mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Ubah sikap ke arah kebaikan setiap hari

LAZIMNYA banyak orang suka dan sibuk membuat ubah suai rumah tetapi tidak ada yang hendak mengubah suai sikap dengan cara menjaga minda dan mengawal emosi.

Kita perlu memperbaiki diri, mengubah sikap terlebih dahulu daripada sifat buruk kepada baik. Sikap akan menentukan segala-galanya dalam hidup.

Pemerhatian sebagai doktor, saya dapati pesakit mempunyai indeks sifat positif berbeza dengan yang penuh indeks sifat negatif.

Pesakit indeks positif memiliki sifat syukur, murah hati, suka memuji, menghargai, murah senyuman, lemah lembut dan reda.

Justeru, walaupun berdepan dengan penyakit yang berat, penderitaannya dirasakan kurang tetapi pesakit yang banyak indeks negatif tidak berdaya menahan sakitnya.

Sebabnya, sikap negatif seperti mengeluh, kecewa, mudah marah, kedekut, tidak bersyukur, sentiasa tidak berpuas hati menguasai diri.

Penyakit juga mudah merebak kerana tidak mampu melawan serangan kuman dan fizikal disebabkan jiwanya lemah serta mindanya negatif. Alangkah ruginya mereka tidak berusaha melawan sikap negatif dan beralih kepada sikap yang positif.

Ibarat dunia berpusing kita sepatutnya bergerak ke hadapan, bermakna dalam kehidupan kita perlu semakin baik dalam apa juga yang dilakukan.

Celik mata hati

Alangkah ruginya membiarkan masa berlalu dengan sia-sia. Ingatlah, kita tidak mungkin mendapat hari semalam yang berlalu maka setiap hari tanyalah kepada diri, "Macam mana untuk berubah menjadi lebih baik, sihat, penyayang, pemurah dan bertakwa daripada semalam?"

Ubah sikap menjadi seorang yang suka memperbaiki diri dan celik mata hati menjadi hamba Allah SWT yang memiliki seberapa banyak sifat mahmudah serta tinggalkan sifat mazmumah.

Jangan terbuai dengan kehidupan dunia yang melalaikan. Tanpa mata hati yang celik, kita tidak nampak peluang yang perlu direbut di hadapan mata. Justeru, hendaklah tingkatkan kesihatan, kecerdikan minda dan hati dengan memilih hanya perkara positif.

Selain itu, dekatkan diri serta yakin dengan Allah SWT dan kurangkan bergantung kepada manusia. Pada masa sama pelihara hubungan sesama manusia, tingkatkan kecerdasan sosial serta memperbaiki keadaan kewangan.

Islam menggalakkan umatnya mempertingkatkan kedudukan kewangan dengan berusaha mendapat rezeki lebih. Tetapi, niatkan supaya rezeki itu dapat memberi manfaat kepada orang di sekeliling dan menjadikan kita lebih mendekatkan kepada Allah SWT.

Kebahagiaan sebenar

Setiap saat kita hendaklah bersyukur, menggembirakan dan membahagiakan orang lain. Seandainya kita tidak boleh atau tidak mampu membahagiakan orang lain, janganlah jadi penyebab kepada kesedihan mereka.

Kebahagiaan bukan terletak pada wang ringgit semata-mata, memberi kasih sayang juga boleh membahagiakan.

Ada kala disebabkan kurang kasih sayang maka tidak terbuka hati kita untuk menghulur bantuan kepada mereka yang memerlukan dan membahagiakan orang sedang berduka.

Sesungguhnya kebahagiaan tidak dapat dilihat atau dipegang, malah kita tidak tahu di mana tempat terletaknya bahagia itu.

Kekayaan tidak boleh membeli kebahagiaan kerana jika boleh dibeli, sudah tentu kebahagiaan dibolot oleh orang kaya.

Namun, hakikat hidup ini banyak kita lihat orang miskin yang bahagia dengan rezekinya yang sedikit tetapi berkat sementara orang kaya hidup dalam kegusaran serta jauh daripada ketenangan.

Kebahagiaan bergantung bagaimana kita menggunakan kelebihan diri untuk berkongsi nikmat bersama orang lain.

Kongsi kelebihan diri

Contohnya, jika kita cerdik dalam pelajaran, berkongsilah kecerdikan dengan mengajar rakan supaya mereka apa yang dipelajari bersama.

Jangan berasa rugi dan bimbang jika rakan kita juga menjadi cerdik sebaliknya berbahagialah dengan kebaikan dan sifat murah hati itu Allah SWT izinkan semua berjaya.

Seorang doktor jangan hanya berjaya merawat fizikal tetapi hendaklah merawat roh dan jiwa pesakit. Jika kita doktor pakar mata, jangan hanya celikkan mata fizikalnya tetapi celikkan juga mata hati pesakit.

Doktor orang yang paling dipercayai oleh pesakit dan mereka akan mendengar nasihat doktor. Jaga sikap setiap saat, Insya Allah seluruh kehidupan akan baik.

Sebab itu Orang yang suka memperbaiki diri akan suka melihat dirinya. Tanda Allah SWT sayang dan menganugerahkan hidayah kepada seseorang itu adalah apabila kita suka berbuat baik.

Lantaran itu apabila kita telah diberikan hidayah oleh-Nya berdoalah supaya hidayah itu tidak ditarik kembali seperti doa dalam al-Quran, "Wahai Tuhan kami , janganlah Engkau jadikan hati kami cenderung kepada kesesatan setelah engkau berikan petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, kerana sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Pemberi (Kurnia)." (Surah Ali-Imran, ayat 8) Prof Dr Muhaya Mohamad Berita Harian Rencana Ahad, 14 Ogos 2016 @ 8:10 AM  
Tags: kebahagiaan, sikap
Subscribe

Posts from This Journal “kebahagiaan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments