mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kegunaan harta dan mudaratnya

SEGALA puji bagi ALLAH SWT yang telah menjadikan harta wang ringgit sebagai suatu pemberian agar orang-orang soleh dapat menggunakannya pada jalan kebaikan bagi memperoleh pahala dan ganjaran syurga. Ia juga menjadi ujian buat golongan sengsara yang menggunakan harta mereka pada jalan yang tidak sepatutnya sehingga menyebabkan usaha mereka sia-sia dan mendapat kerugian di dunia serta azab di akhirat.

Bersyukurlah kita kepada ALLAH atas nikmat pemberian-Nya nescaya ia akan terus berlimpah ruah.

Tidak dinafikan, manusia secara semula jadinya cinta kepada harta. ALLAH berfirman: "Dan kamu pula bayangkan harta secara tamak haloba." (Surah Al-Fajar: 20)

Caption Area


Usah terlampau bergembira dengan harta pemberianNya kerana bila-bila masa akan diambil kembali.

Dalam ayat lain ALLAH menjelaskan: "Sesungguhnya manusia sangat tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya. Dia menjadi saksi atas hal tersebut. Dan sesungguhnya dia terlampau sangat sayangkan harta." (Surah Al-Aadiyyat: 6-8)

Harta dalam ayat di atas disebut sebagai 'khair' yakni kebaikan. Ini bererti harta secara dasarnya ialah suatu kebaikan dan nikmat daripada ALLAH.

Harta turut menjadi asas pembangunan kehidupan manusia. Firman ALLAH: "Dan janganlah kamu serahkan kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, yang ALLAH jadikan untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu." (Surah An-Nisaa': 5)

Salah guna harta

Harta secara amnya adalah baik tetapi cara manusia menggunakan harta itulah yang boleh membuatkannya menjadi tidak baik. Kerana itu harta menjadi ujian dan cubaan buat manusia. Sebagaimana firman ALLAH: "Ketahuilah sesungguhnya harta dan anak-pinak kamu ialah fitnah (ujian) dan sesungguhnya di sisi ALLAH ganjaran pahala yang besar." (Surah Al-Anfaal: 28)

Antara kebaikan harta ialah ia memberikan kecukupan kepada pemiliknya untuk membelanjakan buat dirinya dan keluarganya agar tidak perlu meminta-minta daripada orang lain.

Dengan harta juga pemiliknya dapat menggunakannya pada jalan ketaatan dan kebaikan seperti berjihad fi sabilillah menegakkan agama ALLAH. Ternyata jihad dengan harta mendahului jihad dengan nyawa dalam banyak nas al-Quran dan hadis. Demikian juga untuk perbelanjaan menunaikan haji dan umrah, menyambung silaturahim, bersedekah kepada fakir miskin, serta membina kemudahan awam seperti masjid dan sekolah.

Dalam satu peristiwa diriwayatkan Bukhari dan Muslim, orang-orang miskin Muhajirin mendatangi Rasulullah SAW dan berkata: "Golongan berharta telah mendahului kami memperoleh darjat tinggi dan kebahagiaan abadi." Mendengar rintihan mereka, Nabi SAW bertanya: "Mengapakah pula?" Kata mereka: "Mereka solat seperti kami dan berpuasa seperti kami, kemudian mereka bersedekah tetapi kami tidak. Dan mereka turut membebaskan hamba sedangkan kami tidak." Tanya Nabi SAW: "Mahukah kalian aku ajarkan sesuatu yang akan membuatkan kamu mengejar orang yang telah mendahului kamu dan kamu akan mendahului orang yang datang sesudah kamu, dan tidak akan ada sesiapa yang dapat mengatasi kamu kecuali jika dia melakukan seperti apa yang kamu lakukan?" Kata mereka: "Tentu wahai Rasulullah SAW." Sabda Baginda SAW: "Hendaklah kamu bertasbih, bertakbir dan bertahmid setiap kali selepas solat sebanyak 33 kali." Ternyata setelah itu golongan miskin Muhajirin kembali semula kepada Nabi dan berkata: "Saudara kami dalam kalangan mereka yang berharta mendengar apa yang kami lakukan lalu mereka turut melakukan hal yang sama." Mendengar rintihan mereka kali ini Nabi SAW membaca ayat 54 dalam Surah Al-Maa'idah.

Kisah di atas menunjukkan kekayaan harta ialah suatu kurniaan kelebihan daripada ALLAH diberikan kepada hamba-Nya. Manfaat harta turut berterusan sesudah kematian pemiliknya apabila si waris memperoleh manfaat daripada harta tersebut atau sekiranya harta itu diwakafkan pada jalan kebaikan.

Tinggal harta

Nabi SAW dalam sebuah hadis menjelaskan kepada Sa'ad bin Abi Waqqas RA: "Sesungguhnya jika engkau meninggalkan warismu kaya raya adalah lebih baik berbanding jika engkau biarkan mereka miskin papa kedana meminta-minta daripada orang." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Sabda Nabi lagi: "Sesungguhnya jika anak Adam itu mati maka terputuslah amalannya kecuali dalam tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakannya." (Riwayat Muslim)

Walaupun harta membawa kebaikan tetapi dalam masa yang sama ia juga adalah tanggungjawab besar dan boleh membawa bahaya bencana. Barang siapa yang tidak berhati-hati terhadap godaan harta dia akan binasa.

Harta kekayaan boleh membuatkan orangnya sombong bongkak dan melampaui batas. Firman-Nya: "Sesungguhnya manusia itu akan melampaui batas. Di kala dia melihat dirinya sudah kaya." (Surah Al-Alaq: 6-7)

Firman ALLAH lagi: "Kalau sekiranya ALLAH memewahkan rezeki bagi setiap hamba-Nya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi." (Surah Asy-Syura: 27)

Demikian ialah sifat manusia apabila dia berasakan dirinya sudah kaya raya, sudah cukup harta kekayaannya, dia akan gembira dan melampaui batas.

Tarikan maksiat

Harta kekayaan juga boleh menarik orangnya melakukan maksiat. Ini kerana orang yang mempunyai kemampuan untuk memuaskan nafsu syahwatnya akan terdorong untuk melaksanakan apa yang diinginkan oleh nafsunya.

Harta juga mendorong manusia untuk berlebih-lebihan dalam merasai kenikmatan yang halal sehingga ia menjadi kebiasaan dan kelaziman. Sampai satu tahap dia tidak lagi mampu menahan dirinya dan akhirnya dia tenggelam dalam kemewahan. Sedangkan kemewahan itu adalah suatu yang dicela dalam banyak ayat al-Quran.

Ternyata golongan yang hidup mewah ialah golongan yang menentang rasul. Firman ALLAH: "Dan Kami tidak mengutus kepada sesebuah negeri seorang rasul pemberi amaran melainkan orang-orang yang berada dalam kemewahan di negeri itu akan berkata: "Sesungguhnya kami tetap mengingkari apa yang kamu diutus membawanya." (Surah As-Saba’: 34)

Harta kekayaan juga mengundang permusuhan dan sikap bermuka-muka. Ini kerana orang yang hartanya banyak akan bergaul dengan manusia. Dan apabila dia banyak bergaul, sangat sukar untuk dia selamat daripada sikap bermuka-muka, bermusuhan dengan orang lain, hasad dengki dan mengumpat menceritakan keaiban orang lain. Ini semua dilakukan demi menjaga hartanya dan membaik pulihkannya.

Harta turut menyibukkan pemiliknya daripada berzikir mengingati ALLAH apabila banyak masa yang terpaksa diluangkan untuk menjaga dan memelihara harta tersebut. Bahkan barangkali harta itu sampai mengambil semua masa yang ada sehingga tidak ada yang terluang dan menyebabkan orangnya tergolong dalam kalangan orang yang rugi.

Sayang kepada harta benda juga boleh menyebabkan orangnya terjebak dalam penipuan, pembohongan dan sumpah palsu dalam muamalah dan perselisihan. Kesemua ini ialah jenayah besar yang mengundang kemurkaan ALLAH dan azab-Nya.

Demikian adalah sebahagian daripada ujian harta kekayaan dari sudut baik buruknya. Perlulah kita bertindak dengan bijaksana dan berhati-hati dalam mengurus harta. Hendaklah kita menunaikan haknya dengan penuh tanggungjawab dan kejujuran. Sesungguhnya harta itu sama sekali tidak datang kepada kita kerana kekuatan dan kepandaian kita. Sebaliknya ia adalah kurniaan ALLAH buat hamba-Nya.

ALLAH mengurniakan harta itu kepada siapa yang dikehendaki-Nya dan Dia juga mencabutnya daripada siapa yang diingini-Nya.

Tags: harta
Subscribe

Posts from This Journal “harta” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments