mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

‘Korban’ dan berkorban seikhlas hati , kemuncak pengorbanan demi Allah

Kemuncak pengorbanan demi Allah

“HAMBA-MU datang, menyahut panggilan-Mu. Ya Allah hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Tuhan yang tidak ada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaan-Mu, tidak ada sekutu bagimu.”

Talbiah ini bergema di seluruh pelosok Kota Suci Mekah ketika jutaan umat Islam berkumpul di Arafah untuk berwukuf sebelum bertolak bagi bermalam di Muzdalifah dan melontar di Mina.

Apabila sudah melaksanakan kesemua rukun dan wajib haji tersebut maka sempurnalah pengorbanan seorang hamba Allah yang dijemput menjadi tetamu-Nya bagi menunaikan ibadah haji.

Hari ini dianggap kemuncak pengorbanan seorang insan yang dijadikan Allah SWT daripada setitis air mani dan segumpal darah untuk bertakwa kepada Allah.

Ibadah haji melengkapkan Rukun Islam kelima dan merupakan rukun terakhir yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW sebelum baginda wafat.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Maidah, ayat 3 bermaksud, “... Pada hari ini orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu, oleh sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. Pada hari ini telah Ku sempurnakan kepadamu nikmat-Ku dan Ku restui Islam itu menjadi agama bagimu.”

Semoga mendapat ganjaran Haji Mabrur
JUTAAN umat Islam dari seluruh dunia berhimpun di Padang Arafah untuk berwukuf.

Pelaksanaan ibadah haji bukanlah dilakukan suka-suka atau hanya disebabkan ditaja oleh mana-mana pihak, sebaliknya menuntut pengorbanan yang cukup besar daripada hamba Allah.

Ini memandangkan selain pelaksanaan rukun dan wajib haji, umat Islam juga perlu berkorban bagi membolehkan menjejakkan kaki ke tanah suci sekali gus menjadi dhuyufurrahman (tetamu Allah).

Ibadah haji bukan berkaitan soal mengemaskan beg dan terus berangkat apabila menerima surat tawaran tetapi lebih daripada itu yang memerlukan pemahaman tinggi sebelum melaksanakannya.

Kita sering dipaparkan bagaimana ada dalam kalangan jemaah haji yang mengumpul wang berpuluh-puluh tahun dan menanti bertahun-tahun untuk menunaikan ibadah tersebut.

Semuanya itu adalah pengorbanan yang mereka lakukan bagi menyahut panggilan Allah SWT seperti firman-Nya dalam surah al-Hajj, ayat 27 bermaksud: “Dan berserulah kepada manusia 
untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan menunggang unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh.”

Pengorbanan mereka bukan berkisar soal wang sahaja, sebaliknya ibadah itu sendiri memerlukan pengorbanan.

Bayangkanlah jumlah umat Islam berkumpul bukanlah sedikit malah boleh mencecah sehingga 4 juta pada satu-satu masa. Sudah pastilah dalam keadaan ini kesabaran amat penting kerana kita bertemu dengan pelbagai jenis manusia.

Begitulah juga apabila berkumpul di Arafah, Muzdalifah dan Mina, semua memerlukan pengorbanan, namun harus dilakukan secara ikhlas dan kehadiran mereka menunaikan haji dengan harta yang halal.


JUTAAN umat Islam dari seluruh dunia berhimpun di Padang Arafah untuk berwukuf. -

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW bersabda, “Apabila seorang jemaah haji berangkat dengan harta haram dan menjejakkan kaki di kenderaannya kemudian dia membaca Labbaik allahumma labbaik, maka ada suara (jawapan) dari langit: “Tidak ada labbaik dan tidak ada sa’daik (kebahagiaan) bagimu kerana bekalmu haram, kenderaanmu haram, hajimu penuh dosa, tidak diterima (tertolak),” - Riwayat Thabrani.

Hari ini adalah kemuncak pengorbanan seorang hamba dalam usaha meningkatkan ketakwaan kepada-Nya. Semoga semua jemaah haji beroleh Haji Mabrur kerana tiada balasan lain untuk haji tersebut melainkan syurga.


Berkorban seikhlas hati sertai kelab Nabi Ibrahim


JAUH dari tanah air, keluarga, hilang segala harta dan terpinggir. Demi agama Allah, baginda diusir keluar dari negeri dan hilang segala nikmat dunia. Besar sungguh ujian Allah kepada Nabi Ibrahim a.s.

Hunuskan ‘pisau takwa’ korbankan nafsu jahat
UMAT Islam melontar di Mina sebagai manifestasi melawan hawa nafsu dan memperingati perjalanan Nabi Ibrahim semasa menunaikan perintah Allah. - GAMBAR HIASAN

Jika gunung yang ditimpa ujian sehebat ini, pun boleh runtuh berderai. Setelah lama kesepian dan terbuang, doa baginda agar dikurniakan anak dimakbulkan Allah. Firman Allah:
“Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung daripada orang yang soleh!” Lalu Kami berikan kepadanya berita yang menggembirakan, bahawa 
dia akan beroleh seorang anak yang penyabar,” (al-Safffat [37:99-101]).

Penungguan kelahiran Nabi Ismail a.s. pula bukan sekejap tetapi sangat lama. Sehingga mencecah usia tua. Ia difahamkan daripada lafaz syukur Nabi Ibrahim a.s. yang difirmankan Allah ini:“Segala puji tertentu bagi Allah Yang telah mengurniakan kepadaku semasa aku tua: Ismail dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanku Maha Mendengar dan Memperkenan doa permohonan,” (Ibrahim[14:39]).

Kita boleh bayangkan betapa gembiranya hati Nabi Ibrahim a.s. yang jauh dalam buangan dengan kelahiran Ismail a.s. Walaupun hilang keluarga yang bergelumang dengan karat syirik, kini Allah menggantikannya dengan anak yang soleh seperti Ismail. Sudah pasti anak ini menjadi permata hati yang sangat berharga, tambahan pula lahirnya ketika Nabi Ibrahim berada pada usia 
tua.

PENGORBANAN TERHEBAT

Kita boleh lihat dalam masyarakat, datuk yang sudah berusia biasanya sangat cintakan cucu. Si ayah seakan hilang kuasa ke atas anak apabila datuk melangkah masuk. Apa sahaja kehendak cucu dipenuhi tanpa tangguh. Inilah darjat “rasa cinta” Nabi Ibrahim kepada Ismail.

Di tengah kegembiraan ini, Allah sekali lagi menguji baginda dan ujian kali ini mampu menggugurkan jantung. Anak kesayangan mesti dikorbankan:

“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku bermimpi menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya-Allah, ayah akan mendapati daku daripada orang yang sabar”. Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim - dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami), serta Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim! “Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”.

“Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar; Dan Kami kekalkan baginya 
(nama yang harum) dalam kalangan orang yang datang kemudian: “Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!” Demikianlah Kami membalas orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu daripada hamba Kami yang beriman,” (al-Safffat [37:102-111]).




‘Korban’ tentera juga perlu perhatian

Esok umat Islam akan menyambut Hari Raya Korban atau Hari Raya Aidiladha, selalu juga disebut Hari Raya Haji. Banyak haiwan seperti lembu dan kambing akan dikorbankan.

Sebelum proses korban itu dijalankan, banyak individu mengeluarkan belanja sendiri untuk pergi menunaikan ibadat haji di Mekah. Yang tinggal di Malaysia pun ada yang mengeluarkan wang untuk berkongsi satu daripada tujuh bahagian dalam membeli lembu untuk dikorbankan.

Sejak beberapa tahun lalu, ada pula trend lembu korban ditaja oleh individu atau syarikat, termasuk bukan Islam. Barangkali hukum sumbangan lembu korban itu biarlah Allah menentukan balasannya.

Hakikatnya, wang bukan isu dalam menyertai ibadah korban, sebab itu walaupun harga lembu korban semakin meningkat hingga satu bahagian berharga RM600, umat Islam masih menyambutnya. Orang Melayu dan Islam di negara ini tidak kedekut. Kita berkorban wang untuk ibadah. Hasrat utama melaksanakan ibadah dan ingin berkongsi daging korban dengan orang Islam lain.

Jika ditoleh ke belakang, sehingga hari ini umat Islam di Malay­sia dapat melaksanakan ibadah korban dengan selesa kerana negara kita aman, tidak ada peperangan. Tidak seper­ti saudara seagama kita di Syria, Iraq dan Palestin yang nega­ranya terus bergolak. Mereka sambut Raya Korban pun ala kadar. Tidak ada lembu atau kambing yang berbaris untuk dikor­bankan. Lihatlah di beberapa masjid di Malaysia, ada majlis gotong-royong melapah dan memotong daging korban.

Itulah nikmat keamanan yang kita kecapi di Malaysia. Namun, dalam kita menikmati kemakmuran dan kese­jahteraan hidup sekarang, kita pandanglah juga segala kepayahan, cabaran dan penderitaan yang dihadapi oleh anggota tentera kita terutama yang cacat dan hilang upaya bagi menempuh kehidupan mereka.

Sebagai insan yang punya hati dan perasaan, kita tentu bera­sa terharu mengenangkan para balu anggota tentera yang kehilangan suami, anak-anak yang kehilangan bapanya, dan ibu bapa yang kehilangan anak-anak. Begitu juga dengan anggota yang tercedera.

Ramai yang tercedera masih menanggung penderitaan sehing­ga ke hari ini akibat peluru atau kecacatan yang mereka alami semasa bertugas. Itulah harga sebuah pengorbanan yang mereka tanggung.

Tambah sedih bila kita membaca laporan akhbar bahawa tidak banyak syarikat swasta, apatah lagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memberi sum­bangan kepada Tabung Pahlawan. Kita mungkin sudah lupa bahawa nikmat keamanan yang dikecapi sekarang adalah hasil daripada pengorbanan bekas anggota keselamatan dan ramai dalam kalangan mereka berada dalam keadaan daif, malah ada yang mengalami kecacatan serta memerlukan bantuan.

Bukan sahaja pimpinan Persatuan Veteran Angkatan Ten­tera Malaysia (PV ATM) kecewa sambutan terhadap Tabung Pahlawan daripada syarikat korporat terutama GLC masih kurang memberangsangkan biarpun sudah ditegur Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, baru-baru ini, masyarakat pun begitu.

PV ATM menyasarkan untuk mengutip RM5 juta dalam Tabung Pahlawan sehingga akhir tahun ini dan sehingga 5 September lalu, pihaknya baru mengumpul hampir RM1.7 juta.

Dalam hubungan ini, orang ramai diharap tampil mem­bantu dalam menjayakan usaha murni ini kerana sumbangan ikhlas yang dihulurkan adalah satu penghormatan kepada bekas tentera sebagai menghargai jasa dan pengorbanan veteran dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Seluruh rakyat Malaysia wajar bersama-sama membantu dalam memberi sumbangan kepada yang memerlukan. Kita senang hati apabila melihat anak-anak kita ke sekolah tanpa terganggu dengan bunyi bedilan peluru dan bom di sana sini. Ingatlah bahawa di sebalik baju putih anak-anak kita ke sekolah itu, ada banyak darah merah yang mengalir untuk memastikan keputihan baju itu tetap putih buat selamanya!

Perlu disebut bahawa negara mempunyai seramai 376,440 orang veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Angka berkenaan cukup besar. Mereka mempunyai keluarga masing-masing. Sekiranya seorang daripada mereka mem­pu­nyai seorang isteri atau seorang suami dan lima orang anak, bilangan mereka hampir dua juta orang.

Dalam kalangan mereka mempunyai pelbagai jenis peker­jaan seperti berniaga sendiri, usahawan pemprosesan, pela­dang, penternak, nelayan, pemandu teksi, kerja di sektor perkilangan, tukang gunting rambut, kontraktor, pekedai kopi, pemandu teksi, tukang kebun dan pengawal keselamatan.

Kita masih mampu untuk memberi sumbangan kepada Tabung Pahlawan. Eloklah jika Kementerian Pertahanan menggerakkan kempen besar-besaran sempena Hari Angka­tan Tentera pada 16 September ini.

Apalah makna nilai wang jika dibandingkan dengan segala kerahan jiwa raga dan keringat para veteran ATM. Bagi para perwira, bukan simpati yang ditagih mahupun pingat kebesaran yang dicari, malahan bukan juga wang, tetapi yang utama ialah mempertahankan keamanan yang sedia ada.

Mendermalah kita kepada Tabung Pahlawan. Sumbangan yang kita hulurkan itu sebagai simbol perasaan mengenang budi terhadap jasa bekas-bekas tentera yang telah berkorban demi mempertahankan kedaulatan tanah air ini.

Jika selama ini pihak kerajaan melaui Kementerian Perta­hanan terus menerus memberi sokongan kepada para veteran ATM, maka tiba masa masyarakat pula menghulurkan sum­bangan sebagai tanda terima kasih kepada para perwira nega­ra.

Sambil kita meraikan Aldiladha dengan seruan meng­agung­kan Allah SWT serta disulami semangat korban, re­nung-renungkan juga pengorbanan para perajurit kita yang menjaga keselamatan negara. - Azman Anuar Utusan Malaysia Rencana 11 September 2016 6:18 PM

Tags: korban, pahlawan
Subscribe

Posts from This Journal “korban” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments