mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Ateis, murtad suatu bentuk penjajahan

TIDAK dapat dinafikan wujudnya aliran liberalisme dan extremisme dalam sejarah manusia terutama pada zaman ini, dalam kalangan semua bangsa dan agama, termasuk umat Islam.

Tidak dapat dinafikan juga umat kelihatan bersikap sinis dan hampa terhadap keahlian/autoriti dalam pelbagai bidang termasuk bidang keilmuan, agama, kepemimpinan, pengurusan, profesional dan kebudayaan serta seni dan hiburan.

Pandangan, saranan dan keputusan mereka yang diletakkan di jawatan dan institusi penting bidang ini tidak diendahkan sebahagian penting umat kita dan oleh orang dan institusi bukan Islam.

Mungkin antara sebab utamanya ialah penjawat dan pemegang amanah penting ini bukan memiliki keahlian hakiki. Satu penyelidikan mengenai Global Index of Religiousity and Aetheism 2012 oleh WIN-Gallup International menggambarkan perkembangan membimbangkan.


Kajian membabitkan 50,000 peserta dari 57 negara mendapati rakyat di beberapa negara Islam yang dianggap konservatif dan kuat beragama sudah ramai dan berani mengakui yakin mereka memang ateis (convinced atheists).

Data-data dalam penyelidikan ini boleh membantu kita mengenali dan menangani satu masalah penting yang berangkai.

Dapatan penyelidikan ini penting kerana memaparkan pengakuan peserta mengenai pegangan agama atau sebaliknya dan bukan pandangan atau rumusan pengkaji terhadap peserta.

Penyelidikan Global di atas melaporkan dua peratus rakyat Pakistan, yakni lebih kurang 3.8 juta; dan lima peratus rakyat Arab Saudi berjumlah 1.5 juta, sementara dua peratus rakyat Turki (1.4 juta) berada dalam kategori ini.

Di Malaysia, Iraq dan Ghana, tiada yang mengaku ateis. Bandingkan dengan Russia enam peratus dan Afrika Selatan lima peratus dan Finland enam peratus. Yang terbanyak mengaku ateis ialah Cina 47 peratus, Jepun 31 peratus, Republik Czech 30 peratus, Perancis 29 peratus, Korea Selatan dan Jerman masing-masing 15 peratus, Belanda 14 peratus, Amerika Syarikat lima peratus dan India tiga peratus.

Tidak berani akui pegangan

Sangat menarik dinyatakan, penyelidikan ini mendapati tidak ada yang mengakui ateis di Malaysia. Besar kemungkinan individu sebegini ada tetapi tidak ramai dan tidak berani mengakui pegangannya kepada pihak penyelidik.

Apa yang mengejutkan daripada penyelidikan ini ialah Indonesia tidak disenaraikan langsung di dalamnya. Data yang sangat menarik ialah di antara semua agama, penganut Islam dan Hindu yang tertinggi mengakui ateis, iaitu sebanyak tiga peratus, sedangkan penganut agama Yahudi dua peratus, Katolik dan Protestan masing-masing satu peratus sahaja.

Fenomena ini sedang mendapat perhatian ramai pengkaji seperti Ahmed Benchemsi dalam The New Republic pada 24 April 2015, mengenai 'Invisible Atheists: The Spread of Disbelief in the Arab World'; Brian Whitaker, Arabs Without God: Atheism and the Freedom of Belief in the Middle East (2015) dan Simon Cottee The Apostates: When Muslims Leave Islam (2016).

Kajian ini juga mendapati aliran ateisme ini meningkat dalam kalangan berpendidikan dan yang berpendapatan tinggi. Kedua-dua faktor ini menunjukkan kemungkinan besar mereka memiliki peranan penting dalam kehidupan institusi awam dan swasta di negara masing-masing.

Ateisme hanyalah satu jelmaan daripada banyak gejala negatif berat yang menyimpang, menyeleweng dan keluar dari ajaran Islam yang dikenali sebagai de-islamization (Ingkar Islam) termasuklah menukar ke agama lain (murtad), syirik, extremisme, radikalisme, sekularisme, liberalisme dan lain-lain. Ingkar Islam tidak bermakna mereka mengaku ateis atau meninggalkan Islam dan menganut agama lain.

Mereka masih mengaku Muslim tetapi jahil mengenai dasar dan amalan Islam serta tidak mengamalkannya. Malah, sebahagian yang mengingkari Islam ini memiliki peralatan bahasa Arab dan pengetahuan bidang ilmu tradisional Islam tetapi menafsirkan semuanya melalui kerangka pemikiran moden yang sekular, liberal dan nisbi (relative), atau melalui kerangka ilmu-ilmu tradisional agama secara sempit.

Kedua-dua aliran ini menganggap diri mereka lebih memahami Islam daripada majoriti sarjana dan umat Islam sepanjang sejarah.

Sebahagian fenomena ini sudah dikaji dengan baik oleh Dr Khalif Muammar dalam Islam dan Pluralisme Agama (2003). Oleh kerana Islam adalah agama yang berasaskan faham ilmu dan kaedah ilmiah yang tauhidik dan komprehensif seperti yang dihuraikan oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam Prolegomena to the Metaphysics of Islam (1995), maka ingkar Islam ini berkait rapat dengan sifat ingkar ilmu yang merupakan lawan mutlak budaya ilmu dalam Islam.

Krisis ilmu pengetahuan

Ingkar ilmu bukan sekadar menafikan kemungkinan manusia boleh mencapai ilmu pengetahuan di tahap 'ilm al-yaqin, 'ayn al-yaqin dan aqq al-yaqin tetapi menisbikan ilmu pada pandangan peribadi yang berkepentingan sendiri (subjektivisme), pada perubahan dan kepentingan kedudukan sosial, ekonomi dan politik, jantina (relativisme) dan pada perubahan sejarah (historisisme).

Ingkar ilmu giat menubuhkan institusi pendidikan dan kajian sehingga ke peringkat tertinggi, tetapi tujuan, kandungan, prioriti dan metodologi pendidikan serta penyelidikan tidak lagi didasarkan pada pandangan alam Islam dan faham ilmunya yang kekal tetapi yang berubah-ubah.

Krisis keahlian/autoriti dalam masyarakat Islam, seperti dalam semua masyarakat lain, adalah pada dasarnya krisis ilmu pengetahuan.

Francis Robinson menulis mengenai krisis keahlian/autoriti umat Islam dalam Crisis of Authority: Crisis of Islam? (2008). Beliau meletakkan permulaan krisis ini sekitar 200 tahun lalu apabila penjajahan Barat mula mencengkam dunia Islam dan menjadi lebih parah sejak pertengahan abad ke-20 Masihi apabila pergerakan manusia, pengaliran dana dan teknologi komunikasi menjenterai gelombang globalisasi Barat, yang bagi ramai sarjana dianggap sebagai penjajahan baharu (neo-kolonialisme).
Tags: murtad
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments