mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Mendidik Penderma Yang Prihatin ”

Petikan Khutbah Jumaat 22 Julai 2016: JAIS

“Mendidik Penderma Yang Prihatin ”

Memiliki harta merupakan suatu nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita semua. Barangsiapa yang beriman kepada Allah SWT dan membelanjakan hartanya sesuai dengan apa yang diredhai oleh Allah, memberi makan kepada fakir miskin dan membelanjakannya untuk menolong agama Allah SWT, nescaya Allah SWT akan menambahkan lagi rezeki kepadanya.jais.jpg Allah SWT juga akan memelihara dan memberkati keluarga dan anak-anaknya. Bahkan dikurniakan kebahagiaan berpanjangan kepadanya di dunia dan juga di akhirat.

Firman Allah SWT dalam surah al Muzzammil ayat 20; “Dan (ingatlah) apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya di sisi Allah sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya”

Keistimewaan yang dianugerahkan kepada orang yang bersedekah (menginfaqkan) hartanya di jalan Allah SWT juga adalah dianggap seakanakan memberi pinjaman kepada Allah SWT, padahal Allah SWT Maha Kaya dan Maha Pemberi.

Ia sebagaimana yang difirman oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 245 yang bermaksud: “Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah) Allah jualah yang menyempit dan yang melapangkan (rezeki) dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan."

Allah SWT juga banyak memberi galakan supaya hamba-hambanya sentiasa bersedekah, menderma atau meninfaqkan harta sebagaimana telah dijelaskan dalam Al-Quran dan Al-Hadis.

Abu Hurairah RA memberitahu bahawa, Rasulullah SAW bersabda melalui firman Allah SWT dalam hadis Qudsi yang bermaksud; “Wahai anak Adam, berinfaqlah nescaya Aku (menjamin) nafkahmu." (Muttafaq Alaih).

Bersedekah atau berinfaq juga akan menyebabkan rezeki bertambah, berlipat ganda, berkembang dan memperoleh keberkatan.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 160; …“Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (pahala) sepuluh kali ganda kebaikannya...”.

Sebenarnya rezeki bukanlah dilihat dalam bentuk wang dan kekayaan sahaja, malah rezeki juga meliputi kesihatan, anak yang soleh, jiran dan teman yang baik, pekerjaan yang halal, kehidupan yang tenang dan itulah yang merupakan rezeki yang sangat mahal dan tidak ternilai dibandingkan dengan wang dan kekayaan.

Walau bagaimanapun, pada masa kini terdapat segelintir masyarakat menyalahgunakan kebaikan orang yang suka menginfaqkan atau mendermakan hartanya. Aktiviti-aktiviti pungutan derma boleh dilihat dengan jelas di tempat-tempat awam seperti di hadapan bank-bank, stesen-stesen minyak, pasar-pasar malam, restoran-restoran dan lain-lain lagi.

Lebih malang lagi, sebilangan kanak-kanak turut diperalatkan untuk membuat pungutan derma di stesen-stesen minyak dan restoran-restoran. Kanak-kanak ini ada yang digunakan khusus menjalankan kutipan derma dan ada juga yang digunakan untuk menjual cakera padat syarahan-syarahan agama, kismis, buku-buku dan sebagainya.

Jika tidak mahu membeli, mereka mendesak supaya memberikan sumbangan jariah kepada mereka. Masyarakat pula seumpama tidak mengambil peduli akan kesahihan individu atau kanak-kanak yang menjalankan kutipan sama ada benar-benar mewakili sesebuah institusi seperti maahad tahfiz ataupun melakukan penipuan.

Masyarakat mudah sahaja menghulurkan derma tanpa berfikir panjang. Para pengutip derma pula secara terang-terang bebas menjalankan kutipan ke sana ke mari tanpa sebarang sekatan oleh mana-mana pihak.

Pungutan khairat diertikan sebagai kutipan bagi tujuan kebajikan, derma atau sedekah.

 Berdasarkan Seksyen 106, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, dengan surat kebenaran yang dikeluarkan oleh Majlis, membenarkan mana-mana orang atau kumpulan orang memungut wang atau sumbangan-sumbangan lain bagi apa-apa maksud khairat bagi menyokong dan memajukan agama Islam atau bagi faedah orang-orang Islam mengikut Hukum Syarak. Mana-mana orang yang melanggar atau tidak mendapat kebenaran MAIS adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Mimbar pada hari ini ingin mengajak masyarakat supaya mengambil tindakan seperti berikut antaranya adalah:

1. Masyarakat perlu prihatin ke atas sesuatu yang disedekahkan. Bersedekah itu sangat baik namun memastikan pengutip itu orang yang telus dan jujur melaksanakan kutipan juga adalah baik;

2. Masyarakat perlu sama-sama menjadi mata dan telinga kepada agensi agama Islam supaya sumbangan itu sampai kepada matlamat asalnya iaitu untuk membangunkan aset-aset umat Islam serta membantu meningkatkan sosio-ekonomi umat Islam; dan

3. Masyarakat perlu melapor kepada MAIS, JAIS atau PDRM ke atas individu atau warga asing yang membuat kutipan derma tanpa kebenaran.

Peranan kita sebagai umat Islam yang prihatin perlu dipamerkan dalam bentuk yang terbaik dan menjadi umat yang cemerlang selaras dengan baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur.

 “Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu; dan berilah mereka belanja dan pakaian dari pendapatan hartanya (yang kamu niagakan), dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik”  (an-Nisa’: 5).
Tags: khutbah, sedekah
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments