mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Tanggungjawab Lelaki Terhadap Wanita ”

Petikan Khutbah Jumaat 02 Septermber 2016 JAIS

“Tanggungjawab Lelaki Terhadap Wanita ”

Lelaki dijadikan oleh Allah SWT sebagai pemimpin. Dibahu merek amempunyai tugas dan tanggungjawab yang cukup besar.

Dikepala mereka dibebani dengan amanah yang berat untuk dipikul iaitu memelihara wanita seperti mana firman Allah dalam surah an-Nisa’ ayat 34 yang dibacakan dipermulaan khutbah tadi yang bermaksud; “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang jais.jpgbertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orangorang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka...”.

Lelaki yang baik adalah lelaki yang menghormati dan meninggikan darjat wanita. Besarnya tanggungjawab lelaki hingga segala tanggungjawab ke atas wanita dipikulkan ke atas bahunya.

Wanita diangkat tinggi darjatnya dalam Islam sekaligus memiliki banyak keistimewaan dan lebih unggul dibandingkan lelaki. Bahkan terdapat satu surah dalam Al-Qur’an yang mengkhususkan perihal wanita yang dinamakan dengan surah “An-Nisa”. Rasulullah SAW juga menjanjikan syurga sebagai satu khabar gembira kepada wanita yang mencukupi syarat-syarat tertentu untuk masuk syurga.

Hadis daripada Abdul Rahman Bin Auf RA bahawa Rasulullah SAW bersabda;  “Jika seorang wanita menjaga solat lima waktu, berpuasa sebulan (di bulan Ramadhan), serta menjaga kemaluannya (dari perbuatan zina) dan benar-benar taat pada suaminya, maka dikatakan pada wanita yang memiliki sifat mulia ini, “Masuklah kedalam surga melalui pintu mana saja yang engkau suka”. (Riwayat Ibnu Hibban).

Wanita juga memainkan peranan penting dalam penyebaran agama Islam. Lihat sahaja contoh manusia pertama yang memeluk Islam selepas baginda Rasulullah SAW ialah Ummul Mukminin Saidatina Khadijah, manakala wanita pertama yang mati syahid dalam Islam pula ialah Sumayyah.

Begitu juga dengan wanita-wanita lain yang dimuliakan di dalam Islam seperti ibu Baginda sendiri iaitu Siti Aminah dan isteri Firaun yang bernama Asiah serta perihal ratu Balqis yang mana kisah mereka dicatatkan dalam lembaran ayat suci al-Quran.

Justeru itu menurut Islam, seorang lelaki akan dipertanggungjawabkan terhadap 4 golongan wanita di akhirat kelak, antaranya;

1. Ibunya.

Rasulullah SAW telah menetapkan bahawa Islam amat mengutamakan si ibu sebagai insan yang layak menerima segala layanan yang terbaik dari setiap anak-anaknya. Ini kerana segala pengorbanan yang ditanggung oleh ibu sepanjang tempoh kehamilan diikuti dengan proses melahirkan, kemudian memelihara untuk membesarkan kita adalah satu tempoh yang amat sukar.

Namun begitu, ia berjaya diatasi dengan sebab rasa kasih sayang yang mendalam dalam diri si ibu berserta sokongan dari si bapa.

Jelaslah bahawa terlalu banyak jasa dan pengorbanan oleh ibu, maka selayaknyalah ibu diberi penghormatan yang begitu tinggi, ini tepat sekali dengan hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah SAW dan berkata; Wahai Rasulullah, siapakah insan yang paling utama aku berbuat baik kepadanya? Baginda bersabda; Ibumu. Lelaki itu bertanya lagi, kemudian siapa? Baginda menjawab; Ibumu. Lelaki itu bertanya lagi; kemudian siapa? Baginda menjawab; Ibumu. Lelaki bertanya lagi; kemudian siapa? Baginda menjawab; Bapamu”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

2. Isterinya.

Dalam menjalani kehidupan berumahtangga, lelaki ialah ketua keluarga sesuai dengan fitrah kejadiannya yang lebih gagah dan beberapa kelebihan lain berbanding wanita.

Tanggungjawab suami atau lelaki sebagai ketua (pemimpin) kepada perempuan ditegaskan oleh Allah melalui firman-Nya dalam surah at-Tahrim ayat 6; “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan-bahan bakarannya ialah manusia dan batu (berhala). Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya). Mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan”.

Islam mensyaratkan lelaki sentiasa menjadi pelindung dan berbuat baik terhadap wanita. Sebagai pemimpin, lelaki dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan, kebajikan dan menyediakan keperluan hidup untuk isteri dan anak mereka. Oleh itu, para suami hendaklah melaksanakan tanggungjawab dan tugas mereka dengan amanah supaya rumahtangga mereka akan lebih mantap dan kukuh.

3. Anak perempuannya.

Apabila seorang lelaki diberikan amanah berbentuk cahaya mata, maka bertambahlah juga tanggungjawab yang perlu dipikul. Fungsi mendidik anak sememangnya terletak pada bahu seorang bapa, manakala ibu sebagai pendokong dan penyokong utamanya. Lebih-lebih lagi anak perempuan yang memerlukan pendekatan dan pendidikan yang berbeza dari anak lelaki kerana sifat dan perasaan mereka yang lembut dan lebih sensitif.

Inilah yang dibayangkan oleh Rasulullah SAW melalui hadisnya sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda;“Berwasiatlah untuk para wanita kerana sesungguhnya wanita itu diciptakan dari tulang rusuk dan yang paling bengkok dari bahagian tulang rusuk adalah bahagian atasnya. Jika engkau ingin meluruskan tulang rusuk tersebut maka engkau akan mematahkannya, dan jika engkau membiarkannya maka ia akan tetap bengkok, maka berwasiatlah untuk para wanita”.

Oleh itu, didiklah anak perempuan dengan baik dan fahamkan mereka dengan tanggungjawab-tanggungjawab yang mereka harus pikul sebagai wanita islam seperti solat, menjaga aurat dan batas-batas pergaulan. Usah terpedaya dengan hambatan nafsu dunia yang melalaikan sedangkan hakikatnya akhirat dan syurga yang abadi lebih indah dari fatamorgana dunia.

4. Saudara perempuannya.

Apabila ayah mahupun suami telah meninggal dunia, maka adalah menjadi kewajipan bagi saudara-saudara lelaki untuk mengawasi dan memelihara maruah saudara-saudara perempuan mereka seperti mereka memelihara maruah anak dan isteri mereka sendiri. Ini selaras dengan tuntutan Allah SWT melalui firman-Nya dalam surah asy-Syuara’ ayat 214; “Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat”.

Oleh itu, kaum lelaki mestilah mengambil tanggungjawab mendidik, membimbing dan melindungi saudara-saudara perempuan dan anak-anaknya

 Berdasarkan penerangan tersebut, jelaslah bahawa peranan dan tanggungjawab lelaki dalam mendidik dan membimbing wanita amatlah berat.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, khatib sekali lagi mengajak tuan-tuan sidang Jumaat sekalian supaya;

1. Kaum muslimin hendaklah menyedari bahawa Allah SWT memberikan tanggungjawab ke atas mereka untuk mendidik dan membimbing kaum wanita dengan amanah dan toleransi.

2. Umat Islam janganlah memandang rendah, meremeh dan menafikan hak-hak wanita.

3. Kaum muslimin hendaklah memberi bimbingan agama yang betul kepada wanita khususnya dalam mendirikan ibadat solat.

“Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertaqwa.”. (Tohaa ; 132)
Tags: khutbah, lelaki, tanggungjawab, wanita
Subscribe

Posts from This Journal “tanggungjawab” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments