mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Daftar nikah elak kecelaruan nasab, Poligami, besar tanggungjawabnya

Poligami, besar tanggungjawabnya

SEKALIPUN cerita tersebut sudah berlalu lima tahun lamanya, dendam kesumat si ayah kepada anak lelakinya tidak pernah padam. Semua itu gara-gara si anak membuang kasut isteri baharu ayahnya ke dalam sungai semasa ayah membawa ‘madu’ ke kampung untuk diperkenalkan kepada keluarga.

Ihsan, yang ketika itu berusia 13 tahun sememangnya tidak dapat menerima keputusan ayahnya berkahwin lain kerana tahu kedudukan kewangannya yang bukannya kukuh. Sedangkan keluarga yang ada pun nafkah tidak diberi secukupnya, ada hati pula 
si ayah membuka ‘cawangan’ lain.

Ihsan tahu, ibunya Manisah sering menangis apabila ayahnya menyatakan hasrat berkahwin lagi. Tapi dek kerana tidak mahu bercerai khuatir tiada tempat untuk bergantung harap, dia terpaksa merelakannya.

Bukan hanya melunaskan nafkah batin semata-mata


AYAH memainkan peranan penting dalam mencorakkan kebahagiaan keluarga. - GAMBAR HIASAN

Seperti yang diduga, sejak si ayah berkahwin lagi, duit nafkah yang sebelumnya memang tak cukup, kini semakin parah apabila sering sahaja culas. Bukan sebulan dua, malah sehingga enam bulan
tertangguh.

Pernah Ihsan dan ibunya meminta simpati jiran, meminjam sedikit wang untuk membeli beras dan lauk yang telah lama kehabisan.

Apabila diberitahu kepada si suami, mudah sahaja jawapannya, “Isteri aku yang sini lebih memerlukan. Tak lama lagi nak bersalin. Duit nak pakai banyak. Kau pandai-pandai cari duit lain,” katanya melepaskan tanggungjawab.

Menangis lagi si Manisah mengenang nasib diri dan anak-anak. Tanpa mahu terus mengharap, Manisah memberanikan diri menawarkan perkhidmatan menjaga anak-anak jiran. Seorang dibayar RM300, dapat tiga orang, jumlahnya RM900. Tolak duit sewa, RM400, maka tinggallah RM500 untuk keperluan dapur, bil utiliti dan perbelanjaan sekolah anak-anak.

PANDANGAN KAUNSELOR

Ayah, tunggak kehidupan sebuah keluarga. Sesuai dengan sifat kelelakian yang gagah, kuat dan tabah, Allah meletakkan amanah itu kepada kaum Adam untuk mengemudi rumah tangga.

Justeru, lelaki perlu menerima hakikat kejadian mereka adalah sebagai pelindung, penjaga 
dan harapan wanita sebagai tempat bergantung yang meyakinkan.

Namun, rencah kehidupan yang pelbagai membuatkan lelaki terkadang terbuai leka dengan kehendak hawa nafsu.

Keadaan menjadi lebih teruk andai tiada pegangan agama kukuh. Keadaan ini mungkin berbeza bagi mereka yang bukan sahaja bertanggungjawab terhadap amanah Allah, 
bahkan tidak mengetepikan kepentingan beragama dalam kehidupan.

Sebagaimana kisah yang dipaparkan, sekalipun tahu diri tidak mampu berpoligami, runtunan hawa nafsu lebih diutamakan daripada memikirkan soal tanggungjawab berumah tangga.

Inilah sukarnya apabila manusia sengaja mengundang masalah dalam rumah tangga.

Hakikatnya, Islam tidak pernah melarang mana-mana lelaki untuk berpoligami tetapi ukur terlebih dahulu kemampuan diri agar tidak berlaku zalim kepada mana-mana pihak.

Ingatlah, tanggungjawab berumah tangga bukan hanya melunaskan tuntutan nafkah batin, sebaliknya menjaga sebaik mungkin keperluan nafkah zahir yang turut merangkumi soal perasaan dan keadilan.

Selain itu, keperluan asas seperti makan minum, tempat tinggal dan pakaian isteri dan anak-anak perlu mencukupi.

Bahkan, si suami juga bertanggungjawab memastikan keperluan pendidikan anak-anak terurus dengan baik.

Tanggungjawab ini hakikatnya terletak pada bahu suami dan isteri hanya membantu memudahkan urusan tersebut.

Justeru, tanya pada diri, kalau duit untuk urusan diri pun diminta dari isteri, di mana letaknya soal kemampuan untuk menambah ‘cawangan’ sekalipun halal di sisi Islam.

Ingatlah, suami yang takut kepada Allah akan sentiasa berhati-hati dalam apa jua perlakuannya kerana semua ini akan disoal di hadapan Allah kelak.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan diminta bertanggungjawab atas yang dipimpinnya...” - Riwayat Bukhari dan Muslim.

Yang pasti, kegagalan untuk memahami erti tanggungjawab sebagai seorang suami, akan membuatkan institusi keluarga menjadi rapuh..

Justeru, jangan salahkan anak-anak apabila mereka menjadi liar dan terlibat dalam salah laku yang boleh menjatuhkan maruah keluarga serta agama.

Seorang suami atau ayah perlu mempertimbangkan sebaik mungkin apa jua keputusan yang akan dilakukan.

Ini kerana setiap keputusan itu pastinya akan mendatangkan kesan besar kepada kebahagiaan hidup berkeluarga sama ada di dunia mahu pun di akhirat.

TIP KAUNSELOR

1 Hadirlah dalam diri anak-anak dan keluarga. Luangkan lebih banyak masa dengan anak-anak agar kehadiran anda dalam keluarga lebih dihormati.

2 Pekalah dengan perkembangan keluarga. Seorang ayah bertanggungjawab akan sentiasa mengetahui dan memahami apa yang berlaku kepada keluarganya sama ada positif atau negatif.

3 Ayah disayangi dan menjadi idaman keluarga ialah seorang yang memberikan pelajaran penting tentang kehidupan terutama persediaan untuk menghadapi dugaan dan cabaran dihadapi di luar jangka.

4 Ayah yang penyayang sentiasa mengambil peluang untuk berkomunikasi secara dua hala dengan keluarga bagi mendapatkan dan memberi maklumat penting. Komunikasi ayah yang berkesan akan meninggalkan ilmu kepada anak sebagai panduan penting bagi meneruskan kehidupan lebih baik di masa hadapan.

5 Sebagai individu yang sibuk dengan tanggungjawab, seorang ayah perlu memastikan jadual sehariannya tidak terlepas daripada bertemu dengan keluarga. Setiap detik pertemuan akan membuahkan bibit indah dan kenangan sentiasa dinantikan oleh keluarga.

6 Ayah yang bijak akan memberi kepercayaan kepada ahli keluarganya untuk bersama-sama memikul tanggungjawab membahagiakan keluarga.

Daftar nikah elak kecelaruan nasab

SETIAP perkahwinan orang Islam di negara ini mesti diakadnikahkan mengikut hukum syarak. Ini kerana pernikahan menjadi asas kepada hak orang berkahwin dan zuriat yang bakal dilahirkan daripada perkahwinan tersebut.


SETIAP pernikahan perlu didaftarkan bagi menjaga kemaslahatan nasab dan mengelakkan daripada kecelaruan kemudian hari. - GAMBAR HIASAN

Semua perkahwinan orang Islam di Malaysia mesti didaftarkan dan proses pendaftaran mengikut enakmen negeri masing-masing.

Misalnya di Selangor, menurut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2003, sebelum suatu perkahwinan itu didaftarkan pasangan perlu membuat beberapa perkara untuk membolehkan majlis akad nikah dapat dijalankan mengikut hukum syarak.

Ini termasuk mengisi borang yang ditetapkan. Di Selangor, diperuntukkan dalam seksyen 16, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 seperti berikut, antaranya:

1. Permohonan kebenaran berkahwin bagi kariah masjid di mana pihak pengantin perempuan bermastautin.

2. Jika pihak lelaki bermastautin di kariah masjid berlainan daripada pihak perempuan, dia perlu menyertakan kebenaran tersebut daripada kariah masjidnya atau pihak berkuasa bagi negerinya.

3. Permohonan setiap pihak perlu disampaikan kepada pendaftar (imam mukim) sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum tarikh dicadangkan bagi perkahwinan itu.

Tujuan utama permohonan kebenaran ini ialah untuk memastikan perkara-perkara berikut:

1. Pasangan yang ingin berkahwin merupakan pasangan yang layak berkahwin secara sah.

2. Jika lelaki yang telah berkahwin, permohonan untuk berpoligami telah dibuat di Mahkamah Syariah dan jika pengantin lelaki belum berkahwin, dia perlu disahkan bujang oleh seseorang yang boleh berbuat demikian.

3. Wali yang akan mengahwinkan pasangan adalah wali yang sah.

Mengikut seksyen 22 enakmen itu:

1. Selepas sahaja akad nikah perkahwinan, pendaftar hendaklah mencatatkan butir-butir yang ditetapkan termasuk taklik yang ditetapkan

2. Catatan itu hendaklah disahkan oleh wali, dua orang saksi, selain daripada pendaftar yanghadir semasa perkahwinan itu.

3. Catatan itu hendaklah ditandatangani oleh pendaftar itu.

Menurut seksyen 26 enakmen itu:

1. Selepas mendaftarkan sesuatu perkahwinan, pendaftar hendaklah mengeluarkan surat perakuan nikah kepada kedua-dua pihak dalam perkahwinan itu termasuk surat perakuan takliq.

Bagi pasangan yang bernikah di luar negara, perkahwinan tersebut mesti mengikut:

1. Seksyen 24, iaitu dilangsungkan di Kedutaan atau Suruhanjaya Tinggi atau Pejabat Konsul Malaysia dan memenuhi kriteria yang sama.

Jika pasangan bernikah di tempat lain, mereka perlu mendaftarkan perkahwinan dalam tempoh enam bulan di kedutaan atau tempat orang Islam terdekat.

Jika pasangan kembali ke Malaysia selepas pernikahan, mereka perlu mendaftarkannya dalam tempoh enam bulan selepas kembali ke Malaysia di mukim tempat mereka mastautin atau mana-mana tempat yang mereka tiba di Selangor.

Jika melibatkan perkahwinan luar bidang kuasa atau berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah Syariah, maka pihak pendakwa syarie akan mengambil tindakan terhadap pasangan kerana bernikah tanpa kebenaran mahkamah. Pasangan boleh dikenakan denda hingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Perlu waspada

Pada zaman yang mana terlalu banyak sindiket perkahwinan dan pernikahan melanggar hukum syarak, dan akhirnya didapati tidak sah, pasangan yang bernikah di luar negara perlu berhati-hati demi menjaga kepentingan agama dan keutuhan kehidupan berkeluarga.

Tersilap langkah pernikahan tidak sah menjadi penzinaan dan perkahwinan di luar negara yang tidak berdaftar boleh mengakibatkan persoalan timbul terhadap kesahan nasab anak kerana pernikahan dikhuatiri tidak sah.

Biasanya apabila pernikahan di luar negara tidak didaftarkan, jika pasangan mendapat anak, pihak Jabatan Pendaftaran Negara tidak meletakkan nama bapa sebagai bapa anak, kecuali setelah mendapat surat nikah dari pejabat agama Islam yang menyiasatnya. Pendaftaran perkahwinan sangat penting untuk menjaga nasab dan kesucian perkahwinan itu sendiri.

Tags: batin, kahwin, nafkah, nafsu, nasab, nikah
Subscribe

Posts from This Journal “nikah” Tag

  • Friday Sermon Text Simplify Marriages

    Friday Sermon Text 16 December 2016AD / 16 Rabiulawal 1438H JAWI Simplify Marriages Marriage has been prescribed by Allah SWT to enable a person…

  • Daftar cerai online

    IKATAN pernikahan dijalinkan dengan impian untuk hidup bahagia seumur hidup. Daripada perkahwinan maka akan lahirlah zuriat yang diharap membesar…

  • Jangan campur urusan Allah

    APABILA berjumpa kawan lama, soalan seperti, “kawan-kawan kita semua dah kahwin, engkau bila lagi?”, merupakan antara pertanyaan panas…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments