mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Pengurusan sembelihan korban

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Kauthar: 1-2 bermaksud: “ Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”

Hari Raya Aidiladha atau dikenali Hari Raya Haji memang amat ditunggu-tunggu oleh fakir miskin. Bagi mereka jika hendak makan daging segar inilah masanya kerana ramai orang Islam berkemampuan akan me­lakukan ibadah korban setahun sekali ini. Ketika inilah betapa enaknya daging itu dirasai fakir miskin. Amalan ibadah menyembelih binatang korban ini sama ada lembu,kerbau, kambing atau unta amat dituntut oleh Islam sejajar dengan roh pengorbanan Nabi Ibrahim yang akhirnya menyembelih seekor kibas.


Bagi fakir miskin jika hendak makan daging segar inilah masanya kerana ramai orang Islam berkemampuan akan melakukan ibadah korban setahun sekali ini. GAMBAR HIASAN/ FAUZI BAHARUDIN

Manfaat sembelihan korban ini bukan hanya kepada fakir miskin bahkan kepada penternak, penjual atau peraih juga. Justeru dinasihatkan golongan ini juga melakukan pengorbanan tanpa memikirkan keuntungan. Setiap tahun mesti harganya meningkat. Ada setengah masjid isytihar perang harga korban. Apatah lagi bekalan haiwan tidak mencukupi. Senario di Malaysia setiap kali Hari Raya Haji, sumber haiwan ini tidak mencukupi dan kadang-kadang terpaksa diimport.

Penulis ingin menyentuh kaedah penyembelihan yang diamalkan di Malaysia. Penulis pernah ditanya oleh industri sembelihan di Australia ketika membuat audit sembelihan di sana. “Adakah sembelihan di Malaysia menjaga kebajikan haiwan (animal welfare)?” Soalan ini ada kaitannya dengan kaedah sembelihan korban yang diamalkan di Malaysia. Sabda Rasulullah SAW : “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan ke atas tiap-tiap sesuatu, maka apabila kamu membunuh elokkanlah pembunuhan itu, dan apabila kamu menyembelih maka elokkanlah penyembelihan itu, dan hendaklah salah seorang kamu menajamkan pisaunya dan hendaklah dia memberi keselesaan kepada binatang sembelihannya.”(Hadis Riwayat Muslim)

Adakah ihsan ini diambil kira dalam sembelihan korban? Contohnya, lembu ditambat tanpa diberi minum di tengah panas dan hujan sehari semalam, diikat kaki dengan sekuatnya dan diheret di atas tanah serta duduk atas haiwan tersebut ketika sembelih, mengasah pisau di hadapan haiwan, tidak diuraikan tali ikatan selepas sembelih, mencabut bulu-bulu di leher haiwan sebelum sembelih, melapah sebelum sempurna mati, sembelih di hadapan haiwan lain. Pandangan ulama semuanya ini adalah makruh dan tiada ihsan ke atas haiwan korban. Adalah malang sunat korban itu dicampurkan dengan perbuatan makruh ketika proses sembelihan korban.

Antara perkara sunat dalam sembelihan korban adalah membaca Bismillah dan selawat, lelaki yang baligh dan berakal, pisau yang tajam, membaringkan binatang di atas rusuk kiri dengan kepala diangkat sedikit, memutuskan semua urat leher yang tertentu supaya cepat mati tanpa seksa, mengadap kiblat (­penyembelih dan haiwan). Bagi sembelihan korban, disunatkan takbir tiga kali sebelum dan selepas membaca Bismillah, tidak mengasah pisau di depan binatang yang hendak disembelih, tidak menyembelih di depan binatang lain, memberi minum binatang sembelihan itu sebelum disembelih. Etika penyembelih juga perlu diambil kira seperti penyembelih fasiq.

Penyembelih juga mesti ­betulkan niat kerana terdapat ­penyembelih menyembelih ke­rana sesuatu seperti nak ekor, kepala, hati atau sebagainya. Ini semua memberi kesan keberkatan dan kualiti daging

Antara perkara sunat ketika berkorban adalah menambat ternakan korban menjelang Hari Nahar, memastikan haiwan korban tidak makan makanan yang syubhah (makan rumput di kawasan yang bukan milik tuan haiwan korban), melakukan penyembelihan korban dengan sendiri, memilih ternakan paling baik dan menunggu ternakan yang disembelih itu sehingga sejuk atau benar-benar mati barulah dilapah. Orang yang melakukan korban disunatkan tidak bercukur dan tidak memotong kukunya setelah tiba bulan Zulhijjah sehingga dia selesai berkorban.

Kepada pihak yang menganjurkan korban juga perlu memahami kaedah-kaedah tertentu. Antara perkara yang perlu diberi perhatian semasa aktiviti penyembelihan adalah tempat sembelih dan lapah yang khusus dengan ambil kira ­aspek keselamatan dan kebersihan serta kesesuaian, Kawasan tambatan ternakan korban hendaklah lapang, teduh dan selamat, menyediakan air minuman yang bersih dan makanan yang mencukupi bagi haiwan itu, darah penyembelihan tidak boleh dialirkan ke saliran awam seperti longkang, tali air, parit dan sebagainya, Daging yang dilapah hendaklah digantung pada tiang yang tidak berkarat dan ketinggian tiang yang bersesuaian agar daging yang dipotong tidak mencecah lantai.

Sebenarnya, semua kaedah dan permasalahan ini telah dibukukan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam Garis Panduan Pelaksanaan Ibadah Qurban Bilangan 2 Tahun 2013. Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) juga telah jelaskan dalam modul tauliah sembelihan. Begitu juga Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengeluarkan Garis Panduan Penyembelihan Ternakan Korban. Lantaran itu, dicadangkan setiap masjid, surau dan organisasi mengadakan kursus sembelihan kepada ahli kariah dan masyarakat supaya memahami konsep dan teknik sembelihan korban serta ihsan.

Islam mengajar umatnya supaya berihsan dengan haiwan termasuk adab dan kaedah sembelihan. Kaedah sembelihan yang betul memberikan gambaran jelas kepada orang bukan Islam bahawa Islam itu sempurna dan lengkap. Alangkah indahnya amalan sunat korban itu disuburkan dengan semua amalan sunat lain dalam sembelihan korban. Ini juga memberi gambaran ibadah korban dapat menjaga adab-adab dan ihsan supaya dapat melahirkan rasa ­syukur dan taat kepada Allah.

-
Tags: korban
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments