mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Cakna perilaku anak

PASTI setiap ibu bapa di luar sana berdepan situasi ini. Anak yang berusia 10, 11 malah 15 tahun merengek bagai si kecil berumur dua tiga tahun meminta ibu bapa membelikan gajet berupa telefon pintar yang boleh mengakses internet.

Kata anak itu, teman di sekolah semuanya mempunyai telefon canggih. Cerita anak itu lagi, seorang kawannya telah mewujudkan grup belajar menggunakan aplikasi WhatsApp menyebabkan dirinya ketinggalan banyak maklumat.

Apa yang akan anda sebagai ibu bapa lakukan? Jika tidak beli berasa bersalah, jika beli tidak boleh dibiarkan, perlu dipantau apa yang diakses si anak.

Benarkah anak-anak kita menggunakan telefon atau sebarang gajet yang dimiliki untuk bersembang dengan kawannya mengenai hal pelajaran, hal sekolah atau anak kita sebenarnya bersembang mengenai perihal seks sesama mereka? Berapa ramai ibu bapa yang 'pandai' menyelongkar aplikasi yang dimuat turun dalam telefon anak?.

Siri kedua seminar keibubapaan Memahami dan Mengatasi Bencana Kerosakan Otak Kerana Pornografi, membahaskan isu ini. Seminar dikendalikan Pengarah Yayasan Kita dan Buah Hati, Jakarta Indonesia, Dra Elly Risman dan dianjurkan oleh Asean Mosque Festival di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur.

Ibu bapa terus leka

Elly atau panggilan mesranya, Ibu Elly menjelaskan, segelintir ibu bapa di luar sana tanpa sedar telah membuka peluang kepada anak-anak untuk menjadi sebahagian daripada sasaran, misalnya  bisnes pornografi dan dadah kerana melakukan banyak kekeliruan dalam mengasuh anak.

"Saya mahu mengajak ibu bapa yang ada di sini berbicara secara imaginasi dengan anak lelaki anda. Benarkah telefon yang dipegang di tangan anak anda hanya digunakan untuk belajar? Tidak terfikirkah anda jika mereka juga turut bersembang perihal seks?.

"Berdasarkan kajian dilakukan United Nation, penggunaan telefon memberikan kesempatan tidak bertepi bagi anak remaja untuk berkomunikasi, mewujudkan grup, bertemu dan terlibat dalam kegiatan seks yang berisiko, sekali gus memicu peningkatan HIV di Segi tiga Api: Bangkok, Jakarta dan Hanoi dua tahun lagi. Sungguh mendebarkan. Situasi ini dianggap bencana di negara saya (Indonesia)," katanya kesal.

Beliau berkata, hampir setiap hari siaran televisyen mahu pun akhbar memaparkan dan menyiarkan kes berkenaan kejadian rogol, sumbang mahram, ketagihan dadah dan bermacam-macam lagi di Indonesia. Itu yang diberitakan, bagaimana pula dengan kes yang tidak dilaporkan.

Menurutnya, sesuatu perlu dilakukan untuk mengawal keadaan ini. Mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Pastinya, Malaysia masih dalam kategori selamat dengan kes sebegini, namun, jika ibu bapa masih leka dan terus membiarkan jari si anak mengetik papan kekunci telefon mahu pun gajet lain, ia bakal mengundang padah kepada diri, keluarga juga masyarakat.

Asuh anak era digital

Mudah sahaja, apabila anak menangis terus dibaginya telefon yang dimuat turun cerita kegemaran ramai kanak-kanak, SpongeBob SquarePants.

Gelak si anak melihat keletah kartun yang berada di dalam Lautan Pasifik. Tetapi, tahukah ibu bapa apakah kesan animasi berkenaan kepada pembangunan karakter anak-anak? Kerana itulah pendidikan awal kanak-kanak penting untuk dipelajari ibu bapa moden hari ini. 

"Jika begini cara kita mengasuh anak, kita sudah tahu anak kita akan jadi itu dan ini, dengan mudahnya menjadi sasaran anasir yang tidak elok yakni nasibnya sama seperti anak-anak remaja di negara saya.

"Buku bertajuk The Drug of the New Millenium tulisan Mark B Kastleman yang melakukan kajian bahawa saat pasangan suami isteri melakukan perhubungan kelamin akan mengeluarkan empat atau lima cairan otak. Dan berdasarkan hasil penelitian selama 20 tahun, Mark membuktikan apabila seseorang penikmat pornografi contohnya kanak-kanak dan remaja maka otaknya akan memproses cairan yang sama seperti pasangan suami isteri yang melakukan hubungan kelamin. Jadi sejak umur berapa ibu bapa menggalakkan anak-anak menjadi seperti itu? Ia mungkin bermula sejak memberikan anak gajet dan memasang perkhidmatan Wifi di rumah," kata Elly.
Tags: anak
Subscribe

Posts from This Journal “anak” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments