mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kekalkan tradisi baraan , Kekalkan tradisi marhaban

Kekalkan tradisi marhaban

KEMERIAHAN menyambut Aidilfitri masih terasa dengan amalan ziarah menziarahi, sambutan rumah terbuka, memasang pelita dan juga budaya marhaban.

Sudah memang menjadi lumrah bagi penduduk kampung ataupun taman perumahan menggerakkan budaya marhaban ketika bulan Syawal.

Marhaban adalah suatu tradisi umat Islam menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri melalui kunjungan secara rombongan dari rumah ke rumah dengan mengiramakan puji-pujian kebesaran Allah SWT dan baginda Rasulullah SAW di samping membacakan doa serta memohon keberkatan ke atas seisi rumah tersebut.

Namun, jarang sekali kita dapat memahami maksud tersiratnya. Jika dibuka kamus, perkataan marhaban ini diambil daripada perkataan bahasa Arab yang bermaksud ‘selamat datang’.

Budaya marhaban ini sedikit sebanyak mengukuhkan silaturahim sesama penduduk dan menjadi simbol kekuatan ummah serta tanda kesatuan masyarakat.

Jika tidak ada budaya marhaban ini, sukar bagi jiran tetangga berziarah sesama sendiri di­sebabkan kesibukan kerja atau menguruskan hal keluarga masing-masing. Kadangkala mereka hanya sekadar bertegur sapa ketika berselisih di waktu keluar atau pulang dari tempat kerja.

Melalui budaya marhaban ini, kita dapat memperbaiki kesilapan masing-masing dengan memohon kemaafan kepada tuan rumah dan ahli keluarganya.

Agama Islam menyeru umatnya agar sentiasa berusaha untuk memperbaiki dan mempertingkatkan ikatan silaturahim sesama insan, apatah lagi sesama Islam.

Oleh itu, marhaban ini tidak boleh dilupakan dan perlu dijadikan satu budaya yang berkekalan di dalam jiwa anak-anak muda supaya tidak luput dek arus pemodenan. Noor Izzaty Azra Jafridin Muar, Johor Utusan Malaysia Rencana 19 Julai 2016 6:07 PM


Kekalkan tradisi baraan


BUDAYA kunjung-mengunjung dari rumah ke rumah sambil melakukan marhaban dan bermaaf-maafan atau dikenali dengan baraan begitu sinonim khususnya dalam kalangan umat Islam negeri Johor setiap kali menyambut Aidilfitri. Namun apabila melihat dan merasai sendiri kemeriahan tradisi ini di taman perumahan saya, tertarik untuk sama-sama berkongsi.

Tradisi baraan ini telah sekian lama diamalkan oleh masyarakat Islam berketurunan Melayu Jawa. Meskipun generasi silih berganti, syukur amalan ini masih dapat dikekalkan.

Bagi penduduk kampung di Johor tradisi ini biasanya dilaksanakan pada pagi hari raya pertama manakala bagi kawasan taman perumahan pula akan bermula pada malam hari raya kedua atau ketiga, mengikut persetujuan di kawasan masing-masing. Bagi meneruskan tradisi tersebut, penduduk Islam di Taman Manis, Kulai, Johor tidak ketinggalan menghidupkan suasana Aidilfitri dengan mengadakan tradisi baraan.

Memandangkan sebahagian besar penduduk di sini ramai yang bekerja dan jarang berjumpa, Aidilfitri adalah platform terbaik kepada mereka untuk berkumpul dan berkunjung ke rumah jiran tetangga.

Ringkasnya, baraan atau mengunjungi dari rumah ke rumah sempena Aidilfitri dapat menjalin hubungan akrab sesama penduduk di kariah berkenaan. Saya berpendapat aktiviti ini sangat bermanfaat dan boleh dilaksanakan oleh masyarakat Islam di kawasan masing-masing. Nur Aqela Sofea Binti Khalid Kulai Utusan Malaysia Rencana 18 Julai 2016 6:22 PM

Tags: ziarah
Subscribe

Posts from This Journal “ziarah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments