mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Syawal bukan bulan membazir, Syawal penanda aras tarbiah Ramadan

Syawal penanda aras tarbiah Ramadan

RAMADAN sudah berlalu meninggalkan kita 10 hari lalu. Sambutan Aidilfitri terus meriah di sana-sini. Bergembira dalam Syawal tidak ditegah. Malah Rasulullah SAW sendiri membenarkan umat Islam bergembira menyambut Aidilfitri asalkan dilaksana dan dizahirkan dalam bentuk yang diterima Islam.

Alhamdulillah, demikian nikmat hidup di Malaysia. Suasana aman dan damai membolehkan kita menyambut hari raya dengan penuh gembira dan ceria di samping keluarga tercinta.

Sayangnya, dalam kegembiraan Aidilfitri, masjid dan surau kembali sepi. Jika dalam Ramadan, setiap waktu solat masjid dan surau dipenuhi jemaah. Waktu subuh yang dulunya mencecah lima ke enam saf kini, yang tinggal berjemaah boleh dibilang dengan jari.


Syawal juga dikaitkan dengan perbuatan pembaziran kerana persiapan meraikan Aidilfitri secara berlebihan. - Gambar hiasan

Sebenarnya, inilah penanda aras orang Mukmin sama ada tarbiah madrasah Ramadan yang ditempuh selama 30 hari itu berjaya mendidik seseorang bertakwa atau tidak? Inilah yang ditegaskan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)”? (al-Ankabuut: 2)

Semasa Ramadan, syaitan dirantai dan dibelenggu, yang ada hanya nafsu. Kini selepas hari raya fitrah, syaitan kembali bergabung dengan sekutu lamanya iaitu nafsu untuk melihat sejauh mana kentalnya pertahanan yang ada dalam diri orang Islam.

Barangkali yang ‘hebat’ dalam Syawal adalah bilangan yang solat sunat Aidilfitri. Dapat dilihat di mana-mana pun, waima di kampung atau di ibu kota, bilangan yang hadir berjemaah pada Rabu, 6 Julai melimpah ruah. Namun, pada solat Jumaat dua hari kemudiannya, bilangan jemaah tidak sepadat dan sesendat solat hari raya.

Kejayaan puasa kita sebenarnya diukur selepas kita melewati bulan Ramadan. Ada orang sepanjang Ramadan pergi ke masjid dan surau, tetapi selesai Ramadan, perkara itu tidak lagi dilakukan maka itu namanya ‘hamba Ramadan’ bukannya hamba Allah.

Ulama tersohor, Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi berkata, jadilah kamu hamba-hamba Allah dan jangan kamu menjadi hamba Ramadan. Kun rabbaniyyan wala takun ramadhaniyyan maksudnya berbuat baik bukan hanya bermusim.

Jika sepanjang Ramadan kita bersungguh-sungguh menghidupkan malamnya dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiam (solat tarawih), ia sepatutnya diteruskan pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajud. Demikian juga dengan solat sunat-sunat yang lain dan juga budaya membaca al-Quran. Jangan dibiar al-Quran suci dalam debu.

Selain itu, antara amalan lain disarankan selepas Ra­madan adalah mengerjakan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa selama setahun. (Riwayat Muslim)

Mereka yang berjaya diubah oleh tarbiah Ramadan adalah insan yang amat beruntung kerana terlepas daripada kehinaan sebagaimana dinyatakan oleh Baginda SAW. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Amat jauh daripada rahmat Allah SWT bagi sesiapa yang sempat bertemu bulan Ramadan, tetapi tidak menggunakan peluang dengan sebaiknya, maka Allah tidak mengampunkannya.” (Riwayat Hakim).

Dalam kesempatan Aidilfitri, amalkan ziarah menziarahi dan merapatkan hubungan baik (ukhuwah) sesama Muslim. Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang suka untuk diperluaskan baginya rezekinya dan ditangguhkan (dipanjang) umurnya, maka hendaklah dia menyambung (mengukuh) hubungan persaudaraannya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) Mohd Radzi Mohd Zin Utusan Malaysia Rencana 15 Julai 2016 6:15 PM



Syawal bukan bulan membazir

Kedatangan Syawal sewajarnya dilihat sebagai bulan peningkatan amalan kepada yang benar-benar menghayati keistimewaan di sebalik bulan kemenangan ini.

Diharapkan madrasah Ramadan mampu meraih darjat ketakwaan dan Syawal meningkatkan kualiti kehidupan.

Ibadah puasa secara tidak langsung mampu mendidik akhlak untuk melakukan ibadah sebaik mungkin, menyemarakkan rumah Allah SWT dan mengutamakan ibadah secara berjemaah.

Malah ketika Ramadan, umat Islam banyak bersedekah, meraikan golongan tidak berkemampuan. Semua itu menjadikan Syawal bulan yang sangat indah.

Malangnya, setiap tahun kita berdepan masalah berkaitan kesesakan jalan raya, kehilangan harta benda yang secara tidak langsung turut menyumbang kepada peningkatan jumlah jenayah.

Apa yang menyedihkan, berlaku peningkatan kecelakaan akibat kemalangan jalan raya serta meningkatnya jumlah kemalangan yang meragut nyawa.

Selain itu, Syawal juga dikaitkan dengan perbuatan pembaziran kerana persiapan meraikan Aidilfitri secara berlebihan.


Ajal dan maut adalah kepastian yang sudah ditakdirkan oleh Allah SWT tetapi apabila berlaku kejadian tidak diingini menjelangnya Syawal, ia secara tidak langsung mengaitkan bulan ini dengan bulan mengundang kesedihan akibat kelalaian sendiri.

Masjid kembali sepi

Meraikan Aidilfitri itu seharusnya disambut dengan penuh kegembiraan dan kebahagiaan. Sesungguhnya tidak ada satu pun kejadian dijadikan Allah SWT dengan sia-sia, melainkan ada hikmah di sebalik semua itu.

Sebagai orang beriman, kita seharusnya mengambil iktibar atas segala yang berlaku.

Ketika Ramadan masjid meriah dengan jemaah tetapi fenomena itu kembali sepi pada penghujung Ramadan kerana kesibukan melakukan persiapan sempena kedatangan Aidilfitri.

Pusat beli-belah dan bazar padat dikunjungi orang ramai yang ada kalanya berbelanja lebih berbanding bulan lain.

Elak pembaziran

Umat Islam yang berbelanja lebih dan melakukan pembaziran walaupun pada masa yang sama sedang menjalani ibadah puasa, akhirnya hanya akan berada dalam kerugian sama ada dari aspek ekonomi mahupun ganjaran pahala di sisi Allah SWT.

Sememangnya ibadah puasa bukan untuk meningkatkan aspek ekonomi atau kekayaan tetapi ia akan dapat meningkatkan tahap keimanan kepada setiap individu yang bertakwa kepada Allah SWT.

Syawal pula sepatutnya menjadikan kita terus istiqamah beribadah seperti sepanjang Ramadan.

Sebaliknya, sebaik berakhir Ramadan, Syawal yang menyusul memperlihatkan masjid tidak semeriah semasa bulan puasa.

Rasa syukur, sabar, ikhlas dan istiqamah tidak seakan merosot apabila sikap semua kembali kepada asal.

Kesimpulannya, boleh dikatakan ibadah puasa yang kita lakukan pada Ramadan lalu hanyalah sia-sia dan kita tidak mendapat apa-apa pengajaran di sebalik madrasah Ramadan itu.

Pastinya kita tidak mahu kesungguhan beribadah selama ini menjadi sia-sia.

Jangan sesekali Syawal ini hanya istimewa di sebalik gelarannya sebagai bulan kemenangan kepada umat Islam yang berusaha menjalani ibadah puasa pada bulan sebelumnya.

Manfaat bulan mulia

Diharapkan semoga kita tidak tergolong dalam kalangan yang kerugian dan tidak beroleh apa-apa manfaat di dalam bulan mulia ini.

Sebaliknya sebagai umat Islam, kita mampu untuk meraih keuntungan dari sudut ekonomi dan dapat meningkatkan tahap keimanan kita kepada Allah SWT jika segala niat untuk melakukan kebaikan serta mempertingkatkan diri dilakukan secara istiqamah, bukan bermusim.
Tags: bazir, ramadhan, syawal, tarbiah
Subscribe

Posts from This Journal “bazir” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments