mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Hilangkan rasa rendah diri , Hadis Rasulullah versi Braille

Hadis Rasulullah versi Braille

SEBELUM munculnya teknologi Braille, al-Quran dan hadis Rasulullah SAW dihafal dan diingati dengan cara berguru. Kaedah itu turut diguna pakai oleh kalangan orang cacat penglihatan.

Baginda Nabi Muhammad SAW sendiri menghafal dan menghayati setiap surah al-Quran yang diturunkan oleh Allah SWT melalui malaikat Jibril a.s. bukan hanya dengan mendengar Jibril membacanya.

Lengkapkan sumber rujukan Islam OKU
KEMUDAHAN... golongan cacat penglihatan tidak lagi terpinggir dalam mendalami ilmu agama. - GAMBAR HIASAN (REUTERS).

Tetapi baginda juga menguji bacaan dan hafalan di hadapan malaikat Jibril sehingga mantap. Rasulullah SAW menggunakan kaedah yang sama ketika menyampaikan ayat-ayat suci itu kepada para sahabat, termasuklah dalam kalangan yang buta. Kaedah sama turut digunakan untuk hadis Rasulullah SAW.

Namun begitu, penciptaan sistem Braille pada hari ini telah mengubah tradisi tersebut. Orang buta tidak perlu lagi mendengar bacaan ayat al-Quran dan hadis daripada orang normal bagi tujuan hafalan atau penghayatan.

AHMAD YUNUS MOHD. NOOR menunjukkan hadis Rasulullah SAW versi Braille untuk bacaan dan hafalan golongan OKU cacat penglihatan di negara ini.

Lebih menarik, sistem menggunakan kod titik timbul yang boleh dibaca secara sentuhan itu kini tidak hanya terhad kepada al-Quran sahaja tetapi ia turut membolehkan hadis Rasulullah dicetak dalam versi berkenaan.

Usaha menghasilkan hadis Braille adalah hasil kerjasama antara Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Kementerian Pendidikan dan Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis).

Menurut ketua projek berkenaan, Dr. Ahmad Yunus Mohd. Noor, idea mewujudkan hadis berkenaan bermula kira-kira dua tahun lalu setelah mendapati tiada pihak tampil membuat kajian mendalam berhubung perkara itu di negara ini.

Rentetan itu, beliau mengadakan perbincangan dengan Pertis tentang idea tersebut dan mereka menyambut baik cadangan itu serta sedia memberi kerjasama sepenuhnya.

“Buat masa ini, Pertis ada mencetak al-Quran Braille dan pada saya, jika ada hadis Braille bermakna usaha menerapkan nilai-nilai Islam dalam kalangan mereka akan menjadi lebih mantap lagi.

“Untuk permulaan, saya tumpukan kepada hadis yang mudah dibaca, difahami dan diingati,” kata pensyarah kanan di Jabatan Teologi dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, UKM, Bangi, Selangor itu.

Boleh belajar agama bersama orang normal
MESIN CETAK KHAS... antara tenaga Pertis yang menunjukkan cetakan Braille dilakukan di pejabat Pertis di Brickfields, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadis Braille tersebut berteraskan Hadis 40 Imam Nawawi tetapi beliau tidak menolak kemungkinan untuk mengambil hadis daripada perawi atau sanad lain pada masa depan.

“Kitab setebal 170 muka surat itu lengkap dengan bahasa Arab dan terjemahan serta huraian hadis tersebut dalam bahasa Melayu. Ia menggunakan kod Braille yang biasa digunakan di Malaysia dan bukannya kod Braille Wasilah (yang digunakan di luar negara),” katanya.

Ahmad Yunus menambah, kitab hadis Braille tersebut mengambil masa selama sembilan bulan untuk disiapkan iaitu bermula pada bulan Mei tahun lalu.

Ini kerana, proses tersebut bukan hanya membabitkan penukaran bahan bercetak kepada kod Braille tetapi pihak beliau perlu memastikan aspek ejaan, maksud, perawi, sanad hadis, matan hadis dan terjemahannya tidak lari daripada yang asal.

“Paling singkat, saya ambil masa seminggu untuk siapkan proses itu tetapi kalau hadis yang panjang, ia ambil masa lebih dua minggu,” katanya.

Fakta tentang hadis Braille:


  • Guna kod Braille yang biasa digunakan di Malaysia.

  • Ia adalah Hadis 40 Imam Nawawi.

  • Ada lebih 170 muka surat.

  • UKM menjadi universiti pertama menghasilkan hadis Braille.

  • Mengambil masa sembilan bulan disiapkan (Mei 2015 hingga Februari 2016).

  • Mengambil masa satu hingga dua minggu untuk siapkan satu hadis dalam versi Braille.


Hilangkan rasa rendah diri

TEKNOLOGI TERKINI... Pertis turut memanfaatkan kemajuan teknologi dalam gerakan dakwah mereka.
HASIL kemajuan sains dan teknologi membolehkan bahan penerbitan agama Islam dalam versi Braille untuk golongan orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan bukan lagi sesuatu yang sukar ditemui.
Bahan bacaan itu bukan hanya meliputi kitab al-Quran, tafsirannya (versi al-Rahman) dan buku Iqra, tetapi juga buku-buku berkenaan haji, umrah, solat, puasa, zakat, yasin dan lain-lain.

Di Malaysia sendiri, bahan penerbitan untuk golongan OKU itu dilakukan oleh Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis).

“Pertis menjadi satu-satunya NGO yang dibenarkan untuk menerbitkan al-Quran Braille oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Selain itu, kami juga sentiasa menjalankan proses pembangunan al-Quran Braille bersama Jakim dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi memastikannya sentiasa mematuhi piawaian syariah.

“Cuma yang belum ada lagi setakat ini adalah hadis Rasulullah SAW dalam versi Braille,” kata Naib Yang Dipertua Pertis, Zamzuri Ghani ketika ditemui di pejabat Pertis di Brickfields, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

ZAMZURI GHANI (kanan) turut terlibat dalam proses semakan bahan agama versi Braille agar ia tidak bercanggah dengan garis panduan Jakim.

Justeru, usaha Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk menghasilkan hadis dalam versi Braille disambut baik oleh Pertis.

Ini kerana, kata Zamzuri, usaha murni tersebut dapat menambahkan koleksi kitab atau buku rujukan agama untuk golongan OKU cacat penglihatan.

“Al-Quran Braille sudah ada dan dengan adanya hadis Rasulullah SAW dalam versi Braille itu, maka ia akan melengkapi sumber rujukan utama Islam yang kami ada,” katanya.

Lebih penting, Zamzuri berkata, usaha tersebut akan menghilangkan rasa rendah diri dalam kalangan OKU cacat penglihatan, khususnya apabila bersama orang normal dalam majlis ilmu di surau atau masjid.

Kalau majlis ilmu itu ada kelas bacaan al-Quran bersama orang normal, golongan OKU itu tidak menjadi masalah kerana mereka mempunyai al-Quran atau tafsir dalam versi Braille.

Tetapi yang menjadi masalahnya jika kelas berkenaan membabitkan pengajian atau bacaan hadis kerana hadis dalam versi Braille sukar dicari atau dibeli dalam pasaran.

“Terasa sangat ketinggalan kerana orang celik boleh beli tetapi kami orang OKU mata ini, sukar nak buat rujukan selepas kelas atau kuliah agama di surau atau masjid.

“Memang tidak praktikal untuk memahami dan mengingati hadis hanya dengan mendengar guru agama membaca tanpa adanya bahan rujukan di rumah,” katanya.

Cuma, Zamzuri memberitahu, apa yang menjadi persoalan buat masa ini adalah sama ada hadis Braille itu diberi secara percuma atau dijual kepada ahli Pertis.

“Kalau al-Quran Braille yang kami cetak itu diberi secara percuma kepada ahli Pertis kerana kami mendapat dana atau sumbangan yang mencukupi.

“Justeru, kami amat mengharapkan ada pihak tertentu atau dermawan yang sanggup menaja hadis Braille itu dan untuk sesiapa yang berminat, boleh hubungi kami di talian 03-22762634 atau 03-40212631 atau e-mel pertismalaysia@gmail.com,” katanya.

Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments