mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Muhasabah dengan kejadian sekeliling

SEGALA puji bagi ALLAH yang Maha Agung lagi Maha Perkasa yang berfirman, “Dialah yang memperlihatkan kilat kepada kamu untuk menakutkan dan memberi harapan (dengan turunnya hujan); Dia yang menjadikan awan tebal yang berat (dengan air); Dia lah juga yang guruh serta malaikat bertasbih memuji-Nya kerana takut kepada-Nya; dan Dia juga yang menghantar petir lalu Dia mengenakan dengan panahannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan mereka yang ingkar itu membantah (serta mendustakan Rasul) mengenai perkara yang berhubung dengan ALLAH (dan kekuasaan-Nya) padahal Dia amat keras azab seksa-Nya.” (Surah Ar-Ra’ad; 12-13)

Manusia disuruh supaya sentiasa bermuhasabah terhadap diri sendiri dan terhadap kejadian-kejadian yang berlaku di sekelilingnya kerana ia semua adalah peringatan buat kita daripada ALLAH SWT.

Ternyata kita mendapat pelbagai nikmat daripada ALLAH. Keamanan negara, sihat tubuh badan, pekerjaan untuk menyara hidup serta kecukupan dalam makan minum dan tempat tinggal.

Persoalannya, apakah kewajipan yang telah kita tunaikan sebagai tanda syukur kita kepada ALLAH atas nikmat-nikmat yang telah diberikan itu? Sungguh ALLAH telah menjanjikan limpahan kurnia-Nya bagi siapa yang bersyukur di samping azab pedih bagi mereka yang mengkufuri nikmat-Nya.

Firman ALLAH: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu menitahkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahkan nikmat Ku kepada kamu, dan jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab Ku amatlah pedih.” (Surah Ibrahim: 7)

ALLAH SWT dari semasa ke semasa menurutkan petunjuk-petunjuk-Nya supaya hamba-Nya mengambil iktibar dan bertaubat. Orang yang bahagia adalah mereka yang sedar dan bertaubat manakala yang sengsara pula adalah mereka yang lalai terus melakukan maksiat dan tidak mengambil pengajaran daripada petunjuk-petunjuk ALLAH SWT.

Peperangan & bencana

Betapa banyaknya kita mendengar tentang kemalangan-kemalangan serta melihat kejadian-kejadian yang berlaku di sekeliling kita?

Peperangan yang berlaku di negara-negara Islam pada hari telah meragut banyak nyawa, menyebabkan ribuan manusia hilang tempat tinggal, anak-anak menjadi yatim piatu, wanita-wanita menjadi janda, orang-orang kaya bertukar miskin, kehormatan dicabul dan maruah dihina. Api peperangan ini terus disemarakkan sehingga percikan-percikannya dapat dirasai di negara-negara Islam yang lain; di Palestin, Syria, Iraq, Yaman, Libya, Afghanistan, Pakistan dan selainnya.

Selain peperangan, kita melihat berlakunya bencana alam akibat banjir kilat, angin kencang, ribut petir yang meragut nyawa dan merosakkan tanaman serta harta benda.

Kita juga saban hari melihat kemalangan-kemalangan sama ada di jalan raya, di udara dan di lautan mengakibatkan kematian manusia dalam bilangan yang ramai serentak pada satu masa.

Ibrah pengajaran

Semua ini berlaku kerana ALLAH ingin menakutkan hamba-Nya dan menunjukkan sebahagian daripada kemampuan dan kekuasaan-Nya atas manusia.

Ia juga bertujuan untuk mengingatkan manusia akan kelemahan dan dosa-dosa mereka moga-moga mereka beringat. Adakah kita tergolong dalam kalangan mereka yang beringat dan mengambil pengajaran?

Sejauh manakah kita telah mengubah keadaan kita? Adakah mereka yang lalai malas menunaikan solat dan cuai bangun menunaikan solat Subuh telah sedar dan mengubah keadaan mereka? Adakah mereka yang makan rasuah, mengambil riba dan menipu dalam jual beli telah bertaubat?

Sejauh manakah kita telah memperbaiki keadaan di rumah kita? Membersihkannya daripada gambar-gambar kotor, alat-alat muzik yang melalaikan serta filem-filem lucah yang tak senonoh.

Sesungguhnya keadaan-keadaan ini tidak akan berubah kecuali sejajar mana yang diizinkan oleh ALLAH. Bahkan kejahatan terus bertambah dan kita khuatir balasan hukuman yang akan membinasakan kita. Sungguh tiada upaya serta kuasa melainkan dengan izin ALLAH.

Firman ALLAH SWT: “(Keadaan orang-orang kafir itu) samalah seperti keadaan Firaun dan kaumnya serta orang-orang yang terdahulu daripada mereka. Mereka kufur ingkar akan ayat-ayat ALLAH, lalu ALLAH menyeksa mereka dengan sebab dosa-dosa mereka. Sesungguhnya ALLAH Maha Kuat lagi Maha berat seksa-Nya. (Balasan) yang demikian itu ialah kerana sesungguhnya ALLAH tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan (ingatlah) sesungguhnya ALLAH Maha Mendengar lagi Maha mengetahui.” (Surah Al-Anfaal: 52-53)

Ancaman orang yang lalai

ALLAH telah bersumpah terhadap mereka yang tidak mengambil iktibar atas musibah-musibah yang berlaku di sekeliling mereka serta tidak terkesan dengan bencana-bencana yang berlaku, ALLAH bersumpah untuk menangguhkan mereka untuk mereka terus bergelumang dalam nikmat dunia kemudian ditimpakan atas mereka secara mengejut bala bencana yang membinasakan mereka.

Firman ALLAH: “Maka alangkah eloknya kalau mereka berdoa kepada Kami dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat) ketika mereka ditimpa azab Kami? Tetapi yang sebenarnya hati mereka keras (tidak mahu menerima kebenaran) dan syaitan pula memperelok pada (pandangan) mereka apa yang mereka telah lakukan. Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan sehingga apabila mereka bergembira dan bersuka ria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (daripada mendapat sebarang pertolongan).” (Surah Al-An’aam: 43-44)

Realiti Nikmat ALLAH

Daripada Uqbah bin Amir RA, Nabi SAW bersabda: “Sekiranya engkau melihat ALLAH memberikan kepada seorang hamba atas maksiatnya apa yang disukainya, maka ketahuilah bahawa hal tersebut adalah istidraj.” (Riwayat Imam Ahmad)

Istidraj ialah kelebihan dan kenikmatan yang diberikan oleh ALLAH SWT kepada hamba-Nya yang ingkar untuk menarik mereka sedikit demi sedikit ke arah kebinasaan.

Kita wajar takut daripada tergolong dalam kalangan golongan ini. Maksiat-maksiat kita bertambah dan dalam masa yang sama nikmat ALLAH terus bertambah.

Betapa perlunya kita bertakwa kepada ALLAH dan berwaspada terhadap kemurkaan-Nya yang telah menimpa umat-umat manusia yang terdahulu jangan sampai ia menimpa kita.

Kita terus bersenang-lenang dengan kehidupan dunia manakala masjid-masjid rumah ALLAH terus sepi kosong tanpa pengunjung. Kebanyakan manusia khususnya golongan muda menjauhinya.

Mereka yang mengunjunginya pula hanya untuk datang pada waktu-waktu yang tertentu sahaja secara bermusim dan ketika mereka rasa bersemangat sahaja.

Lihat sahaja mereka yang datang untuk solat Jumaat. Tidak kurang mereka yang datang lewat dan ketika khutbah hampir selesai gara-gara malas dan sibuk dengan pekerjaan dunia mereka.

Sekalipun mereka hadir khutbah Jumaat, mereka terus leka dan tidak mengambil manfaat pengajaran daripada isi khutbah yang disampaikan. Betapa perlunya kita sedar daripada lamunan.

Tags: muhasabah
Subscribe

Posts from This Journal “muhasabah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments