mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Pemimpin, orang agama berjiwa kecil

TIAP-TIAP seorang wajiblah memajukan dirinya naik ke atas mencapai tingkat ketinggiannya dengan usaha dan kebolehannya sendiri, tidak dengan berharap kepada pertolongan orang atau kepada sokongan orang lain walau orang yang di atas daripadanya sekalipun.

Bagi berbuat demikian hendaklah seseorang itu tinggi hemahnya dan mulia cita-citanya; kerana jika seseorang kecil hemahnya dan rendah kemahuan cita-citanya, nescaya ia hanya akan berpuas hati dengan mendapat perkara-perkara yang sesuai dengan kedudukan dirinya yang rendah itu sahaja, tiada lebih lagi.

Oleh itu, maka kita lihat orang yang demikian kecil pada ilmunya, kecil pada ideanya, kecil pada maruahnya, kecil pada kecenderungannya dan semangat kemahuannya, kecil pada tenaganya dan tujuannya, bahkan kecil pada segala-gala hal dan pekerjaannya.

Adapun jika besar perasaan dirinya dan tinggi semangat cita-citanya, nescaya besarlah pula padanya segala apa jua perkara yang didapati kecil dan piut pada orang yang berhati kecil, bersemangat kecil dan bercita-cita kecil itu”. (Za’ba, Asuhan Perangai Menurut Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2015)

Za’ba menulis rencana ini yang disiarkan di majalah Qalam, 1952. Namun apa yang dibangkitkan oleh Za’ba dilihat kekal relevan sampai ke hari ini. Masyarakat dan ummah ini tidak akan berubah ke tahap yang lebih baik, jika cara fikirnya tidak diubah terlebih dahulu.

Jika seseorang merasakan cara hidup dan pencapaiannya sekarang sudah memadai, maka bagaimana untuk diharapkan ia menambahkan usahanya bagi mencapai tahap yang lebih baik lagi. Oleh itu, ia perlu dimulakan dengan menanam impian yang tinggi dan besar. Impian yang tinggi dan besar akan mencetuskan tindakan yang tinggi dan besar juga.

Bagaimana untuk melahirkan masyarakat yang mempunyai nilai tinggi, jika pemimpin masyarakat masih berfikir dengan cara yang rendah? Justeru, dua entiti utama yang menjadi harapan dan rujukan masyarakat, perlu berfikir dan bertindak dengan cara orang yang berjiwa besar dan bernilai tinggi. Mereka itulah golongan ulama dan umarak (pemimpin).

Kita perlukan pemimpin, pendakwah, mufti, imam dan orang berkedudukan dalam masyarakat yang berjiwa besar. Jika mereka ini berjiwa besar, matlamat yang mereka sasarkan juga besar dan orang di bawah mereka juga pasti dipandu dan dibimbing menjadi orang yang berjiwa besar.

Cara fikir orang agama

Seorang pemimpin misalnya, apabila diberikan amanah memegang sesuatu jawatan, perkara pertama yang difikirkan ialah apa yang akan dia jawab tentang amanah jawatannya di hadapan ALLAH Azza wa Jalla di akhirat kelak.

Dia akan sibuk memikirkan apa yang patut dilakukan bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat, membina masyarakat yang tinggi intelektualnya, menghasilkan rakyat yang mempunyai kepakaran yang diiktiraf peringkat antarabangsa, membentuk rakyat yang subur budaya hormat menghormati, menguruskan perbezaan parti, bangsa dan agama secara matang dan sebagainya. Inilah lambang pemimpin berjiwa besar. Apa yang difikirkannya ialah kepentingan rakyat dan negara. Bukan kepentingan dirinya semata-mata.

Bukan sibuk mencari jalan dan lubang bagaimana untuk mengaut kekayaan peribadi, terus ingin memegang jawatan walaupun telah rosak kredibiliti, mencantas sesiapa sahaja yang dirasakan menggugat diri, menyemai kebencian dalam perbezaan bangsa, agama dan parti.

Akhirnya, biar rakyat menderita, asalkan diri sendiri boleh bergembira. Biar rakyat hidup resah, asalkan diri sendiri terus mewah. Biar rakyat terlantar kelaparan, asalkan diri sendiri tersandar kekenyangan. Biar rakyat saling membenci, asalkan diri sendiri mendapat undi. Biar negara hancur, asalkan jawatannya tidak lebur.

Justeru, kita perlukan pemimpin yang berjiwa besar. Jika tidak, kita perlu berusaha sendiri membina peribadi yang tinggi, meningkatkan nilai diri, mematangkan cara fikir dan memiliki jiwa besar.

Jika rakyat sudah berjiwa besar, maka mereka tidak akan mengangkat pemimpin melainkan yang berjiwa besar juga. Jika rakyat berjiwa besar, mereka tidak akan rela jika keadilan dicemari, kemakmuran dijual beli dan amanah dikhianati melainkan mereka akan bersepakat mengangkat suara menasihati dan mencari ganti.

Begitu juga dengan ulama atau orang agama. Orang agama yang dimaksudkan ialah mereka yang bergelar pendakwah dan mempunyai kedudukan berkaitan urusan agama. Mereka yang dilantik memegang amanah berkaitan agama perlu memiliki jiwa yang besar, idea yang segar dan fatwa yang tidak tersasar.

Mufti, imam, kadi, pendakwah dan sesiapa sahaja yang membawa gelaran agama perlu sedar akan kesan pada setiap perkataan dan tindakannya kepada ummah dan agama ini sendiri. Mereka yang berjiwa besar sentiasa memfokuskan agenda mendidik ummah agar hidup di atas paksi agama yang kukuh.

Pendapat yang dilontarkan mampu menzahirkan betapa Islam adalah agama yang teguh pada prinsip dan fleksibel dalam perlaksanaan, sesuai diamalkan oleh sesiapa sahaja, di mana-mana dan pada bila-bila masa.

Orang agama yang berjiwa besar sentiasa konsisten mendidik ummah supaya membesarkan ALLAH dan Rasul-Nya, dan bukan membesarkan dirinya. Mengutamakan dalil yang sahih, bukan merujuk berpegang kepada yang palsu.

Mendidik masyarakat agar mengamalkan agama seperti yang dibawa oleh Rasulullah dan dihidupkan oleh golongan salafussoleh, bukan berdasarkan warisan adat turun temurun yang tidak pasti dalil dan sumbernya. Suara mereka adalah selari dengan suara al-Quran dan sunnah, bukan demi memenuhi selera orang ramai dan pemerintah.

Fatwa Pelik

Apabila orang agama berjiwa besar, mereka akan membimbing ummah agar turut berjiwa besar. Seruan mereka ke arah penyatuan dan perpaduan yang merentasi bangsa, bahasa dan sempadan negara.

Perbezaan dalam isu-isu berlainan mazhab, diuruskan secara ilmiah dan matang. Ummah akan diseru agar berfikiran terbuka dan berlapang dada, bukan meniup api kebencian dan melempar segala tuduhan kepada pandangan yang berbeza. Menilai perbezaan hukum agama berteraskan fakta, bukan dengan taksub membabi buta. Menghidangkan kepada ummah dengan ilmu dan fakta, bukan asyik bercerita dan berlawak jenaka.

Tetapi, jika orang agama jiwanya kecil, cara fikirnya juga akan kecil. Tindak tanduknya kadang-kadang memalitkan kekotoran pada wajah agama. Agama dilihat tercemar oleh kekotoran yang dikesat oleh orang agama sendiri. Sedangkan ajaran Islam yang tulen lagi suci berlepas diri dari semua itu.

Kedudukan di kerusi empuk yang disandang, digunakan untuk menghalang dan menyekat perkembangan ilmu dan wacana pemikiran berkaitan agama. Apabila kemampuannya terbatas untuk memahami dan mengulas sesuatu isu agama dengan lebih luas dan tuntas, maka jalan mudah baginya ialah dengan mengisytiharkan pendapat yang berbeza tersebut adalah sesat.

Orang ramai turut diheret menjadi mangsa kejumudan dan kedangkalan pemikirannya dengan dikeluarkan fatwa yang pelik dan melucukan. Sudahlah diri sendiri tidak mahu berusaha untuk meluaskan pembacaan dan pelbagaikan sumber ilmu, masyarakat juga turut digertak dan ditakut-takutkan agar jangan membaca dan menambahkan ilmu.

Contohnya, jika ada orang agama yang keluarkan pendapat bahawa Imam Nawawi adalah sesat, buku-bukunya haram untuk dibaca, pandangan tidak boleh disebarkan. Tidakkah ini “fatwa” yang pelik lagi melucukan?

Dalam keadaan ummah mengiktiraf dan telah mengambil banyak manfaat daripada kesarjanaan Imam Nawawi di peringkat antarabangsa, tiba-tiba muncul dari mulut seorang ahli agama tempatan dengan segala kuasa dan kedudukan yang ada untuk mengharamkannya.

Contoh yang sama juga jika “fatwa” sebegitu dikeluarkan terhadap Syeikhul Islam Ibn Taimiyah. Ia akan menjadi seribu satu persoalan dan kehairanan di dalam dunia ilmu peringkat antarabangsa.

Sekiranya pemimpin dan agamawan berfikir dengan cara fikir yang tinggi, dengan jiwa yang besar, tindak tanduk, percakapan dan pendapat mereka akan lebih tinggi nilainya, lebih luas sudut pandangnya, lebih besar impiannya dan insya-ALLAH lebih banyak juga pahalanya.

Tags: jiwa, pemimpin
Subscribe

Posts from This Journal “jiwa” Tag

  • Khutbah Jumaat Jiwa Merdeka

    Petikan Khutbah Jumaat 27 Ogos 2021M/ 18 Muharam 1443H JAKIM Jiwa Merdeka Tanggal 31 Ogos 1957 adalah detik paling bersejarah bagi negara ini.…

  • Khutbah Jumaat: Membina Kekayaan Jiwa

    Petikan Khutbah Jumaat 08 September 2017M / 17 Zulhijjah 1438H: JAIS Membina Kekayaan Jiwa Harta benda yang bertimbun dan wang ringgit yang…

  • Ilmu bersih jiwa, jadikan umat hebat

    Hari Jumaat adalah hari ilmu, di mana kita terutamanya kaum Adam akan berhimpun untuk mendengarkan ilmu daripada khatib ketika solat Jumaat. Islam…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments