mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Tabung Haji rahmat untuk umat Islam

SABAN tahun jemaah haji Malaysia terus mendapat pujian bukan sahaja daripada kerajaan Arab Saudi, tetapi juga negara-negara Islam yang lain. Segala-galanya adalah hasil usaha Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) yang bertanggungjawab menguruskan pemergian umat Islam dari negara ini melaksanakan rukun Islam kelima tersebut.


Terus menerajui perkhidmatan terbaik sejak ditubuhkan
Gambar menunjukkan kapal Bunga Raya yang merupakan antara kapal jemaah haji Malaysia ke Jeddah era 60-an dan 70-an.

Walaupun sekali sekala menerima ‘usikan’ pihak tertentu yang cuba mempolitikkan sesuatu isu melibatkan agensi tersebut namun Tabung Haji tidak pernah tergugat atau terganggu dengan matlamat serta tanggungjawabnya.

Menoleh kembali sejarah Tabung Haji, ia bermula dengan kewujudan Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji pada November 1962 dan beroperasi mulai 30 September 1963. Perbadanan ini dilahirkan hasil penerimaan kertas kerja Prof. Diraja Ungku Aziz bertajuk ‘Rancangan Membaiki Ekonomi Bakal-bakal Haji’ pada tahu 1959.

Untuk mempertingkat perkhidmatan dan kemudahan kepada bakal-bakal haji, dalam tahun 1969 perbadanan tersebut dicantumkan dengan Pejabat Urusan Hal Ehwal Haji yang beroperasi di Pulau Pinang dan dengan itu lahirlah Lembaga Urusan dan Tabung Haji atau ringkasnya Tabung Haji, yang ditubuhkan bawah Akta 8, Akta Lembaga Urusan dan Tabung Haji 1969.

Kewujudan Tabung Haji adalah rahmat untuk umat Islam di negara ini. Melalui kewujudan agensi tersebut mereka tidak perlu lagi menggunakan cara konvensional atau bak kata orang menyimpan wang di bawah bantal untuk ke Tanah Suci.



Kapal haji kuala lumpur sejurus sebelum bertolak ke pelabuhan Jeddah dari pelabuhan Pulau Pinang.

Sebaliknya melalui Tabung Haji mereka boleh menyimpan secara beransur-ansur bagi memenuhi perbelanjaan menunaikan fardu haji. Kepercayaan dan amanah yang diberikan oleh umat Islam tidak disia-siakan oleh agensi tersebut, ia termasuklah menyediakan peruntukan subsidi bagi memastikan umat Islam tidak dibebankan dengan kos tinggi.

Contohnya, pada tahun ini Tabung Haji memperuntuk subsidi sebanyak RM160 juta kepada jemaah haji bagi membolehkan kos menunaikan rukun Islam kelima itu dikekalkan pada kadar RM9,980.

Kos sebenar bagi setiap jemaah haji tahun ini adalah RM18,890 namun dengan subsidi Tabung Haji sebanyak RM8,910 seorang, maka kadar lama dapat dikekalkan.

Kadar tersebut juga tidak pernah dinaikkan sejak lapan tahun dulu dan kemampuan memberikan subsidi yang besar kepada jemaah haji membuktikan kekukuhan operasi Tabung Haji sebagai sebuah institusi kewangan Islam.



Album kenangan...Anak kapal Kuala Lumpur sibuk menaikkan tambatan kapal bagi membolehkannya bersiap sedia meninggalkan Pelabuhan Singapura. Kelihatan jemaah haji masih melambai-lambai tangan mereka.

Tabung Haji juga turut membalas kepercayaan diberikan pendeposit-pendepositnya dengan berusaha meningkatkan perkhidmatannya. Saban tahun ada sahaja perubahan dan usaha dilakukan oleh Tabung Haji bagi kemudahan dan keselesaan jemaah haji. Ia termasuklah dari segi kursus haji, perkhidmatan kesihatan, perkhidmatan kewangan dan kaunseling.

Berikutan usaha gigih itulah Tabung Haji kini seperti mana kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terus menjadi satu kebanggaan bukan sahaja di negara ini malah dalam dunia Islam. Kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh Tabung Haji memungkinkan beberapa negara cuba mewujudkan institusi yang mempunyai fungsi yang sama tetapi sehingga kini mereka gagal melakukannya.

Bagaimanapun suatu perkara yang tidak boleh dipinggirkan ialah kemampuan Tabung Haji memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji sehingga mendapat pujian masyarakat dunia setiap kali musim haji adalah hasil kegigihan dan komitmen petugas-petugas haji.



(Gambar fail) Kapal haji Malaysia Raya berlepas dari Pelabuhan Pulau Pinang

Merekalah sebenarnya nadi kepada kejayaan tersebut. Pada tahun ini seramai 600 petugas Tabung Haji akan menjaga kebajikan dan keselamatan 22,320 jemaah.

Atas sebab itulah umat Islam di negara ini perlu bersyukur dan berasa bertuah kerana mempunyai sebuah agensi seperti Tabung Haji. Tanpa Tabung Haji belum tentu mereka akan dapat melaksanakan ibadah haji dalam keadaan selesa dengan pelbagai kemudahan.

Justeru dalam apa juga situasi Tabung Haji perlu dipertahan. Jangan dibiarkannya rosak atau imejnya tercalar akibat mainan politik pihak tertentu yang sengaja menyebarkan perkara tidak benar mengenai agensi tersebut.

Apa yang berlaku baru-baru ini boleh dijadikan contoh apabila ada pendeposit atau penyimpan di Tabung Haji kelam kabut mengeluarkan wang simpanan mereka semata-mata kerana terpedaya dengan agenda politik individu tertentu.

Tabung Haji tidak harus dipolitikkan atau menjadi mangsa politik. Sebaliknya Tabung Haji perlu terus diperkukuh kerana agensi itu telah membuktikan kemampuannya menguruskan tetamu Allah sejak lima dekad lalu. Sesungguhnya Tabung Haji adalah rahmat kepada umat Islam di negara ini, justeru bersyukurlah, jangan dipersia-sia rahmat Allah itu.

Tags: haji, tabung haji
Subscribe

Posts from This Journal “tabung haji” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments