mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Pesanan untuk tetamu Allah , Selamat Berangkat Tetamu Allah

Selamat Berangkat Tetamu Allah

Hari ini seramai 939 jemaah haji Malaysia berlepas ke Madinah. Mereka adalah terdiri daripada kum­pulan pertama seramai 450 orang dan kumpulan kedua seramai 489 orang.

Keberangkatan mereka diang­gap pembuka tirai kepada penghantaran 22,320 jemaah haji Malaysia yang akan menunaikan ibadah itu tahun ini.

Apabila kesemua mereka me­langkah masuk ke dalam perut pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dan Saudi Airlines maka bermula satu perjalanan suci untuk menjadi tetamu Allah.


Pengurus Besar Kanan (Haji) Tabung Haji , Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman (kiri) memeluk dan bersalaman dengan petugas haji di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, Selangor pada 28 Julai lalu. - GAMBAR HIASAN/UTUSAN

Biarpun lambaian pilu ahli keluarga dan sanak saudara sudah pasti akan bermain-main di fikiran, namun jemaah haji tersebut tidak harus hilang fokus. Perlu difahami pemergian mereka bukanlah untuk melancong ke kota suci Mekah dan Madinah, tetapi sebagai tetamu Allah yang mengidamkan haji mabrur.

Tiada apa lagi yang patut difikirkan selain merebut sepenuh­nya ruang dan kesempatan yang diberikan oleh Allah SWT untuk beribadah kepada-Nya. Lupakan dulu urusan keduniaan, biarlah ia difikirkan kemudian apabila kembali ke tanah air nanti jika panjang umur. Tumpukan kepada usaha bagaimana mahu memastikan peluang menjadi tetamu Allah tidak sia-sia ketika berjuta-juta umat Islam di Malaysia mengimpikan ‘jemputan’ menunaikan rukun ­Islam kelima tersebut.

Kesemua 989 jemaah haji itu akan bergabung dengan lebih 2 juta lagi umat Islam untuk bersama-sama melaksanakan ibadah haji. Ketika melaksanakan rukun-rukun wajib haji tidak ada pengecualian sama ada jemaah haji itu seorang petani, tokoh korporat, ahli politik atau orang kampung. Mereka akan melaksanakan bersama-sama dengan pakaian ihram yang menjadi lambang persamaan antara mereka.

Dalam melaksanakan ibadah haji dan bagi mencapai haji mabrur, ia bukan berdasarkan siapa individu tersebut, sebaliknya sejauh manakah mereka melak­sanakan rukun haji dengan sebaik-baiknya serta bagaimana ibadah itu boleh mengubah mereka menjadi insan yang lebih baik daripada sebelumnya.

Firman Allah SWT dalam surah Al Hujurat ayat 13 bermaksud; “Hai manusia sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang laki-laki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu saling mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi mengenali.

Para jemaah haji perlu ber­lapang dada dan memahami bahawa mereka kini memburu keredaan dan keampunan Allah, tidak ada perkara lain yang perlu diutamakan apabila mereka menerima lambaian Baitullah.

Jemaah haji Malaysia perlu bersyukur kerana segala urusan bermula dengan menyimpan wang hinggalah berwukuf di Arafah segala-galanya diuruskan oleh Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji).

Sepanjang berada di Madinah sejak seminggu lalu bagi membuat liputan ibadah haji, penulis tertarik dengan persiapan rapi yang dilakukan oleh Tabung Haji dalam memastikan jemaah haji Malaysia akan dapat menunaikan ibadah itu dengan sempurna.

Penulis melihat sendiri bagaimana petugas-petugas Tabung Haji bertungkus lumus membuat persediaan dari segenap aspek untuk melayan ke­tibaan jemaah haji negara kita.

Di wajah mereka sentiasa terpancar senyuman kerana memahami apa yang dilakukan bukan semata-mata kerana tuntutan kerja tetapi peluang merebut pahala sebanyak mungkin dengan memberi layanan terbaik kepada tetamu Allah.

Jemaah haji tidak perlu risau apa-apa sebaik sahaja menjejak kaki ke Madinah mahupun Mekah. Sejarah sudah mencatatkan bahawa jemaah haji Malaysia setiap tahun menjadi jemaah terbaik dan jemaah contoh hasil komitmen Tabung Haji.

Salah satu sikap yang perlu ada jika imej itu mahu dipertahankan adalah sabar dan tabah kerana ketika melaksanakan ibadah tersebut mereka akan bertemu dengan pelbagai ragam manusia.

Atas sebab itulah penting setiap jemaah haji mematuhi dan mengikuti semua arahan yang dikeluarkan oleh Tabung Haji kerana petugas-petugas agensi itu amat cukup memahami situasi tersebut.

Apapun kepada kumpulan pertama dan kumpulan kedua jemaah haji Malaysia yang berlepas hari ini serta jemaah lain, mereka pasti akan diraikan dengan ucapan; “Selamat Berangkat, Wahai Tetamu Allah.”


Pesanan untuk tetamu Allah

“WAHAI Allah kami datang memenuhi panggilan-Mu, tiada sekutu untuk Mu segala puji dan kuasa untuk Mu.’’

Demi memastikan kesempurnaan ibadah haji

Hari ini talbiah itu sudah pasti akan bergetaran dalam sanubari rombongan pertama jemaah haji Malaysia yang berlepas ke Tanah Suci Mekah bagi menunaikan Rukun Islam Kelima. Di sebalik iringan doa dan air mata sanak-saudara yang menghantar pemergian mereka, pada hati tetamu agung Allah ini terungkap kesyukuran yang tidak terhingga kerana diberi kesempatan menunaikan fardu haji.

Namun sementara perasaan syukur dilafazkan, pada masa sama para jemaah haji juga perlu memahami bahawa keberangkatan mereka untuk menjejak kaki di Tanah Suci Mekah mahupun Madinah bukanlah ‘satu percutian’ jangka panjang.

Sebaliknya ia kesempatan terbaik untuk mereka ‘dilahirkan semula’ sebagai hamba-Nya yang bertakwa. Jika selama ini ada antara mereka hanya mendengar kisah mengenai kehebatan kota Mekah dan Madinah, merenung gambar-gambar yang memaparkan suasana di Baitullah dan orang bertawaf mengelilingi Kaabah, kini Allah menjemput mereka sebagai tetamu-Nya untuk menikmati sendiri semua itu melalui pelaksanaan ibadah haji.

Oleh itu adalah perlu mereka menghayati dengan sebenar-benarnya hikmah di sebalik ibadah tersebut. Mereka tidak harus melupakan bahawa ibadah haji merupakan rukun terakhir dalam Islam yang disempurnakan oleh Rasulullah SAW.

Peristiwa kehidupan Nabi Muhammad SAW mencatatkan ketika berwukuf, Saidina Abu Bakar r.a. menangis apabila baginda membaca surat al-Maidah ayat 3 yang bermaksud: “.... Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat Aku dan telah Aku redai Islam itu menjadi agama bagimu ...’’

Sahabat Nabi itu berasa sedih kerana memahami bahawa risalah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW telah selesai dan hampir tiba saat perpisahan dengan baginda yang akan menghadap Allah. Atas sebab itulah orang yang mengerjakan ibadah haji akan memperoleh pelbagai kelebihan dan ganjaran daripada Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda: “Satu umrah sampai umrah yang lain adalah sebagai penghapus dosa antara kedua-duanya dan tidak ada balasan bagi haji mabrur kecuali jannah.’’

Allah berfirman dalam surat al-Hajj ayat 27 bermaksud: “Dan serulah manusia berhaji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan menunggang unta yang kurus dari segenap penjuru yang jauh.’’

Ayat inilah yang memungkinkan satu ketika dahulu jemaah haji Malaysia menaiki kapal laut untuk ke Mekah manakala di luar negara, kita mendengar cerita bagaimana ada yang berjalan kaki bertahun-tahun lamanya untuk sampai ke Tanah Suci semata-mata mahu melaksanakan ibadah haji.

Manfaatkan peluang terbaik

Jemaah haji perlu bersyukur dan berusaha untuk memastikan peluang keemasan menjadi tetamu agung Allah tidak dibiarkan berlalu begitu sahaja. Mereka perlu ikhlas bagi melaksanakan ibadah tersebut dan bukannya berasa riak, sombong atau bangga kerana terpilih ke Mekah.

Pokok pangkal kepada kejayaan seorang jemaah haji untuk mendapat haji mabrur ialah keikhlasan untuk menunaikan fardu haji kerana Allah SWT, dalam bahasa mudah mereka tidak boleh ada niat lain apatah lagi mengharapkan apabila pulang nanti dipanggil `tuan haji’ atau ‘pak haji’.

Mereka perlu beribadah semata-mata kerana Allah SWT dan menyerahkan segala keyakinan bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Dia.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 26 bermakud: “Dan ingatlah ketika kami menempatkan tempat Baitullah untuk Ibrahim dengan menyatakan; Janganlah engkau menyekutukan Aku dengan apapun dan sucikan rumah-Ku ini bagi orang-orang tawaf, beribadah, rukuk dan sujud,’’

Justeru jemaah haji perlu menghayati sepenuhnya maksud tetamu Allah. Pelajari, fahami dan laksanakan betul-betul setiap rukun haji. Semua itu hanya boleh dilakukan jika mereka membuat persiapan rapi.

Ibadah haji menguji kesabaran kita sebagai hamba Allah. Apa juga dugaan yang ditempuh perlu dihadapi dengan sabar dan reda. Bak lirik lagu kumpulan Raihan, “Pergi haji ertinya menuju Allah Yang Esa, membawa hati dan diri yang hina, memberi hadiah kepada Allah, berhati-berhatilah menghadap-Nya, setiap hamba pergi haji dengan segala yang baik, hati yang baik , akhlak yang baik, harta yang halal, hati yang bersih niat, niat yang suci... amal mulia ...’’

Dengan kehadiran jutaan umat Islam menunaikan ibadah tersebut sudah tentulah pelbagai cabaran terpaksa dihadapi tetapi semua itu perlu dilalui dengan kesabaran dan sentiasa memohon pertolongan kepada Allah SWT supaya dipermudahkan segala urusan.

Ia bertepatan dengan firman-Nya dalam surah Al Baqarah ayat 153 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.”

Kesimpulannya ketika melaksanakan ibadah haji, niatlah seikhlas-ikhlasnya demi Allah SWT kerana kita tidak mahu tergolong dalam empat golongan yang disebut oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis iaitu orang kaya yang pergi haji kerana makan angin, orang kebanyakan pergi haji kerana riak dan mahu nama, orang miskin pergi haji kerana hendak minta sedekah serta orang biasa pergi haji untuk berniaga.

Tidak kira atas nama apapun mereka terpilih sama ada muassasah, pakej atau jemputan, mereka perlu menjaga adab dan tertib serta menanam tekad menyerahkan diri kepada Allah SWT sepenuhnya. Usah dibazirkan waktu-waktu keemasan berada di Mekah dan Madinah serta wukuf di Arafah dengan aktiviti atau perlakuan yang hanya akan menyebabkan ibadah kita menjadi sia-sia.

Tags: haji
Subscribe

Posts from This Journal “haji” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments