mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Ibadah korban tiada sempadan, Raya Korban, 
lembu korban

Pada 12 September depan umat Islam akan menyambut Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban. Bagi menghayati erti sebenar Hari Raya Aidiladha ini juga, umat Islam, akan melaksanakan amalan korban haiwan tertentu pada tanggal 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Setahun sekali umat Islam tidak melepaskan peluang untuk melakukan ibadah korban ini. Ibadah ini juga sempena mengingati peristiwa agung antara Nabi Ibrahim as dan anaknya Nabi Ismail as.

Amalan ini yang dilakukan setiap tahun oleh umat Islam yang tidak dapat menunaikan haji. Kita mengerjakan amalan menyembelih haiwan ini sama ada di Malaysia atau mana-mana negara yang difikirkan sesuai.

Biasanya pada Hari Raya Korban ini kebanyakan orang Islam memilih lembu untuk dikorbankan. Sebab itu tiap-tiap tahun berpuluh ekor lembu jantan disembelih di kawasan masjid atau surau.


Harga lembu untuk ibadah korban dahulu RM 2,000 seekor kini meningkat dua kali ganda. – Gambar hiasan

Menunaikan amalan berkorban ini satu hal, trend kenaikan harga lembu pun satu hal yang tidak boleh diserah sebagai takdir. Sebenarnya dalam hal ini kita mampu mengubahnya. Ibadah korban tidak patut berkurangan akibat kos yang mahal.

Semua ini bermula kerana bekalan lembu tempatan kurang dan tidak mencukupi, jadi banyak bekalan lembu diimport dari Thailand dan Australia.

Kalau tahun 2014, harga lembu import dari Thailand ialah RM2,500 seekor, dan tahun 2015 naik RM4,000 seekor, berapa harga untuk tahun 2016?

Sama dengan tahun lalu, harga lembu import meningkat antara RM4,000 hingga RM4,500 seekor bergantung kepada saiz berbanding RM2,000 hingga RM3,000 seekor pada tahun-tahun sebelumnya.

Jadi jangan terkejut jikalau beberapa tahun lagi harga lembu korban di Malaysia akan mencecah RM5,000 atau RM6,000 seekor.

Kalau pada harga RM4,000 sekarang satu bahagian lembu berharga RM600, maka kos untuk menunaikan korban akan terus meningkat. Apa tindakan kerajaan atau kementerian berkenaan dalam hal ini. Biarkan sahaja kuasa pasaran menentukan harga atau mencari jalan untuk menangani kenaikan itu? Atau berusaha mencari harga lebih murah daripada sekarang.

Oleh itu, kita merayu kepada kerajaan untuk mencari jalan bagi menangani masalah ini terutama mengelakkan daripada kebergantungan kepada lembu import. Kerajaan juga perlu mengembalikan kestabilan nilai ringgit yang menjadi antara faktor harga lembu import mahal.

Hakikatnya, kerajaan terpaksa mengimport lebih 700,000 ekor lembu setiap tahun membabitkan peruntukan lebih RM1.4 bilion. Tanganilah juga masalah monopoli dalam industri pengimportan lembu ini yang menjadi punca kenaikan harga haiwan ternakan berkenaan.

Hasrat umat Islam Ma­laysia untuk menjalankan ibadah korban terutama lembu tidak patut disekat atas faktor harga.

Pada saya kerajaan ti­dak boleh lepas tangan mem­biarkan trend kenaikan harga lembu pada musim kor­ban ini berlarutan. Agak menghairankan ke­­napa harga lembu kor­­ban di Indonesia, Bang­la­desh, Kemboja dan se­­bagainya jauh lebih murah berbanding negara kita. Sebagai contoh per­bandingan antara harga satu bahagian lembu di Malaysia (RM600/ baha­gian) dengan harga di Kemboja (RM350/baha­gian).

Jika trend harga lembu ini berterusan, ki­ta boleh jangkakan pa­da masa akan datang bi­langan umat Islam di Malaysia hendak me­nunaikan ibadah kor­ban berkurangan. Sekarang pun kita boleh mendengar keluhan orang ramai yang mengeluh kerana tidak mampu untuk menampung kos satu bahagian lembu.

Harga lembu korban setiap tahun naik. Saya masih ingat untuk beberapa lama harga satu bahagian (1/7) lembu dahulu baru berharga RM250. Tetapi hanya beberapa tahun lalu harganya naik RM350, kemudian RM450, dan naik lagi RM550.

Untuk tahun 2016, kebanyakan tempat saya dapati sudah mencecah RM600 untuk satu bahagian. Maknanya untuk seekor lembu korban akan berharga: RM600 x 7 bahagian = RM4,200.

Ada yang tak kisah berapa kena bayar, yang penting ikhlas dalam mengerjakan ibadah korban. Walau bagaimanapun, harga satu bahagian lembu di sesetengah kawasan berbeza-beza disebabkan tiga faktor iaitu kos pengurusan, timbangan berat setiap ekor lembu dan logistik.

Apa yang sangat penting ialah lembu itu mengikut syarat-syarat haiwan yang boleh dijadikan korban haji. Syarat sah korban hendaklah binatang yang diqurbankan itu tidak mempunyai sebarang kecacatan yang menyebabkan kekurangan kuantiti dagingnya ataupun menyebabkan kemudaratan terhadap kesihatan.

Sebenarnya tak kisahlah berapa pun harga bagi satu bahagian lembu tersebut. Yang penting niat kita hendak melakukan ibadah korban dan akikah diterima oleh Allah SWT. Kalau kita mampu, kita sertailah mana-mana aktiviti korban dan akikah yang terdapat di kawasan kita.

Kalau rasa tak mampu nak bayar mahal, tetapi ada keazaman nak laksanakan ibadah korban dan akikah, boleh cuba cari yang murah. Sekarang nak cari yang murah tak susah, sebab kita boleh lakukan korban di negara orang yang lebih memerlukan.

Ibadah korban tiada sempadan

TIDAK hanya di Malaysia, Hari Raya Aidiladha pastinya dinantikan umat Islam seluruh dunia. Lebih-lebih lagi keseronokan bersama-sama menjalankan ibadah korban hanya dapat dilakukan setahun sekali.

Bagaimanapun, apa yang menyedihkan kenikmatan yang dirasai umat Islam di sini tidak sama dengan mana-mana umat Islam yang tergolong dalam kelompok fakir miskin, khususnya di luar negara.

Ini kerana majoriti umat Islam di negara berkenaan tidak sesenang umat Islam di sini.

Optimis menjalankan ibadah korban di luar negara, badan bukan kerajaan (NGO), Al Khalif World memasuki tahun ketiga melakukan ibadah tersebut di Kemboja.

Pengurus badan kebajikannya, Nor Afif Rahimi berkata, pihaknya menyasarkan penduduk Islam di bumi Kemboja kerana mereka antara kelompok yang memerlukan nikmat korban ini.

“Tetapi apa yang menyedihkan saya apabila tiada sebarang peruntukan yang disalurkan bagi membantu masyarakat Islam di sana. Mereka juga sebenarnya hanya mengharapkan bantuan daripada pihak luar bagi membantu dalam urusan dakwah, pendidikan dan sebagainya.

Jika dibandingkan dengan negara kita, kerajaan menyediakan pelbagai bantuan bagi membanteras golongan miskin tegar ini, kerana itu pihak kami terpanggil bagi menjayakan beberapa program khususnya ibadah korban di sana,” katanya.

Jelasnya, memilih Kemboja sebagai destinasi pertama pelaksanaan program adalah disebabkan faktor keperluan berbanding kita di bumi bertuah Malaysia ini.

"Secara jujurnya saya tidak menafikan bahawa masih ramai lagi golongan fakir miskin di Malaysia. Tetapi kerajaan Malaysia sendiri tidak mengabaikan mereka dengan menubuhkan pelbagai agensi dan NGO sokongan bagi membantu dan membanteras golongan miskin tegar di Malaysia.

“Berbanding dengan saudara kita di bumi Kemboja yang masih jauh ketinggalan dan ditinggalkan. Mereka lebih susah dan fakir daripada apa yang saya dapat perhatikan. Islam tidak mengajarkan kita untuk meletakkan sempadan dan hanya memilih untuk golongan yang tertentu sahaja. Dengan pendapatan purata 100 USD bagi seisi keluarga (setahun) di kemboja, mereka pastinya lebih memerlukan.

“Kemboja masih terikat dengan penggunaan wang asing yakni USD dan mereka amat terbeban dengan kos-kos sara hidup di sana yang mana masih mengamalkan sistem sara diri bagi meneruskan kehidupan mereka,” katanya.

Al Khalif World turun padang ke Pedalaman di wilayah Tebum Kemom, di mana sebenarnya di wilayah majoriti penduduknya beragama Islam.

“Bagi tujuan korban tahun ini kami melaksanakannya di Kampung Bom Prol dan kampung ini akan dijadikan sebagai pusat penyembelihan dan pengedaran ke kampung-kampung yang lain di dalam Wilayah Tebum Kemom.

“Program ini akan dilaksanakan secara gotong-royong dengan masyarakat setempat sepertimana program-program sebelum ini. Ia serba sedikit dapat membantu mereka dalam penyumbangan daging hasil daripada ibadah korban yang dijalankan.

“Kami menyasarkan agar setiap rumah mampu memiliki 1.5 kilogram daging pada tahun ini dengan jumlah minimum korban sebanyak 120 ekor lembu bagi menjayakan hasrat ini,” katanya.

Patuhi syarak

Meskipun program ibadah korban ini dilakukan di luar Malaysia, namun daripada aspek syarat-syarat penyembelihan bagi tujuan korban dilakukan mengikut syariah Islam.

Nor Afif memberitahu, proses penyembelihan dan pengagihan dipantau sendiri oleh pihaknya dan dibantu secara gotong-royong oleh penduduk kampung berkenaan.

“Memandangkan ia bukan kali pertama menjalankan program ini, kami sudah mempunyai pengalaman dalam menyempurnakan proses pengagihan. Sepertimana yang anda sedia maklum bahawa kami akan mewujudkan pusat penyembelihan dan agihan dengan kerja sama wakil imam wilayah di sana.

“Pada masa sama, untuk memastikan pengagihan dilakukan dengan adil, wakil dari setiap kampung akan hadir mewakili kampung masing-masing untuk menerima daging korban. Kemudian baru mereka agihkan jumlah daging dengan sama rata kepada penduduk terlibat,” katanya.

Setiap proses korban dijalankan turut dipantau Ustaz Ahmad yang dilantik sebagai wakil pemantauan ibadah korban.

“Ia memastikan setiap proses korban dilakukan mengikuti hukum syarak, tidak bertentangan dan bercanggah daripada hukum fiqah mengenai ibadah korban,” katanya.

Menjalankan ibadah korban juga tidak terhad kepada satu-satu cara sahaja. Terdapat pelbagai inisiatif dilakukan untuk menarik umat Islam di Malaysia bagi merealisasikan program ini.

Menurut Nor Afif, pihaknya menekankan konsep mengurangkan bebanan kepada sesiapa yang berhasrat untuk bersama-sama menunaikan ibadah korban. Misalnya di Malaysia kos bagi setiap bahagian korban mungkin mencecah ke RM500 setiap bahagian. Dengan kenaikan kos sara hidup di Malaysia dan kenaikan harga pakej korban ia juga merupakan antara faktor kurangnya penglibatan dalam ibadah korban.

“Islam tidak membebankan dan syumul, jadi pendekatan ini kami bawa bagi membantu masyarakat Malaysia dalam menyempurnakan hasrat mereka dengan menawarkan pakej korban dengan harga yang lebih rendah bagi setiap bahagian. Dengan Memikirkan konsep kebajikan dalam ibadah, setiap RM30 daripada jumlah tersebut turut disalurkan kepada Muwasolah Bai Na Ulamak Malaysia (pimpinan Habib Ali Zainal Abidin Al Hamed) dan Darul Muhibbin (Ustaz Ahmad Shadan) bagi tujuan memperkasakan dana dakwah secara ilmiah di Malaysia.

“Usaha sama ini turut bantu kumpulan Al Mawlid yakni kumpulan Qasidah terkenal tanah air yang dibarisi beberapa artis terkenal tanah air seperti Azan Addin (Azan Ruffedge), Amir Munawer dan Saiful Amir (Pot Innuendo) bagi merealisasikan program kebajikan ini.

“Korban ini juga dibuka penyertaannya bukan sahaja di Malaysia malahan di Brunei, Singapura, Australia dan Perancis,” katanya.

Tags: aidiladha, korban
Subscribe

Posts from This Journal “korban” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments