oleh mereka, dan ALLAH tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang yang kafir.” (Surah At-Taubah: 37)

Tunaikan solat & kewajipan agama yang lain

Termasuk dalam tuntutan kalimah syahadah Lailahaillallah ialah menunaikan solat kerana ia adalah rukun kedua selepas mengucapkan dua kalimah syahadah.

Demikian juga mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan, menunaikan haji di Makkah jika berkemampuan, melaksanakan kewajipan agama, dan meninggalkan larangannya.

Ternyata sahabat Nabi SAW di bawah pimpinan Abu Bakar As-Siddiq RA telah memerangi golongan yang enggan menunaikan zakat walaupun golongan tersebut dalam masa yang sama tetap mengucapkan kalimah syahadah. Hujah mereka ialah kewajipan mengeluarkan zakat termasuk dalam tuntutan kalimah syahadah Lailahaillallah. Ia tidak boleh dipisahkan.

Dikatakan kepada Imam Al-Hasan Al-Basri (wafat 110H): “Sebahagian orang mengatakan barang siapa mengucapkan Lailahaillallah maka dia akan masuk syurga.” Kata beliau: “Barang siapa mengucapkan kalimah tersebut kemudian dia melaksanakan hak dan kewajipannya maka dialah yang akan masuk syurga.”

Turut dikatakan kepada Wahab bin Munabbih (wafat 114H): Bukankah kalimah Lailahaillallah adalah kunci syurga? Kata beliau: “Benar. Tetapi bukankah kunci itu memiliki giginya? Jika engkau datang membawa kunci yang bergigi akan terbukalah pintu buat engkau. Adapun sekiranya engkau membawa kunci yang tidak bergigi ia tidak akan dapat membuka pintu itu.” 

Perbuatan syirik & maksiat

Sebagaimana syirik besar menyekutukan ALLAH bertentangan dengan kalimah Lailahaillallah, demikian juga segala perbuatan maksiat selain daripada syirik. Ia akan mencacatkan kalimah ini dan mengurangi pahalanya bergantung pada dosa yang dilakukan oleh si hamba itu.

Akhirnya, apa yang dituntut atas seorang Muslim itu adalah supaya mengucapkan kalimah Lailahaillallah dengan memahami maknanya dan beramal dengan tuntutannya secara zahir dan batin. Setelah itu hendaklah dia istiqamah di atas jalan ALLAH.

Tags: kalimah, maksiat, salawat, syahadah, syirik
Subscribe

Posts from This Journal “syahadah” Tag

  • Tujuh syarat syahadah

    MENURUT akidah Ahli Sunnah wa al-Jamaah (ASWJ), mengucap dua kalimah syahadah adalah syarat sah untuk menjadi seorang Muslim. Amalan seseorang…

  • Pengertian ucap dua kalimah syahadah

    Mengucap dua kalimah syahadah sebenarnya memberi pengertian yang luas kerana ikrar tanda keimanan itu adalah pengakuan kita mempercayai serta…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments