mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Madinah kota penuh keberkatan

APABILA kami dimaklumkan bahawa akan meninggalkan kota Madinah pada 9 Ogos bagi meneruskan perjalanan ke Mekah secara tiba-tiba penulis berasa sebak.

Sememangnya Madinah penuh keberkatan. Kota ini adalah ruang dan kesempatan yang diberikan oleh Allah SWT untuk kita meningkatkan ketakwaan kepada-Nya. Selain itu, ia juga adalah kota yang mendekatkan lagi perasaan cinta kita kepada Rasulullah SAW.

Peluang jemaah beribadah, ziarah

MASJID Qiblatain atau masjid dua kiblat yang turut menjadi tumpuan jemaah haji untuk menziarah.

Justeru, bagi jemaah-jemaah haji Malaysia, jangan sesekali mensia-siakan kesempatan menjejak kaki di kota Madinah apabila mengikuti program ziarah yang diaturkan oleh Lembaga Urusan Tabung Haji (Tabung Haji).

Apa yang perlu diketahui mereka berada di tanah kelahiran Rasulullah SAW di situ juga baginda dimakamkan. Malah mereka juga perlu faham bahawa baginda amat mencintai Madinah sehingga baginda pernah berdoa kepada Allah:

“Ya Allah, jadikanlah kami mencintai Madinah sebagaimana kecintaan kami terhadap Mekah atau lebih cinta lagi,”

ISTIMEWANYA KOTA MADINAH

Kota Madinah merupakan antara satu daripada dua kota yang gagal ditembusi oleh Dajjal. Sebuah lagi ialah Mekah. Sebuah hadis pernah menceritakan bagaimana Dajjal menggambarkan kegagalannya itu:

“Aku akan keluar dan menelusuri muka bumi. Tidaklah aku membiarkan suatu daerah kecuali pasti aku singgahi dalam masa empat puluh malam selain Mekah dan Thoybah (Madinah). Kedua-dua kota tersebut diharamkan bagiku. Tatkala aku ingin memasuki salah satu dari dua kota tersebut, malaikat menemuiku dan menghadangku dengan pedangnya berkilat. Dan di setiap jalan bukit ada malaikat yang menjaganya.”



PEMANDANGAN Bukit Uhud lokasi di mana Rasulullah SAW berlindung selepas diserang oleh tentera Quraisy.

Selain itu, Madinah juga dicatatkan oleh para alim ulama mempunyai keistimewaan dan kelebihan sendiri antaranya:


  • Allah menjadikan Madinah sebagai tempat masuk yang benar.

  • Diharamkan membawa senjata ke Madinah dengan berperang atau membunuh.

  • Allah menjadikan Madinah sebagai tempat kelahiran Islam.

  • Wabak penyakit berpindah dari Madinah ke Juhfah.

  • Madinah ditakluk dengan keimanan dan al-Quran sedangkan daerah lain dengan pedang.

Oleh itu sebagai tetamu Allah yang berkunjung ke Madinah, jemaah haji perlu menghayati tempat-tempat yang diziarahi selain meningkatkan ketakwaan dengan beribadah sebanyak mungkin di Masjid Nabawi.



PEMANDANGAN Lembah Bukit Uhud yang menjadi lokasi Perang Uhud antara tentera Islam dengan tentera kafir Quraisy.

Mereka berpeluang untuk meraih ganjaran pahala bersamaan dengan sekali mengerjakan umrah apabila bersolat di Masjid Quba’. Ia merupakan masjid pertama yang didirikan oleh Rasulullah SAW untuk menunaikan solat jemaah.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang bersuci di rumahnya, kemudian pergi ke Masjid Quba’ lalu dia solat di dalamnya, maka baginya pahala seperti pahala umrah.”

Allah SWT berfirman dalam Surah at-Taubah:108: “...Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (Masjid Quba’) , sejak hari pertama adalah lebih patut untukmu solat di dalamnya. Di dalam masjid itu ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih.”

Masjid Nabawi pula adalah masjid yang turut dibangunkan oleh Rasulullah SAW dan merupakan masjid kedua terbesar di dunia selepas Masjidilharam. Peluang melawat Lembah Bukit Uhud pula akan memberi peluang kepada jemaah haji mengambil iktibar bagaimana jangan sesekali melakukan pembelotan dalam perjuangan.

Mereka perlu menjadikan tindakan Abdullah bin Ubai bersama 300 orang berpatah balik ke Madinah sebagai pengajaran.

Kesimpulannya, Madinah adalah kota untuk beribadah dan ziarah yang mampu memberikan manfaat besar kepada jemaah haji dalam usaha mereka meningkatkan ketakwaan kepada Allah dan mencintai Rasulullah SAW.

Tags: madinah
Subscribe

Posts from This Journal “madinah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments