mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Hayati bacaan talbiah

HAKIKATNYA, bacaan talbiah selepas niat haji (atau umrah) adalah sebagai tanda seseorang individu Muslim berkenaan menyahut panggilan Allah SWT untuk menyempurnakan ibadat Haji.

Panggilan Allah SWT itu bertepatan dengan firman-Nya dalam surah al-Baqarah:196 bermaksud, “Dan tunai atau sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah.”

Bacaan talbiah: “Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Ya Allah hamba-Mu datang memenuhi panggilan-Mu, ya Allah. Engkau yang tiada sekutu bagi-Mu dan kami memenuhi panggilan-Mu, Sesungguhnya segala pujian dan nikmat serta kerajaan adalah kepunyaan-Mu, tiada sekutu bagi-Mu.”

Supaya mendapat ganjaran Haji Mabrur


IBADAT Haji bukan untuk mencari kelainan tetapi mencari ketaatan kepada Allah SWT. REUTERS.

Bagi pensyarah Pengurusan Tabung Haji, Haji dan Umrah di Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Lukmanul Hakim Hanafi, bacaan talbiah 
itu bukannya satu ungkapan biasa.

TULIS nama pada batu bukan cara untuk cari keredaan Allah SWT. GAMBAR HIASAN

“Kalau diteliti bacaan talbiah itu boleh disimpulkan kepada empat perkara yang sebenarnya ditegah dilakukan oleh jemaah haji iaitu “aku datang (sahut panggilan haji) dengan tidak membawa pujian, nikmat, kekuasaan dan menyekutu-Mu.”

“Sebab itulah bila baca talbiah, bukan ala kadar tetapi kena hayati betul-betul agar terkesan pada jiwa dan hati kita,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Namun, Lukmanul Hakim, yang mempunyai pengalaman berpuluh tahun menjadi pembimbing haji, menyatakan bahawa masih ramai dalam kalangan jemaah haji Malaysia mengamalkan sikap acuh tak acuh dengan bacaan itu.


KELAMBU Kaabah turut menjadi tumpuan jemaah Haji kerana kononnya ada keberkatan. GAMBAR HIASAN.

“Ada yang membacanya sekadar mengikut orang lain atau ala kadar sahaja. Tanpa penghayatan sedemikian, ada dalam kalangan jemaah Haji tergamak melakukan perkara-perkara yang ditegah dan lebih teruk lagi membabitkan amalan khurafat atau menyekutukan Allah SWT,” katanya.

Antara amalan khurafat yang sering dilakukan adalah memeluk tiang jin dalam Masjidilharam dan melakukan tawaf di Kaabah sambil membawa duit, kismis dan air zamzam.

Ada juga menulis nama pada dinding Kaabah, mencari cebisan kelambu Kaabah, mencuri tali khemah dan mencari kerak nasi semasa berada di Padang Arafah dan menanam tujuh biji batu di Mina.

Katanya, difahamkan tujuan melakukan amalan khurafat itu bagi memperoleh kerahmatan dan keberkatan Allah SWT untuk diri dan kaum keluarga, saudara mara serta kawan-kawan.

“Semuanya itu sebenarnya adalah bisikan syaitan kerana makhluk Allah SWT itu cukup bersedih bila ada manusia terdetik di hati untuk mengerjakan haji, seterusnya mendapat pahala Haji Mabrur.

“Balasan untuk Haji Mabrur hanyalah syurga dan dengan kata lain, semua dosa-dosa lalu diampunkan oleh Allah SWT. Dia bagaikan bayi yang baharu dilahirkan,” kata Lukmanul Hakim.

Tags: haji
Subscribe

Posts from This Journal “haji” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments