mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kesatuan pemimpin teras kesucian Islam

KESUCIAN Islam yang menjadi agama rasmi di negara ini telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 3 (1) bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan. Bangsa Melayu adalah tonggak yang mempertahankan Islam. Kekuatan ummah dalam kala­ngan orang Islam adalah keperluan utama, sejagat dan kunci kepada pembentukan jati diri dan kestabilan masyarakat yang berteraskan kesucian Islam. Jangan benarkan pihak-pihak ter­tentu memperlekeh Islam dan ini perlu dijadikan agenda utama dalam menyemarakkan sema­ngat keharmonian dalam kalangan ummah dan negara.


Golongan agamawan sebagai kumpulan masyarakat yang mempunyai ilmu agama kukuh perlu terlibat secara aktif memberi kefahaman dan mempertahankan Islam. GAMBAR HIASAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH

Tetapi malangnya, umat Islam dan Melayu di negara ini terlalu membuka banyak ruang sehingga pihak lain semakin berani mempersoalkan kesucian Islam de­ngan harapan nilai utama Islam itu diteliti semula mengikut logik akal mereka dan dibahaskan secara terbuka. Kita lihat, daripada rungutan terbuka terhadap lau­ngan azan, terdengar pula kritikan terhadap isi kandungan khutbah Jumaat dan semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu, ada yang menganggap amalan bersedekah duit raya itu berunsur rasuah. Sampai bilakah pihak-pihak ini terus dibiarkan dan ‘menjentik’ sensitiviti kaum dan penganut agama Islam?

Mengapa mereka perlu pertikai isi kandungan khutbah Jumaat? Segala yang disampaikan khatib adalah untuk kepentingan umat Islam. Mengajak umat bertakwa, bersatu dan memajukan diri dan ummah dan bukan untuk menafikan hak orang lain. Begitu juga mereka yang me­nuduh amalan bersedekah duit raya itu berunsur rasuah. Dalam Islam bersedekah itu tanda bersyukur dengan nikmat kurniaan Allah SWT. Ini juga sebagai ikatan mesra di antara sesama ahli keluarga, masyarakat sekitar dan sesama seagama.

Senario yang berlaku sebenarnya telah memberi isyarat jelas bahawa umat Islam di negara ini tiada pilihan, melainkan bersatu untuk membina kekuatan. Pihak berkuasa agama yang menjaga yang menguruskan agama Islam di negara ini tidak boleh terus berdiam diri dan golongan agamawan hendaklah terlibat ak­tif mempertahankan kesucian Islam.

Pemimpin-pemimpin politik Melayu pula tidak boleh lagi berkompromi semata-mata untuk kelangsungan politik mereka. Pun begitu, perjuangan untuk mengukuhkan kekuatan Islam bukan bermakna untuk memusuhi sesiapa. Jauh sekali untuk bangkit bertelagah dengan mana-mana pihak. Kekuatan ummah adalah untuk menggerunkan pihak-pihak yang berterusan memperlekeh dan menghina Islam.

Kita ambil contoh, sesebuah institusi keluarga yang rukun berpadu akan disegani oleh masyarakat sekitarnya. Orang luar tidak akan berani mengganggu mana-mana ahli dari keluarga yang disegani iaitu keluarga yang mempunyai kekuatan kerana bersatu, memiliki kedudukan ekonomi yang stabil dan memelihara martabat dan peradaban. Begitu juga dalam konteks sebuah negara, jika umat Islam di negara ini bersatu dan kuat, pihak-pihak lain tidak berani mempersoal, meremeh atau mencampuri hal ehwal kesucian Islam.

Kita perlu mengambil pengajaran bahawa ketika pembukaan Palestin oleh Saidina Umar al-Khattab, beliau pernah berikrar untuk memelihara keselamatan rahib, pendeta serta gereja. Dalam masa sama, beliau sesekali tidak pernah tawar menawar dalam perkara yang melibatkan akidah umat Islam. Justeru, kewibawaan serta ketegasan beliau dalam menegakkan syariat Allah yang adalah rahmat kepada sekalian alam telah menaikkan rasa hormat penganut agama lain terhadap agama Islam.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh orang lain dari mereka yang kamu tidak menge­tahuinya, sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya”. - surah an-Anfal, ayat 60). Kekuatan yang perlu dibina bukan sekadar bersatu padu secara lisan, tetapi mencakupi kekuatan dari segi ekonomi, politik serta nilai-nilai sosial yang luhur.

Semua pemimpin Islam dan pihak yang bertanggungjawab termasuk pemimpin-pemimpin politik Melayu perlu tegas mempertahankan kesucian Islam daripada terus diterjah oleh pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan dan mempersendakan agama Islam. Mereka perlu pertahankan agama Islam adalah agama rasmi negara ini dan statusnya dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

Pemimpin negara ini yang di­terajui oleh orang Melayu tidak perlu untuk tawar menawar dengan orang bukan Islam dalam perkara berkaitan kedaulatan serta memelihara kesucian agama Islam. Mereka perlu tunjukkan ketegasan dalam memelihara syariat Allah serta kekuatan perpaduan sesama umat Islam yang akan membuatkan agama Islam dihormati di negara ini.

Golongan agamawan sebagai kumpulan masyarakat yang mempunyai ilmu agama yang kukuh perlu terlibat aktif memberi kefahaman dan mempertahankan agama Islam. Mereka perlu menekankan konsep tugas-tugas kemasyarakatan atau muamalah seperti menjalin kerjasama dengan semua komuniti tanpa mengira kaum dan agama, mengukuhkan persatuan dan perpaduan sesama Islam dan pelbagai aspek sosial yang lain. Ia sama pentingnya dengan ibadah lain.

Apabila kedudukan Islam dan syariatnya diasak dan dikritik secara terbuka oleh bukan Islam, golongan agamawan perlu bangkit bersuara memberi penjelasan. Mereka tidak boleh lagi berdiam diri kerana ini seolah-olah menggambarkan apa sahaja tindakan dan kenyataan bukan Islam itu betul dan umat Islam berada di pihak yang salah. Justeru, dalam suasana tekanan yang berterusan kepada umat Islam kini, sudah sampai masanya golongan agamawan berani bersuara bagi menimbulkan kegerunan dan memberi pemahaman kepada bukan Islam.

Negara kita kini sudah berjaya melahirkan ramai golongan profesional dan usahawan, namun sumbangan mereka untuk memperkukuh dan pertahankan Islam wajar ditingkatkan. Kematangan dan kecemerlangan kita dalam bidang profesional dan usahawan belum dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Kita mungkin melahirkan ramai daripada kumpulan ini, namun umat Melayu dan Islam masih mengharapkan kebijaksanaan mereka untuk mengukuhkan ummah. Ini adalah amanah yang perlu dilaksanakan demi kesucian Islam di Malaysia.

-
Tags: islam, pemimpin
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments