mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kebangkitan Islam di Malaysia tumpu penguasaan ilmu

KEBANGKITAN Islam atau 'Islamic resurgence' yang dalam istilah Arabnya ialah al-sahwah al-islamiah, secara mudahnya dapat difahami sebagai satu semangat kesedaran dan kebangkitan umat untuk kembali kepada ajaran Islam tulen seperti dijelaskan oleh al-Quran dan al-Sunnah, iaitu sebagai satu sistem hidup yang lengkap.

Hal ini dicetuskan oleh kesedaran masyarakat Islam bahawa umat Islam sudah begitu lama diselewengkan oleh penjajahan Barat sehingga mereka tenggelam dalam pemikiran dan gaya hidup sekular, yang menjadi hamba abdi kepada keruntuhan moral dan akhlak.

Yang dijajahi pemikiran mereka kerana sistem Barat yang memisahkan agama daripada kehidupan, sama ada dalam dunia pendidikan, perekonomian, politik, sosial dan sebagainya.
Semangat ini timbul sekitar 1970-an yang dicetuskan beberapa proses perubahan yang menyedarkan umat Islam mengenai kekuatan mereka dan kemampuan umat ini, yang selama ini tidak mereka sedari.

Revolusi Iran yang menumbangkan Dinasti Shah Iran yang gagah perkasa dan yang sentiasa ditunjangi Amerika Syarikat, kemenangan Arab dalam satu peperangan dengan Israel buat kali pertama pada 1974, kegawatan Barat dengan ugutan Al Malik Faisal untuk mengenakan sekatan minyak kepada Barat dan kesedaran umat Islam untuk menunaikan ibadat, termasuk bilangan jemaah haji yang bertambah dengan amat ketara sehingga berjumlah jutaan orang pada ketika itu.

Semua ini, memberi kesedaran kepada umat Islam bahawa mereka sebenarnya boleh berdiri sendiri sebagai umat yang kuat dan mempunyai kemampuan bersaing dengan umat yang lain sekiranya mereka bersatu dan bersepakat menggunakan sumber kekayaan mereka.

Sistem pendidikan Islam moden

Pada 1977, Kongres Pendidikan Islam Sedunia diadakan di Makkah secara serius dan bermakna yang disertai sarjana Islam dari dunia Islam dan Barat.

Hasil kongres itulah beberapa resolusi penting dikeluarkan untuk membawa sistem pendidikan Islam kepada satu sistem moden yang dinamik dan berkesan bagi mengeluarkan sarjana dan pemikir Islam yang menguasai ilmu dunia dan akhirat secara sepadu.

Berikutan hasil kongres ini, maka diputuskan supaya dunia Islam berusaha mendirikan pusat pengajian Islam berdasarkan konsep sepadu dalam ilmu dan pendidikan, mengikut kerangka mengislamisasikan ilmu pengetahuan.

Kerajaan Malaysia mengambil resolusi kongres itu dengan penubuhan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) sekitar awal 1970-an, iaitu berdasarkan perakuan mengenai konsep ilmu dan pendidikan Islam yang dirumuskan oleh kongres berkenaan.

Hal ini adalah satu keistimewaan negara kita dalam mengisi erti kebangkitan Islam. Ini sekurang-kurangnya sebagai satu model kebangkitan Islam yang moden dan sesuai dengan era globalisasi yang mula mencelarukan pemikiran umat Islam pada ketika itu.

Dalam agenda kebangkitan Islam dan semangat kembali kepada Islam ini, keghairahan untuk kembali kepada Islam sebagai 'satu sistem hidup yang lengkap' menimbulkan beberapa pentafsiran yang samar dan tidak berdasarkan kerangka ilmu pengetahuan Islam sebenarnya.

Konsep 'jihad' umpamanya disalahtafsirkan oleh kalangan tertentu sebagai peperangan bersenjata untuk menghapuskan elemen kekufuran yang menentang Islam dan umatnya.

Malah institusi fatwa disalahgunakan apabila pengeluaran fatwa diambil alih oleh beberapa kumpulan radikal dan institusi pendidikan seperti institusi 'madrasah' yang wujud di negara Islam tertentu.

Hal inilah yang berlaku dan membuka peluang kepada dunia Barat, khususnya Amerika Syarikat, yang muncul sebagai satu-satunya kuasa besar dunia dan mengambil peranan sebagai 'polis dunia' untuk bertindak menduduki dan menyerang 'semangat' kebangkitan Islam yang dianggapnya 'musuh' sejagat.

Teori perangi keganasan

Ia menjatuhkan kerajaan pimpinan orang Islam secara amat tidak bertamadun dan mulalah timbul gagasan teori 'Al-Qaeda' 'Pengganas Islam', 'Mujahidin' dalam bentuk pengganas dan sebagainya.

Atas teori 'memerangi keganasan' inilah pihak penjajahan Barat dalam bentuk baharu itu dapat menguasai dunia Islam, khususnya di Asia Barat yang kaya dengan hasil minyak.

Tetapi di Malaysia, kebangkitan Islam di sini tidak melahirkan pengganas, pertubuhan Islam radikal dan jauh sekali daripada mengeluarkan 'tentera' yang berjuang untuk melaksanakan 'agenda' jihad 'Al-Qaeda' dan sebagainya.

Pertubuhan bukan kerajaan yang lahir adalah institusi yang bergerak secara aman dan damai, diwujudkan di kalangan pelajar pusat pengajian tinggi, pertubuhan belia, dan lain-lain lagi yang bergerak untuk mendidik umat Islam dalam memahami Islam dan merealisasikannya di dalam negara moden ini.

Oleh itu, sebarang kemunculan gerakan berbentuk radikal seperti 'Al-Ma'unah' yang berdasarkan perjuangan bersenjata, atau yang menjurus kepada taksub serta fanatik agama seperti 'Al-Arqam', segera dihapuskan oleh kerajaan supaya bibit-bibit penyelewengan dan kekerasan itu, tidak membiak di negara kita.

Malah, perkembangan terakhir dibawa gerakan IS atau Daesh yang berdasarkan kekerasan dan keganasan haruslah diperangi dengan pelbagai bentuk yang ada pada kita iaitu di dalam bentuk intelektual, kebijaksanaan atau hikmah, keilmuan dan komunikasi berkesan serta model terbaik di antara pemerintah dan rakyat.

Ini supaya Malaysia akan terus kekal sebagai negara Islam yang memperjuangkan agenda dinamik, bertamadun dan harmoni dalam menghayati Islam ini, agar imej Islam yang disalah mengerti dan diberikan gambaran salah oleh media dan masyarakat Barat, haruslah tidak dihubungkan dengan imej Islam di negara kita ini, kerana Islam di Malaysia mempunyai imej yang amat positif dan dinamik.
Tags: ilmu, islam, kuasa
Subscribe

Posts from This Journal “ilmu” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments