mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Jangan campur urusan Allah

APABILA berjumpa kawan lama, soalan seperti, “kawan-kawan kita semua dah kahwin, engkau bila lagi?”, merupakan antara pertanyaan panas sering diajukan. Apabila telah berkahwin, ini pula soalannya, “eh, bukan engkau yang kahwin dahulu, orang lain dah beranak-pinak, kenapa kau masih berdua?”

Kononnya mahu bersikap ramah atau tiada ‘modal’ hendak dibualkan, pelbagai pertanyaan lain turut disentuh tanpa mengambil kira sensitiviti atau hal peribadi. Ini mungkin kerana beranggapan rakan itu adalah kawan akrab yang mudah dibawa bergurau.


PERKAHWINAN dan zuriat merupakan urusan Allah SWT yang tidak sepatutnya dipersoalkan. - GAMBAR HIASAN

Tidak dinafikan, kadang kala berhasil memecah kesunyian dengan membuka topik perbualan baharu, namun sedar atau tidak perkara yang dibangkitkan sehingga menjadi bahan gelak tawa itu hakikatnya telah melampaui batas.

Hendak dikatakan tidak tahu, sejak dari kecil lagi sama ada di sekolah atau rumah, cikgu dan ibu bapa berulang kali berpesan jodoh, rezeki dan ajal maut terletak di tangan Allah. Namun, berapa ramai dalam kalangan kita yang benar-benar yakin dengan ketentuan Qada dan Qadar itu.

“Sekadar bergurau tak kan tak boleh”. Memang Islam tidak menghalang umatnya untuk bergurau, malah Rasulullah SAW sendiri pernah bergurau bersama sahabatnya. Tetapi, perkara yang membabitkan pegangan akidah kepada Allah SWT bukan perkara yang boleh dipandang remeh.

Secara kita tidak sedar, gurauan itu bukan sahaja boleh menjejaskan iman, tetapi persahabatan yang terjalin bertahun lamanya mungkin boleh terputus dengan jenaka tidak bertempat itu.

Begitu juga soal rezeki. Saya pernah ditanya, “berapa anggaran peruntukkan untuk seorang anak, mampukah jika dengan pendapatan sebegini dalam keadaan kos hidup semakin tinggi?”

Alasan belum bersedia dan tidak berkemampuan untuk membesarkan anak sering membuatkan segelintir pasangan mengambil langkah merancang kehamilan. Sekali fikir ada benarnya, “tak kan nak bagi anak makan pasir?”

Tahukah kita, menurut pendapat ulama, hukum menjarakkan anak kerana takut ketiadaan rezeki untuk menyara anak adalah haram. Ini sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut kemiskinan, Kami (Allah) akan memberi rezeki kepadamu dan kepada mereka,” (al-An’am: 151)

Sebaliknya, kita sebagai umat Islam perlu sibuk dengan urusan sendiri dan bukannya urusan Allah.

Ini adalah dengan melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin sama ada sebagai suami kepada isteri, anak-anak kepada ibu bapa, pekerja kepada majikan dan paling utama hamba kepada Penciptanya.

Inilah urusan yang menjadi tanggungjawab dan amanah utama perlu kita dititikberatkan sama ada telah diselesaikan atau tidak. Biarlah segala urusan Allah SWT sama ada jodoh, rezeki atau ajal maut itu terus menjadi rahsia-Nya tanpa kita cuba mempersoalkannya.

Bagaimanapun, Allah SWT mengingatkan manusia dalam surah ar-Ra’d: 11: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa yang pada diri mereka,” juga perlu dijadikan iktibar.

Umat Islam tidak boleh bersikap hanya ‘goyang kaki’ dengan alasan jodoh, rezeki atau ajal maut telah ditentukan Allah.

Sebaliknya perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan sesuatu yang diingini sambil disertakan dengan doa dan tawakal.

Sedangkan Nabi Muhammad SAW yang merupakan kekasih Allah pernah tercedera dan sahabat baginda terkorban dalam peperangan demi menegakkan Islam, begitu juga kita perlu berusaha dengan tidak menyerahkan kepada takdir sepenuhnya.

Oleh itu, persoalan “mengapa aku tidak pernah murah rezeki”, perlu ditukar kepada, “bila kali terakhir aku bangun malam untuk bertaubat dan menitiskan air mata memohon pertolongan keberkatan rezeki daripada Allah SWT.”

-
Tags: kahwin, nikah
Subscribe

Posts from This Journal “nikah” Tag

  • Friday Sermon Text Simplify Marriages

    Friday Sermon Text 16 December 2016AD / 16 Rabiulawal 1438H JAWI Simplify Marriages Marriage has been prescribed by Allah SWT to enable a person…

  • Daftar cerai online

    IKATAN pernikahan dijalinkan dengan impian untuk hidup bahagia seumur hidup. Daripada perkahwinan maka akan lahirlah zuriat yang diharap membesar…

  • Kenang selalu saat manis disatukan

    PERCERAIAN sesuatu yang dibolehkan tetapi tidak disukai Allah SWT. Penyelesaian kepada masalah ini perlu melihat. puncanya dari segi faktor luaran…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments